top of page

Ketaatan Kepada Firman Dan Berkat Hidup Yang Sejati

Teks: Amsal 3:1–2


“Hai anakku, jangan lupakan ajaranku, tetapi hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku, kerana segalanya akan memberikan kepadamu umur panjang, usia lanjut, dan kesejahteraan.”


Ungkapan “jangan lupakan ajaranku” membawa maksud bahawa firman Tuhan bukan sekadar untuk dihafal atau diingati, tetapi untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Sementara itu, frasa “hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku” menegaskan bahawa ketaatan yang sejati bermula dari dalam hati, bukan disebabkan paksaan luaran. Hati yang terpaut kepada firman Tuhan akan membimbing setiap langkah, keputusan, serta sikap hidup kita.


Janji Tuhan dinyatakan dengan jelas: panjang umur, lanjut usia, dan kesejahteraan. Janji ini bukan sekadar merujuk kepada usia yang panjang, tetapi kepada kehidupan yang berkualiti — kehidupan yang tenteram, diberkati, serta berada di bawah pimpinan Tuhan. Kesejahteraan (shalom) yang dijanjikan Tuhan merangkumi kedamaian dalam hati, hubungan yang baik dengan sesama, serta kehidupan yang berkenan kepada-Nya.


Dalam tahun baharu, atau dalam setiap musim kehidupan yang kita lalui, firman ini mengingatkan kita bahawa berkat sejati tidak datang daripada kebijaksanaan atau kekuatan diri sendiri, tetapi daripada kesetiaan untuk hidup dan berjalan menurut firman Tuhan.


Doa

Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025.


Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah ke hadapan dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, mulai hari ini hingga selama-lamanya. Amin.


Rev. Ali Langgit

Comments


bottom of page