top of page

Nasihat Yang Ditolak Hari Ini Menjadi Penyesalan Esok

  • 1 day ago
  • 2 min read
Oleh Pr Jerry Ignacio
Oleh Pr Jerry Ignacio

“Orang yang menolak teguran akan binasa.” (Amsal 15:10)


Saya belajar kebenaran ini bukan melalui teori, tetapi melalui pengalaman rakan sepelayanan yang menyakitkan. Ada satu musim dalam hidup dan pelayanan-nya, di mana dia terlalu yakin bahawa apa yang ia lakukan adalah betul. Dia sangat sibuk, bersemangat, dan kelihatan “berhasil” di mata orang.


Apabila seseorang datang menegur dia dengan niat baik dan hati yang tulus reaksi pertama dia bukan mendengar, tetapi mempertahankan diri.


Bukan kerana nasihat itu salah, tetapi kerana egonya lebih kuat daripada kerinduan untuk dibentuk.


Dalam hati-nya berkata, “Saya tahu apa yang saya buat.” Namun di hadapan Tuhan, hakikatnya dia sedang menutup telinga terhadap perlindungan-Nya.


Tuhan kemudian mengajar dia satu perkara yang sangat mendalam: menolak teguran bukan sekadar menolak manusia tetapi ia sering kali bermaksud menolak pagar keselamatan yang Tuhan dirikan sebelum kita jatuh ke dalam jurang.


Saya teringat satu ilustrasi yang sangat jelas. Papan tanda amaran di tepi jalan tidak pernah dibuat untuk menyusahkan pemandu. Ia diletakkan kerana ada bahaya di hadapan.


Pemandu yang matang akan memperlahankan kenderaan apabila melihat tanda itu. Tetapi pemandu yang angkuh akan berkata, “Saya tahu jalan ini,” lalu terus memecut sehingga akhirnya kemalangan berlaku. Begitu juga dengan teguran Tuhan.


Dalam pelayanan, teguran sering datang melalui manusia, pemimpin, rakan sekerja, pasangan, atau bahkan orang yang kita anggap “tidak lebih tahu.”


Di situlah ujian sebenar kerendahan hati berlaku. Bukan pada saat kita dipuji, tetapi pada saat kita ditegur.


Saya pernah mengabaikan satu teguran kecil. Saya fikir ia remeh dan tidak penting. Namun beberapa bulan kemudian, akibat daripada keputusan itu menjadi nyata.


Hubungan menjadi tegang. Kepercayaan terhakis. Hati saya sendiri menjadi letih dan kosong. Ketika itulah Tuhan membawa saya kembali kepada satu kesedaran yang pahit tetapi menyelamatkan: Nasihat yang ditolak hari ini akan menjadi penyesalan esok.


Teguran itu mungkin menyakitkan ego, tetapi ia menyelamatkan jiwa. Ia mungkin merendahkan diri kita di hadapan manusia, tetapi ia meninggikan kita di hadapan Tuhan.


Saya belajar untuk berhenti sejenak sebelum membalas sebarang teguran. Tidak lagi bertindak balas secara spontan atau emosional.


Saya belajar membawa setiap nasihat walaupun yang sukar diterima ke dalam doa. Saya bertanya, “Tuhan, apa yang Engkau sedang ajarkan kepada saya melalui ini?” Dan di situlah satu kebenaran lahir dengan jelas: “Kebijaksanaan bermula apabila ego berakhir.”


Hari ini, saya tidak lagi berdoa agar Tuhan hanya memberkati langkah saya. Saya berdoa agar Tuhan mengoreksi langkah saya. Kerana saya tahu, lebih baik ditegur sekarang daripada menyesal kemudian.


Refleksi peribadi untuk kita semua: Adakah saya cepat mempertahankan diri apabila ditegur?. Adakah saya lebih menjaga imej daripada membenarkan Tuhan membentuk karakter?. Teguran manakah yang pernah saya abaikan dan apakah akibatnya?


Ambil masa. Catat satu teguran yang pernah anda tolak. Renungkan kesannya. Dan biarlah hari ini menjadi titik perubahan bukan penyesalan di kemudian hari.


Kerana Tuhan menegur bukan untuk menjatuhkan, tetapi untuk menyelamatkan.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio

bottom of page