top of page

Perancangan Demi Kepentingan Diri

ree

“Pengurus itu berkata kepada dirinya, ‘Apakah yang harus aku buat? Tuan aku hendak memecatku. Aku tidak kuat untuk mencangkul dan aku malu meminta sedekah.” Lukas 16:3 AVB

 

Pengurus itu mendapat tahu bahawa tuan harta benda itu akan memecatnya daripada mengurus harta bendanya. Maka pengurus itu mula berfikir di dalam hatinya tentang apa yang harus dibuatnya. Dia sedar bahawa dia tidak kuat untuk mencangkul dan dia malu untuk meminta sedekah. Betapa dia bimbang tentang kemelaratan hidup dan status sosialnya pada kemudian hari sehingga dia merancang untuk mengampu para penghutang tuannya. Oleh itu, dia  membuat persiapan untuk dirinya supaya apabila dia dipecat nanti daripada jawatan pengurus itu, dia ada ramai sahabat yang akan menerimanya ke rumah mereka. 

 

Dia pun memanggil semua orang yang berhutang kepada majikannya. Dia berkata kepada orang  pertama, ‘‘Berapakah hutangmu kepada tuan aku?’’  Orang itu menjawab, ‘‘Seratus tong minyak zaitun.’’ Pengurus itu berkata, ‘‘Inilah kira-kiramu. Duduk dan tulislah lima puluh.’’  Dia berkata kepada seorang yang lain, ‘‘Berapakah hutangmu pula?’’ Orang itu menjawab, ‘‘Seratus pikul gandum.’’ Pengurus itu berkata, ‘‘Inilah kira-kiramu. Tulislah lapan puluh.’’ Semuanya ini dilakukannya dengan tujuan agar mereka semua  yang telah dikurangkan hutang akan menyambut dirinya ke rumah mereka apabila dia diberhentikan daripada jawatannya.

 

Akan tetapi, semua perancangan ini tidak menyenangkan hati Allah, bahkan tidak memuliakan nama-Nya. Sebab Allahlah yang berkuasa atas segala-galanya dan Dia mengetahui apa yang kita lakukan. Tidak ada satu pun perkara di dunia ini yang tersembunyi di hadapan-Nya. Dengan itu, kita harus berhenti daripada membuat perancangan yang tidak memuliakan Allah dan yang pada akhirnya akan membawa kita kepada kebinasaan dan kehancuran.

 

Jadi, sebelum perancangan jahat kita itu memusnahkan diri kita sendiri, bertaubatlah dan datanglah kepada Allah untuk bimbingan-Nya. Semoga Allah berkenan kepada jalan hidup kita dan memberkati setiap langkah kita. 

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku sekiranya aku membuat sesuatu perancangan dalam hidup ini yang tidak memuliakan nama-Mu. Tolonglah aku untuk mendengar suara-Mu dan mentaati Engkau. Ajarlah aku untuk bertaubat daripada segala niat  jahat. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page