top of page

Siapa Ingin Menderita?


Penderitaan bukanlah sesuatu yang diingini sesiapa pun. Dalam agama-agama tertentu, seluruh matlamat iman ialah untuk lari dari penderitaan (yang terhasil dari keinginan). Keinginan menghasilkan penderitaan dan penderitaan harus dielakkan.


Tetapi pada hari Paskah, kita berhadapan dengan persoalan tentang isu penderitaan. Di salib, Tuhan Yesus menderita. Itulah pengakuan iman Kristian. "Ia disalibkan untuk kita, di bawah pemerintahan Pontius Pilatus; Ia menderita, mati dan dikuburkan." Ia menderita pada Paskah yang pertama itu dan penderitaan-Nya membawa implikasi bagi kita sebagai orang Kristian. Kita tidak disuruh untuk elakkan penderitaan atau lari dari penderitaan – tetapi memeluk penderitaan seperti yang dilakukan Tuhan Yesus.


Kita membaca 1 Petrus 2:20-25 dan cuba menggalinya maksud dari teks itu.

1. Penderitaan ialah teladan yang harus diikuti. Tuhan Yesus merupakan contoh ini – Dia menderita untuk menjadi teladan bagi kita. Petrus berkata, "Sebab untuk itulah kamu dipanggil, kerana Kristus pun telah menderita untuk kamu dan telah meninggalkan teladan bagimu, supaya kamu mengikuti jejak-Nya." (2:21) Bukan jejak rasul, melainkan jejak Kristus dalam penderitaan.


Namun, perhatikan bahawa penderitaan ada dua jenis. Penderitaan yang datang kerana kita mencari penderitaan itu. Minum, mabuk, jatuh tangga, patah kaki, masuk hospital – penderitaan juga. Merokok, hisap syabu, makan barang larangan – sakit, kanser, masuk hospital – penderitaan juga. Tengok filem lucah di telefon bimbit, isteri nampak, marah, pukul kepala dengan penyapu – kena jahit – menderita juga!


Atau, ada penderitaan yang datang kerana melakukan kehendak Allah – menderita kerana menyelamatkan orang, menderita kerana melaporkan perkara yang perlu dilaporkan, menderita kerana melakukan kehendak Tuhan dalam medan pelayanan. Teladan penderitaan yang Yesus maksudkan ialah dalam melakukan kehendak Allah Bapa!


2. Penderitaan boleh juga datang oleh sikap yang salah. Kristus di salib menderita cacian dan makian – diseksa, dipukul, dicambuk, dipakukan di salib. "Ketika Ia dicaci maki, Ia tidak membalas dengan mencaci maki; ketika Ia menderita, Ia tidak mengancam, tetapi Ia menyerahkannya kepada Dia, yang menghakimi dengan adil." (2:23)


Tetapi di tengah-tengah semuanya itu, Dia tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Naluri manusia – kalau kamu pukul saya, saya akan balas. Kalau kamu maki saya, saya turut maki kamu. Tunjuk jari tengah di jalan raya, keluar penumbuk di tangan saya. Kita condong ke arah balas dendam. Di manakah kita hari ini jikalau Yesus di salib itu mengencang dan mengancam serta membalas kejahatan orang ramai di kaki salib itu? "Bapa, kirimkan api-Mu!" dan hanguslah semua orang Farisi, askar Rom dan kaki maki. Iman Kristian tidak akan wujud hari ini jikalau itu yang dilakukan.


Sebaliknya Dia menyerahkan diri kepada Dia, iaitu Bapa-Nya, untuk menghakimi dengan adil. “Ia tidak membalas dengan mencaci maki, Ia tidak mengancam, dan Dia menyerahkan semua kepada Allah Bapa untuk bertindak pada hari terakhir nanti, iaitu pada hari Pengadilan, bila semua buku dibuka dan nama dipanggil, semua penghujat dan pendosa akan diadili di depan-Nya!


3. Penderitaan Kristus Yesus ialah untuk menebus manusia. "Ia sendiri telah memikul dosa kita di dalam tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita, yang telah mati terhadap dosa, hidup untuk kebenaran. Oleh bilur-bilur-Nya kamu telah sembuh." (2:24) Dalam penderitaan-Nya, Dia memikul dosa-dosa kita dalam tubuh-Nya. Jadi setiap orang yang bertaubat, iaitu mati terhadap dosa, meninggalkan dosa dan keinginan dunia serta keinginan daging, akan dipulihkan!


Gambaran yang diberikan oleh Petrus ialah "oleh bilur-bilur-Nya yang menyeksa-Nya membawa kesembuhan kepada kita." Siapa tidak mahu sembuh? Saya mahu sembuh dari darah tinggi dan kolesterol! Saya mahu sembuh dari batuk dan selesema. Saya mahu sembuh dari semua sakit sendi-sendi – tetapi semuanya itu hanya sementara! Penderitaan Kristus di salib ialah untuk memberikan kita hidup dalam kebenaran serta jiwa, hati dan fikiran yang disembuhkan! Kebencian disembuhkan, kemarahan dirawat, kesakitan hati akan dipulihkan, dendam dibuang, kanser rohani akan disingkirkan dari hati kita. Keinginan-keinginan lama akan terbuang.


Saudara-saudari, Kristus menderita dan mati sebagai teladan untuk kita. Kita tidak lari dari penderitaan – kita memeluk penderitaan Kristus – olehnya kita menghadapi penderitaan dengan betul, hidup mengatasi balas dendam dan dipulihkan dan disembuhkan. Seperti kata rasul Paulus, kita akan menikmati "persekutuan dalam penderitaan-Nya" (Filipi 3:10) dan disembuhkan!


Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook Edmund Kumar

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page