Sambutlah dan Terima Semua Orang Seperti Yesus
- Komuniti Digital 05
- Sep 29
- 2 min read

Orang Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut, “Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.” Lukas 15:2 AVB
Pada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang berdosa datang mendengar Yesus. Apabila orang Farisi dan ahli-ahli Taurat melihat kedatangan golongan yang dipandang keji ini, mereka mulai tidak senang hati terhadap Yesus kerana Dia tidak keberatan langsung untuk menerima pemungut cukai dan orang yang berdosa. Mereka pun bersungut-sungut lalu berkata kepada orang ramai, “Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.”
Menurut tanggapan orang Farisi dan ahli-ahli Taurat, pemungut cukai ialah orang yang berdosa kerana mereka bekerja untuk orang Romawi. Mereka mengutip cukai daripada anggota masyarakat untuk diberikan kepada Kaisar. Selain itu, pemungut cukai tidak jujur dan amanah kerana mereka mengutip cukai yang lebih banyak daripada apa yang dikenakan sebenarnya oleh Kaisar demi mengumpulkan kekayaan secara tidak halal. Oleh sebab itu, orang Farisi dan ahli-ahli Taurat menganggap pemungut cukai sebagai orang jahat atau orang najis.
Di mata Yesus setiap orang adalah istimewa dan berharga bagi kerajaan-Nya. Itulah sebabnya Yesus menyambut dan menerima mereka lalu makan bersama mereka. Walapun masyarakat umum berpendapat bahawa tidak wajarlah Dia sebagai “Guru” untuk berinteraksi dengan para pemungut cukai dan orang yang dipandang hina, tetapi bagi Yesus, misi-Nya yang terpenting adalah untuk membawa orang masuk ke dalam kerajaan-Nya.
Demikian juga seharusnya dengan diri kita. Janganlah sambutan dan penerimaan kita terhadap orang lain yang ada di sekeliling kita berdasar pada bangsa, pekerjaan, kedudukan atau latar belakang. Allah menerima setiap kita seadanya, justeru kita seharusnya membuka hati kita untuk menerima orang lain demi penyelamatan jiwa mereka.
Marilah kita meneladani Tuhan Yesus untuk menyambut dan menerima semua orang secara sama rata tanpa membeza-bezakan mereka. Allah tidak pilih kasih tetapi berbelas kasihan dan kasih kepada setiap orang, bahkan orang yang berdosa atau yang dipandang hina.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjadi berkat kepada semua orang tanpa membeza-bezakan mereka berdasar pada bangsa, pekerjaan, kedudukan atau latar belakang. Tolonglah aku untuk mengasihi mereka dengan hati yang terbuka. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments