Ketuklah Pintu dan Pintu akan Dibuka
- Komuniti Digital 05

- Jul 4
- 1 min read

“Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.” Lukas 11:9 AVB
Yesus mengajar murid-murid-Nya supaya terus mengetuk pintu kerana pintu akan dibuka bagi mereka. Dia menggunakan ibarat tentang seseorang yang pergi ke rumah sahabatnya pada lewat malam. Lalu dia meminta sahabatnya itu untuk meminjaminya tiga buku roti kerana seorang sahabatnya yang sedang dalam perjalanan telah singgah di rumah dan dia tidak mempunyai makanan apa-apa pun untuk dihidangkan.
Pada mulanya sahabat itu memberikan pelbagai alasan bahawa dia tidak dapat bangun untuk memberikan pinjaman roti. Bagaimanapun, sekiranya orang itu tidak segan terus-menerus mengetuk pintu rumah dan meminta pinjaman, sahabatnya itu pasti akan bangun dan memberikan roti kepadanya. Sebab sahabat itu tahu bahawa dia tidak akan berhenti mengetuk pintu dan meminta sehinggalah dia menerima apa yang diperlukannya.
Nyatalah bahawa Yesus mengajarkan ibarat itu supaya kita tidak putus-putus berdoa kepada-Nya tanpa mengenal lelah. Hal ini tidak bererti bahawa Allah kita dapat digerakkan untuk bertindak semata-mata kerana ketekunan atau kegigihan kita atau Allah tidak mahu diganggu oleh perbuatan kita yang terus mengetuk tetapi hal ini memperlihatkan ketaatan hati kita kepada-Nya.
Dengan kata lain, kita harus gigih meminta, mencari dan mengetuk sehingga kita memperoleh apa yang kita doakan. Atas kegigihan dan kepatuhan kita, maka kita akan berhasil dalam segala pelayanan kita demi kemuliaan-Nya.
Oleh itu, biarlah kita senantiasa berhati waja untuk mengetuk pintu kerana setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar hatiku tetap setia dan teguh kepada-Mu. Tolonglah aku supaya tidak berasa jemu untuk berdoa meminta dan mencari segala sesuatu dalam hidup ini menurut kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments