Yesus Mengambil Sebiji Cawan Minuman
- Komuniti Digital 05

- 1 hour ago
- 2 min read

Setelah itu, Yesus mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, “Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu. Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang.” Lukas 22:17-18 AVB
Semasa jamuan Paskah Yesus mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, “Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu. Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang.” Murid-murid Yesus meminum air anggur Paskah bersama-sama-Nya, iaitu cawan berkat atau cawan pengucapan syukur.
Jamuan Paskah memperingatkan mereka akan pekerjaan Allah yang menakjubkan sekali terhadap bangsa Israel. Allah telah membebaskan orang Israel dari Tanah Mesir daripada perhambaan. Anak-anak sulung diselamatkan daripada kematian. Pada malam Perayaan Paskah, Allah telah melintasi Tanah Mesir dan menyerang semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak manusia sampai anak binatang. Apabila Allah melihat darah anak domba yang disapukan pada kedua-dua tiang pintu dan pada ambang setiap daun pintu rumah orang Israel, Allah telah melalui mereka sehingga rumah mereka langsung tidak ditimpa azab kemusnahan pada waktu Allah mengazabkan Tanah Mesir
Sebenarnya, Yesus meminta mereka untuk meminum daripada cawan berisi air anggur sebagai tanda dan bukti perjanjian baru. Cawan air anggur memperingatkan mereka akan penebusan daripada ikatan dosa melalui darah Kristus yang dicurahkan di atas kayu salib. Dengan itu, setiap kali mereka meminum daripada cawan itu, maka mereka akan memperingatkan diri mereka akan pertumpahan darah Kristus bagi diri mereka. Melalui pertumpahan darah Kristus, maka terjadi pendamaian dengan Allah bagi setiap mereka.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Melalui pertumpahan darah Tuhan Yesus di atas kayu salib, kita memperoleh berkat; pengampunan, pembebasan dan penyelamatan. Oleh itu, perjanjian baru ini memperingatkan kita akan darah Kristus yang memberikan hidup baru dan harapan kepada kita. Perjanjian baru ini memeteraikan semua janji Allah yang akan ditunaikan bagi kita.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, terima kasih atas segala-galanya yang telah Engkau lakukan dalam hidupku. Kerana darah-Mu aku dibersihkan dan disucikan daripada segala dosaku serta didamaikan dengan Allah Bapa. Dalam nama-Mu yang agung aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments