top of page

Krismas Dan Yesus



Apabila saya bertanya kepada kawan-kawan mengapa mereka menyambut Krismas, saya akan mendengar jawapan yang berbeza. Ada yang berkata ini musim untuk memberi dan bertukar hadiah, masa untuk berpesta dan berseronok, dan musim untuk berkumpul dengan keluarga serta kawan-kawan. Ramai juga yang menjawab untuk mengingatkan kelahiran Yesus, dan jawapan ini bukan sahaja datang daripada orang Kristian tetapi daripada orang bukan Kristian juga. Mereka tahu ini musim bagi Kristian untuk mengingatkan kelahiran Yesus ke dunia. Sesiapa pun boleh menjawab bahkan dengan yakin bahawa Krismas adalah tentang kelahiran Yesus ke dunia. Tetapi apabila saya bertanya “siapakah Yesus?” jumlah dan keyakinan itu berkurang.


Mungkin ramai yang dapat menjawab termasuk mereka yang hanya datang ke gereja pada waktu Krismas sahaja bahawa Krismas adalah tentang kelahiran Yesus kerana mendengar lirik-lirik lagu Krismas, mendengar daripada orang lain atau melihat iklan-iklan poster, membaca post di media sosial dan lain-lain. Tetapi ramai juga yang tidak dapat menjawab dengan yakin dan betul “siapakah Yesus?”


Ini mengingatkan saya tentang perbualan Yesus dengan murid-murid-Nya di Lukas 9:18-20 “Pada suatu kali ketika Yesus berdoa seorang diri, datanglah murid-murid-Nya kepada-Nya. Lalu Ia bertanya kepada mereka: ”Kata orang banyak, siapakah Aku ini?” Jawab mereka: ”Yohanes Pembaptis, ada juga yang mengatakan: Elia, ada pula yang mengatakan, bahwa seorang dari nabi-nabi dahulu telah bangkit.” Yesus bertanya kepada mereka: ”Menurut kamu, siapakah Aku ini?” Jawab Petrus: ”Mesias dari Allah.”


“Bagi kamu dan saya, siapakah Yesus?” soalan yang penting untuk direnungkan semasa Krismas ini. Untuk mengetahui Krismas adalah tentang kelahiran Yesus tidak mencukupi, kita perlu tahu siapa Yesus dan sebab Dia lahir ke dunia. Siapa Yesus secara peribadi bagi kita adalah yang terpenting. Krismas ini hanya akan bermakna apabila kita mengenal Yesus dan pekerjaan-Nya serta beriman kepada Dia. Ini akan mempengaruhi cara kita menyambut Krismas dan cara hidup kita setiap hari, yang memuliakan Tuhan. Yesus Kristus ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah bagi kita semua. Alkitab sudah mengajar kita tentang Yesus dan pekerjaan-Nya, maka bacalah Alkitab kita.


“Menurut kamu, siapakah Yesus?” Penulis Artikel : Clarensia Rongkos Sumber : Pr Edmund Kumar - Facebook

bottom of page