Penderitaan Menyebabkan Kita Kembali Kepada Allah
- Komuniti Digital 05
- Oct 5
- 1 min read

“Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.” Lukas 15:20 AVB
Setelah anak bongsu itu kehabisan wang, bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu sehingga dia hampir mati kelaparan. Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya.
Saat hidupnya sangat menderita, barulah anak bongsu itu teringat akan ayahnya yang mempunyai banyak orang gaji. Mereka mendapat makanan yang berlebihan sampai kenyang. Malangnya, dia di sini menderita hampir mati kerana kelaparan.
Penderitaan hidup yang sangat teruk telah menyedarkan anak bongsu akan kehidupan bersama-sama dengan bapanya. Tanpa membuang masa lagi, dia pun membuat keputusan untuk kembali kepada bapanya. Apabila kembali ke pangkuan bapanya, dia akan memiliki segala yang diperlukannya.
Marilah kita merenungkan keadaan diri pada saat ini. Apakah hidup bersama Allah lebih baik daripada hidup tanpa Allah atau sebaliknya? Ibarat tentang anak lelaki yang hilang ini memperlihatkan kasih Allah kepada kita. Ketika anak bongsu itu masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Kemudian bapanya memeluk dan menciumnya. Begitu jugalah Allah yang penuh belas kasihan nampak kita dari jauh lagi, berlari menemui kita, lalu memeluk dan mencium kita jika kita memutuskan untuk kembali kepada-Nya.
Cepat-cepatlah kembali kepada Allah dan jangan membiarkan keseronokan duniawi membinasakan hidup kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon pengampunan daripada-Mu, kiranya aku berdosa kepada-Mu. Ampunilah aku. Bersihkan dan sucikan aku agar aku tetap memuliakan nama-Mu dalam segala yang aku lakukan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments