top of page

Yesus Makan Jamuan Paskah Terakhir Bersama Murid-murid-Nya

“Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah.” Lukas 22:16 AVB

 

Apabila tiba masanya, Yesus pun duduk bertelekan di meja bersama rasul-rasul yang dua belas itu. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paskah ini bersama kamu sebelum Aku menderita. Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah.”

 

Yesus sangat pasti tentang tujuan kedatangan-Nya ke dunia ini. Dia tahu bahawa Dia akan dikorbankan di atas kayu salib bagi pengampunan dosa semua umat manusia. Ancaman kematian ke atas diri-Nya tidak sekali-kali mematahkan semangat-Nya atau menyebabkan diri-Nya menjadi gentar dan berputus asa. Sebenarnya, Yesus sudah bersiap sedia untuk menanggung penderitaan yang sedang menantikan-Nya, bahkan kematian-Nya di kayu salib.

 

Sebelum itu, Dia memerintah dua orang murid-Nya untuk pergi mempersiapkan jamuan Paskah yang terakhir bagi diri-Nya. Sebab Dia sangat rindu untuk merayakan Paskah bersama semua murid-Nya. Dia tahu bahawa Dia tidak akan lagi makan jamuan Paskah bersama mereka sehingga erti sebenar perayaan Paskah akan menjadi nyata atau digenapi di dalam Kerajaan Allah. 

 

Jamuan Paskah ini merupakan dasar untuk mewujudkan persekutuan yang akrab dengan satu sama lain. Dalam suasana jamuan Paskah yang baru ini, Yesus mengungkapkan maksud Paskah yang baru. Maksud Paskah yang baru berhubung dengan kematian-Nya di atas kayu salib sebagai Domba Paskah yang diutus Allah. Syukurlah bahawa Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.

 

Roti jamuan Paskah diberikan erti baru. Roti Paskah menerima makna baru sebagai lambang tubuh Kristus yang diserahkan bagi mereka manakala cawan Paskah diberikan makna baru sebagai tanda perjanjian baru kerana tertumpahnya darah Kristus di atas kayu salib untuk pengampunan dosa semua umat manusia. Oleh itu, marilah kita makan Perjamuan Tuhan dengan jiwa raga yang sungguh-sungguh bersyukur kepada Tuhan Yesus…

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, terima kasih kerana mati di atas kayu salib untuk menebus aku daripada hukuman dosa. Melalui kematian-Mu, maka aku kini dapat datang menghadap Bapa yang di syurga. Terima kasih, ya Tuhan atas pengorbanan-Mu demi aku. Dalam nama-Mu yang mulia aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page