top of page

Yesus Sentiasa Menerima Jemputan Kita

ree

Setelah Yesus habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Yesus pun pergi  lalu duduk bertelekan di meja. Lukas 11:37 AVB

 

Sewaktu Tuhan Yesus dijemput oleh seorang Farisi ke rumahnya untuk makan bersama-sama,  Yesus tidak menolak jemputannya itu.   Dia kelihatan menerima jemputan orang Farisi itu dengan hati yang senang dan terbuka. Siapakah orang Farisi itu?

 

Orang Farisi merupakan "golongan yang diasingkan”. Mereka terdiri daripada  ahli Taurat yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Yahudi. Mereka berpegang erat pada hukum Taurat Musa dan pada "adat istiadat nenek moyang". Seluruh hukum dan peraturan agama Yahudi dipatuhi mereka secara mutlak. Selain itu, orang Farisi juga sangat taat kepada hukum-hukum dan peraturan-peraturan lain yang ditambah kemudian dari zaman ke zaman.

 

Yesus tahu bahawa orang Farisi menentang diri-Nya dan selalu cuba mencari kesalahan-Nya. Namun begitu, apabila seorang Farisi menjemput Yesus  ke rumahnya untuk makan bersama, Dia  masih sudi pergi  lalu duduk bertelekan di meja untuk makan dengannya.

 

Yang penting bagi Tuhan Yesus ialah berita baik tentang-Nya akan dikhabarkan. Oleh itu, latar belakang atau sikap orang Farisi terhadap-Nya bukanlah penghalang kerana keutamaan Yesus ialah  kerajaan Allah bertapak dalam kalangan mereka. Dengan itu, apabila Dia dijemput, Dia pergi tanpa keberatan.

 

Demikian juga dengan diri kita. Tuhan Yesus juga siap sedia menerima jemputan kita untuk masuk ke dalam hidup kita. Dia tidak akan menolak jemputan kita kerana setiap kita adalah amat penting dan berharga kepada-Nya. Oleh itu, jemputlah Yesus ke dalam hidup kita hari ini.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Engkau datang dan masuk ke dalam hidupku. Bimbinglah hidupku dengan sepenuhnya. Bertaktalah Engkau dalam hidupku, ya Tuhan dan pakailah hidupku demi kemuliaan nama-Mu. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page