Support Us
Support Us
Cari
3189 results found with an empty search
- Wang Dan Perspektif Kekekalan
Oleh Adonis dan Joanna
- Apakah Kita Diberi Peluang yang Terdahulu atau yang Terakhir?
“Sesungguhnya, ada orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan ada orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.” Lukas 13:30 AVB Orang Yahudi terang-terang menolak Tuhan Yesus. Mereka enggan bertaubat dan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat hidup mereka. Oleh itu, mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam kerajaan Allah melalui Tuhan Yesus. Walaupun mereka yang pertama-tama diberi keutamaan oleh Allah untuk masuk ke dalam kerajaan Allah, tetapi mereka berkepala batu dan berhati batu. Mereka tidak mahu percaya bahawa Yesuslah Penyelamat yang dijanjikan dan diutus oleh Allah. Hal ini bermakna bahawa mereka sendiri menolak untuk masuk ke dalam kerajaan Allah. Bagaimanapun, bangsa-bangsa lain, yang bukan orang Yahudi pula telah membuka hati untuk menerima pemberitaan Injil tentang Yesus. Oleh itu, mereka boleh masuk ke dalam kerajaan Allah. Sikap orang Yahudi terhadap perkhabaran tentang Yesus telah menyebabkan pintu tertutup kepada mereka. Bukanlah Allah yang menutup pintu itu tetapi sikap degil mereka sendiri. Itulah sebabnya Yesus berkata kepada mereka bahawa orang yang sekarang direndahkan pada waktu itu akan ditinggikan. Demikian juga orang yang sekarang dimuliakan atau dihormati pada waktu itu akan dihina. Sekiranya mereka terus berkeras tidak mahu menerima Yesus ke dalam hidup mereka, penghakiman akan menantikan mereka. Hal ini bermakna bahawa orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir. Dengan kata lain, dalam kerajaan Allah susunan status akan terbalik. Orang yang dianggap tidak penting, seperti orang bukan Yahudi akan mendapat tempat pertama atau istimewa manakala mereka yang dianggap pertama atau istimewa, seperti orang Yahudi tidak dibenarkan masuk. Apa yang penting sekali ialah respons dan ketaatan masing-masing terhadap Tuhan Yesus. Apakah anda seorang yang diberi peluang yang terdahulu atau yang terakhir? Sebab pintu kerajaan Allah terbuka bagi setiap kita dengan syarat kita mahu bertaubat dan menerima Yesus ke dalam hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menerima aku seadanya. Walaupun aku seorang yang tidak layak untuk menerima anugerah penyelamatan-Mu tetapi atas kebaikan dan kasih kurnia-Mu terhadapku, Engkau menyambut aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- DOA NECF Hari 33: Keluarga yang Saleh
Kitab Suci: Amsal 9:10; Maleakhi 2:15 Masyarakat terdiri dari banyak unit keluarga, dan kemakmuran atau kemerosotan masyarakat berkait rapat dengan keberkesanan pendidikan keluarga. Ketika kita melihat pelbagai isu yang kompleks dalam masyarakat, mudah untuk melihat bahawa banyak yang berkait rapat dengan keluarga. Demikian pula, perkembangan dan berbagai-bagai isu gereja juga tidak dapat dipisahkan daripada keadaan rohani keluarga. Kehidupan saleh seorang Kristian bermula dengan takut akan Tuhan. Ibu bapa yang saleh menyepadukan prinsip dan doktrin iman ke dalam pengasuhan harian mereka, menanam nilai-nilai moral alkitabiah, dan terutama menekankan kasih, kebaikan, kemurnian, integriti, dan kasih sayang. Ibu bapa yang saleh memimpin dengan memberi contoh, dengan kata-kata dan tindakan yang konsisten, menunjukkan kerendahan hati dan toleransi yang selari dengan iman mereka. Mereka mengutamakan untuk meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak mereka, menawarkan bimbingan dan dukungan, dan membina perkembangan anak-anak mereka di semua aspek—tubuh, fikiran, dan jiwa, terutama dalam pertumbuhan rohani. Yang terpenting, mereka mengajarkan anak-anak mereka untuk mengenal dan takut akan Tuhan, seperti yang dikatakan Amsal 9:10, " Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian." Maleakhi 2:15 mengatakan, " Bukankah Allah yang Esa menjadikan mereka daging dan roh? Dan apakah yang dikehendaki kesatuan itu? Keturunan ilahi." Tuhan menciptakan manusia untuk berkomunikasi, berinteraksi, berkongsi, dan mengurus dunia yang diciptakan-Nya. Namun, tanpa keturunan yang saleh, keluarga tidak dapat melaksanakan misi pengelolaan yang telah dipercayakan Tuhan kepada mereka. Susanna Wesley, seorang wanita yang tekun berdoa dan saleh, memiliki dua anak lelaki, Charles Wesley dan John Wesley, yang bersama George Whitefield, mencetuskan kebangkitan besar di England abad ke-18. Apabila keluarga menerapkan nilai-nilai alkitabiah tentang kehidupan dan iman, mewariskan iman mereka yang murni, dan apabila ahli keluarga berjalan bersama-sama merentas generasi, hal itu dapat menghasilkan impak masyarakat yang luar biasa. Doa Hari Ini: Teladan yang diberikan oleh ibu bapa yang saleh sangat mempengaruhi pertumbuhan rohani anak-anak mereka. Tuhan, bangkitkanlah ibu bapa yang takut kepada-Mu, supaya keturunan yang saleh dapat dibangkitkan. Semoga keturunan yang saleh, yang berjalan di antara generasi-generasi, menjadikan Kristus sebagai pusat, dan mewujudkan kehidupan yang saleh dalam tindakan mereka. Dalam Nama Yesus, Amin. Berdoalah agar setiap keluarga di gereja menjadi rumah doa, dan agar keluarga-keluarga memiliki asas yang kukuh tentang nilai-nilai alkitabiah yang terus-menerus disampaikan kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka. (Mazmur 78:4) Pusat jagaan kanak-kanak bertambah dengan pesat di seluruh Malaysia, terutama di bandar-bandar besar di mana ibu bapa yang bekerja tidak dapat menjaga anak-anak mereka. Berdoalah agar pusat-pusat ini tidak hanya mencari keuntungan kewangan tetapi juga menagsihi dan mendidik dengan baik anak-anak yang dipercayakan kepada mereka. Rev Paulus Wong Rev Foo Moy Peng
- Hari 33: Sukacita dalam Rumah Tangga
Tarikh: 8 September 2025 Ayat Fokus: Kisah Para Rasul 16:14-15 dan 25-34 Paulus dan Silas telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Walaupun mereka disebat dan dibelenggu kerana Yesus, mereka tetap memuji Tuhan dengan pujian. Pada malam itu, satu gempa bumi berlaku dan pintu penjara terbuka, dan belenggu semua tahanan terlucut! Ketua penjara tahu bahawa dia akan dihukum berat jika semua tahanan melarikan diri. Dia hampir membunuh dirinya sendiri, tetapi Paulus berseru, “Jangan apa-apakan dirimu! Kami semua ada di sini.” Ketua penjara begitu terkejut dan bertanya, “Apa yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?” Paulus menjawab: “Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.” Seisi rumahmu! Tuhan suka bekerja dalam rumah tangga. Ketua penjara percaya kepada Yesus, dia diselamatkan dan dibaptis. Tetapi bukan hanya dia — seluruh isi rumahnya juga! Hasilnya adalah sukacita! Dia mengajak Paulus dan Silas ke rumahnya dan memberi mereka makanan. Alkitab mencatat bahawa ketua penjara itu: “amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah” Tahukah kamu tentang Surat Filipi dalam Alkitab? Surat ini sebenarnya adalah surat yang Paulus tuliskan kepada Lidia dan rumah tangganya, juga kepada ketua penjara dan rumah tangganya, yang dipercayai menjadi antara orang pertama yang memulakan gereja di Filipi. Jika kamu membaca surat ini, kamu akan melihat bahawa ia banyak berbicara tentang sukacita dan bersukacita , walaupun dalam keadaan sukar. Sukacita ini datang daripada mengenal Yesus dan takut akan Tuhan. Renungkan: Biarlah sukacita memenuhi rumah tangga Kristianmu! Doa Hari Ini: Allah Yang Ajaib, masuk ke dalam rumah tangga Mu membawa sukacita melalui iman kepada Yesus Kristus. Perkara yang berlaku kepada ketua penjara dan rumah tangganya benar-benar luar biasa! Semoga rumah tanggaku juga dipenuhi dengan sukacita dan kegembiraan kerana percaya kepada-Mu. Dalam nama Yesus, saya berdoa. Amin. Gereja: Berdoa agar generasi yang lebih tua dalam setiap keluarga akan mengajarkan generasi muda tentang Tuhan. (Baca Mazmur 78:4) Bangsa: Berdoa agar pusat jagaan kanak-kanak dan taska akan menjadi tempat yang selamat untuk anak anak belajar, bermain, dan membina hubungan baik dengan orang lain.
- Pertaubatan Menyebabkan Pintu Dibuka untuk Kita
“Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu.’ Tetapi dia akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.’ ” Lukas 13:25 AVB Tuhan Yesus menggunakan satu ibarat untuk memperingatkan orang Yahudi tentang pentingnya perkenalan dan hubungan secara peribadi antara dua pihak. Sebab waktu untuk bertaubat dan menerima-Nya adalah sesungguhnya singkat dan peluang terbuka itu hendaklah diambil dengan segera sebelum terlambat. Dengan itu, Yesus berkata kepada orang Yahudi yang datang mendengar ajaran-Nya bahawa keadaan kerajaan Allah bagaikan sebuah rumah. Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika mereka berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, ‘‘Tuan, tuan, bukalah pintu.” Tetapi dia akan menjawab, ‘‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.” Kemudian mereka akan berkata, ‘‘Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.’’ Tetapi tuan itu akan berkata, ‘‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah kamu dari sini, kamu semua penjahat!’’ Yesus ingin menasihati orang Yahudi pada masa itu yang berfikir bahawa semua orang Yahudi pasti akan masuk ke dalam kerajaan Allah memandangkan mereka keturunan Abraham dan sentiasa menjalani upacara keagamaan Yahudi. Itulah sebabnya mereka bertanya kepada Yesus, “Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?” Pada pendapat mereka, bangsa-bangsa lain tidak akan diselamatkan. Jelaslah bahawa Yesus mahu memberitahu mereka bahawa pertaubatan sahaja akan membolehkan mereka untuk masuk ke dalam kerajaan Allah, sebagaimana semua bangsa lain juga mesti bertaubat. Tanpa pertaubatan tidak ada seorang pun dapat masuk ke dalam kerajaan Allah. Bertaubatlah daripada dosa kita selagi pintu kerajaan Allah masih dibuka untuk diri kita. Tegasnya, pertaubatan daripada dosa akan menyebabkan hubungan kita dengan Allah dipulihkan dan kita berbaik semula dengan-Nya. Jika kita enggan bertaubat, kita pasti akan menghadapi penghakiman-Nya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku daripada dosa-dosaku baik yang sengaja mahupun yang tidak sengaja. Limpahkan belas kasihan dan kasih kurnia-Mu kepadaku kerana aku memang tidak layak masuk ke hadirat-Mu. Inilah aku. Sucikanlah aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Hari 32: Rumah Tangga Kristian
Tarikh: 7 September 2025 Ayat Fokus: Kolose 3:18-24 Ingatkah kamu ketika Gimbang melawat neneknya di kampung dan melihat kaum lelaki membina rumah? Perkara pertama yang dilihatnya ialah mereka membina asas rumah. Bahagian ini menghubungkan rumah kepada tanah dan menyokong seluruh struktur. Jika asasnya tidak rata atau bengkok, maka seluruh rumah akan menjadi tidak stabil. Jadi, ini adalah bahagian yang sangat penting dan mesti dibuat dengan betul! Semua orang yang tinggal bersama dalam satu rumah membentuk sebuah rumah tangga. Biasanya, mereka adalah ahli keluarga, tetapi kadangkala orang lain yang bukan ahli keluarga juga tinggal di situ. Sebab itu kita menggunakan istilah “rumah tangga” Sebuah rumah tangga Kristian harus takut akan Tuhan . Itulah asas yang penting. Ia bermula dengan setiap individu. Bayangkan betapa kuatnya asas itu jika setiap individu dalam rumah tangga takut, taat, menyembah dan menghormati Tuhan. Jika mereka tahu bahawa Tuhan adalah pemegang kuasa tertinggi. Jika mereka setia kepada Tuhan dan percaya kepada Nya. Jika mereka beribadah, rendah hati, berdoa dan bertaubat atas dosa mereka. Lebih daripada itu, setiap peranan dalam rumah tangga juga sangat penting. Bacalah ayat-ayat Kolose yang menjadi ayat fokus hari ini. Tuhanlah yang memberikan setiap kedudukan dalam rumah tangga. Isteri harus tunduk kepada suami. Suami harus mengasihi isteri dan tidak bersikap kasar kepadanya. Anak-anak harus taat kepada ibu bapa. Bapa tidak boleh