Melakukan Pekerjaan Allah Melangkaui Masa
- Komuniti Digital 05

- Sep 10
- 2 min read

Pada hari Sabat Yesus pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkemuka. Orang terus memerhatikan Yesus dengan teliti. Lukas 14:1 AVB
Tuhan Yesus pergi ke rumah salah seorang pemimpin Farisi yang terkemuka pada suatu hari Sabat untuk makan roti di sana. Sewaktu Yesus berada di situ, sekelompok orang Farisi terus memerhatikan-Nya dengan teliti. Mereka tidak sabar-sabar mahu mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat membuat tuduhan bahawa Dia telah melanggar peraturan hari Sabat.
Yesus tentulah tahu bahawa menurut amalan orang Yahudi, hari Sabat merupakan hari istirahat daripada semua kerja. Selama enam hari orang Yahudi melakukan segala pekerjaan tetapi pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat mereka tidak dibenarkan melakukan pekerjaan apa-apa pun kerana enam hari lamanya TUHAN mencipta langit dan bumi lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya TUHAN memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci.
Oleh itu, sekelompok orang Farisi terus memerhatikan Yesus kerana mereka mahu melihat sama ada Yesus akan menjaga kesucian hari Sabat atau tidak. Dengan kata lain, adakah Yesus berani “melakukan sesuatu pekerjaan” di hadapan khalayak ramai, iaitu menyembuhkan lelaki yang sakit busung itu?
Pada pendapat orang Farisi, penyembuhan orang sakit atau pembebasan orang yang dirasuk roh iblis dianggap sebagai pekerjaan. Maka pelanggaran hukum hari Sabat terjadi. Sebaliknya, bagi Yesus hari Sabat adalah untuk berbuat baik dan menyelamatkan nyawa. Oleh itu, Dia mengambil peluang pada hari Sabat itu untuk berbuat baik kepada orang yang memang memerlukan pertolongan.
Nyatalah bahawa Tuhan Yesus sama sekali tidak mempedulikan tuduhan orang Farisi. Atas tujuan berbuat baik dan menyelamatkan nyawa Yesus pun memanggil orang yang sakit busung itu lalu menyembuhkannya dan menyuruhnya pulang.
Demikian juga dengan diri kita. Janganlah kita takut sekiranya kita berbuat baik dan menyelamatkan nyawa orang demi memuliakan nama Allah. Sebab kehendak Allah bagi kita di dunia ini adalah untuk menjadi saksi-Nya agar melalui kita semua orang diberkati. Sesungguhnya, lakukanlah apa yang baik dan benar selama kita masih hidup.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk berfokus pada pekerjaan-Mu dan bukan pada peraturan yang bertentangan dengan kehendak-Mu. Pakailah hidupku sebagai alat-Mu untuk mengerjakan apa yang baik dan benar di mata-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments