Pemimpin Dipanggil untuk Ditegur Lebih Dulu
- Feb 19
- 2 min read

Ada satu musim dalam pelayanan di mana Tuhan mengajar saya satu pelajaran yang tidak mudah, tetapi sangat membebaskan: seorang pemimpin tidak dipanggil untuk sentiasa betul, tetapi untuk sentiasa boleh ditegur.
Ayat dalam Markus 10:43 sering kita petik dalam konteks kepimpinan hamba: “Barangsiapa ingin menjadi terbesar, hendaklah ia menjadi pelayan.”
Namun semakin lama saya melayani, saya sedar bahawa menjadi pelayan bukan sekadar soal merendah diri dalam tindakan, tetapi merendah diri dalam menerima teguran.
Pada awal kepimpinan, tanpa sedar saya pernah menganggap teguran sebagai suatu ancaman seolah-olah ia melemahkan autoriti atau menjejaskan kredibiliti saya. Tetapi pengalaman demi pengalaman mengajar saya bahawa teguran yang sihat sebenarnya adalah perlindungan Tuhan terhadap pemimpin.
Kepimpinan rohani bukan kekebalan. Semakin tinggi tanggungjawab, semakin besar akauntabiliti. Jika seorang pemimpin tidak boleh ditegur, dia bukan sedang melindungi visinya tetapi dia sedang membina tembok ketakutan di sekelilingnya.
Saya pernah berada dalam perbincangan di mana pasukan hanya diam. Bukan kerana mereka bersetuju, tetapi kerana mereka tidak berani bersuara. Pada saat itu, Tuhan menegur hati saya: “Adakah kehadiranmu membawa keberanian, atau ketakutan?”
Budaya yang matang tidak lahir daripada pemimpin yang sempurna, tetapi daripada pemimpin yang selamat untuk didekati. Pemimpin yang boleh berkata, “Tolong tegur saya jika saya tersilap,” sedang mendidik pengikutnya menjadi dewasa, bukan sekadar patuh.
Saya belajar untuk membuka ruang bukan sekadar secara teori, tetapi secara praktikal:
* Memberi kebenaran kepada pasukan untuk bercakap dengan jujur
* Mendengar tanpa mempertahankan diri
* Merenung sebelum menjawab
* Mengakui kesilapan apabila perlu
Tidak semua teguran betul, tetapi setiap teguran patut didengar. Kerendahan hati bukan kehilangan wibawa ia adalah sumber wibawa rohani.
Hari ini, saya percaya dengan sepenuh hati: Pemimpin yang boleh ditegur akan melahirkan pengikut yang matang. Dan pemimpin yang rela ditegur lebih dahulu sedang membuka jalan kepada budaya kepimpinan yang sihat, takut akan Tuhan, dan berbuah dalam jangka panjang.
Kerana dalam Kerajaan Allah, yang kuat bukanlah yang kebal tetapi yang sanggup diajar, dibentuk, dan diperbetulkan dalam kebenaran-Nya.
Oleh Pr Jerry Ignacio
Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio
Kredit Gambar : Komuniti Digital




Comments