top of page

Selidikilah Diri Sendiri Bukan Orang Lain

  • 5 days ago
  • 2 min read

Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Lukas 23:40-41 AVB

 

Apabila sampai di tempat yang bernama, “Tengkorak”, Tuhan Yesus disalib bersama dua orang penjahat, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Dengan demikian, terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Dan Dia digolongkan dengan penjahat.” Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!”

 

Akan tetapi, seorang penjahat lagi yang mendengar kata-kata celaan itu menegurnya kerana tidak takut akan Allah. Mereka dengan Yesus sama-sama dihukum mati. Bagi mereka berdua, hukuman itu adil kerana mereka sebagai penjahat menerima balasan yang setimpal; tetapi Yesus tidak melakukan kesalahan apa-apa.

 

Oleh sebab Tuhan Yesus disalib di antara dua orang penjahat itu, kedua-dua orang itu sebenarnya mempunyai peluang yang sama untuk mengenal Yesus. Salah seorang penjahat meniru tingkah laku para pemimpin masyarakat Yahudi dengan mencela Yesus dan mencabar-Nya untuk menyelamatkannya daripada disalib. Pertanyaannya bahawa bukankah Yesus ialah Kristus lebih merupakan satu sindiran sahaja. Sekiranya seseorang takut akan Allah, dia haruslah melihat kesalahan dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum melihat kesalahan orang lain, seperti penjahat yang menghina Tuhan Yesus yang disalib bersama dengannya. Pada hakikatnya, dia disalib kerana melakukan kejahatan, sementara Yesus disalib tanpa melakukan satu kesalahan pun.

 

Sebagai seorang yang sungguh-sungguh mengenal Tuhan Yesus secara peribadi dalam hidup, kita haruslah memeriksa diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencari kesalahan orang lain. Janganlah kita perhatikan selumbar di mata saudara kita, sedangkan kayu balak di mata kita sendiri tidak kita sedari. Sebab apabila kita memeriksa diri sendiri, Roh Kudus akan menginsafkan kita akan dosa kita dan membimbing kita ke arah segala kebenaran. Maka kita dengan pertolongan-Nya dapat memperbaik diri untuk bertumbuh secara rohani.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku sekiranya aku cenderung memperhatikan kekurangan dan kesalahan orang lain. Ajarlah aku untuk sentiasa menyelidiki diri sendiri dan bertaubat jika berbuat salah. Biarlah hidupku sentiasa memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page