membangkitkan amarah atau membuat anak-anak berkecil hati. Pekerja atau pembantu rumah juga harus taat kepada tuannya. Setiap orang dalam rumah tangga harus bekerja seolah olah bekerja untuk Tuhan sendiri! Inilah gambaran indah sebuah rumah tangga Kristian yang takut akan Tuhan bersama sama sebagai satu keluarga. Renungkan: Adakah kamu sedang melakukan bahagian kamu untuk menjadikan rumah tangga Kristian kamu kuat? Doa Hari Ini: Allah Yang Maha Kuasa, saya dan keluarga saya ingin takut akan Engkau. Tolonglah saya melakukan bahagian saya dalam membina rumah tangga Kristian yang sejati. Ada sesetengah keluarga, hanya seorang sahaja yang beriman kepada Yesus. Bantu orang itu untuk tetap takut akan Tuhan sebagai individu, supaya suatu hari nanti mereka boleh membina sebuah rumah tangga Kristian sendiri dengan asas yang kuat dalam takut akan Tuhan. Saya berdoa dalam nama Yesus. Amin. Gereja: Berdoa agar setiap rumah tangga Kristian mempunyai susunan keluarga yang betul, dengan suami sebagai ketua, isteri sebagai penolong, dan anak-anak sebagai pengikut. Berdoa agar kita menghormati ibu bapa dan tunduk kepada kuasa mereka sebagai ibu bapa. (Baca Efesus 5:21) Bangsa: Berdoa agar anggota keluarga di Malaysia saling mengasihi dan mengambil berat antara satu sama lain, supaya rumah tangga menjadi tempat yang hangat, bahagia dan penuh damai.
- DOA NECF Hari 32: Keluarga yang Menyembah Tuhan
Kitab Suci: Kejadian 8:20-21; 12:6-8 Pada abad ke-16, orang Puritan sudah mengakui bahawa ibadah bukan sahaja untuk gereja tetapi juga untuk keluarga. Oleh itu, mereka membawa pulang ibadah Ahad ke rumah. Ibu bapa Puritan dengan tekun mengajar dan mendisiplinkan anak-anak mereka dalam kehidupan seharian mereka, dan melalui ibadah keluarga, mereka menjadikan rumah sebagai tempat untuk memenangkan jiwa dan menjadikan murid Kristus. Keluarga yang menyembah Tuhan bermula dengan ibu bapa atau penjaga, kerana mereka memegang kuasa dan tanggungjawab rohani. Mereka mesti memimpin anak-anak mereka di hadapan Pencipta, sama seperti Nuh, Abraham, Ishak, dan Yakub, membina mazbah untuk doa dan penyembahan ke mana sahaja mereka pergi (lihat Kejadian 8:20–21; 12:6–8). Ibadah mempunyai daya memusat yang kuat yang memalingkan hati kepada Tuhan, menghalang mereka daripada terganggu oleh hal-hal duniawi. Mazbah doa dan penyembahan keluarga adalah tempat Kristus memerintah dalam rumah, membimbing keluarga untuk tunduk sepenuhnya kepada kuasa-Nya yang besar. Keluarga yang menyembah Tuhan dibina atas nilai keluarga Kristian, dengan Kristus sebagai teras, dan Alkitab sebagai asas untuk kehidupan keluarga. Setiap sesi penyembahan keluarga menjemput Kristus, melalui Roh Kudus, untuk menjadi Tuhan di rumah. Melalui ini, Firman Tuhan menanamkan keluarga dengan iman dan motivasi yang lebih besar, membolehkan mereka menampilkan diri mereka sebagai korban yang hidup, bersedia untuk dibentuk dan dimurnikan oleh Tuhan, untuk akhirnya menjadi hamba yang sangat dipakai oleh Tuhan. Keluarga yang menyembah Tuhan menolong ahlinya memahami dan mengalami kasih dan kuasa Tuhan, membina hubungan yang kukuh dengan Tuhan dan satu sama lain. Hasil akhir ialah ahli keluarga akan mentaati perintah Tuhan dan dengan setia memenuhi misi yang diamanahkan kepada mereka. Oleh itu, hubungan antara gereja dan keluarga tidak dapat dipisahkan, kerana kesihatan dan kekuatan gereja bergantung kepada kualiti rohani keluarga. Doa Hari Ini: Keluarga yang menyembah Tuhan adalah berpusatkan Kristus, dan penyembahan membawa keluarga kembali ke hati Tuhan, berhubung dengan-Nya, dan menerima kebijaksanaan dan wahyu daripada-Nya. Tuhan, semoga setiap rumah mendirikan mazbah penyembahan kepada Yesus, mengizinkan Dia memerintah dan setiap keluarga tunduk sepenuhnya kepada kuasa-Nya yang besar. Dalam Nama Yesus, Amin. Berdoalah agar susunan keluarga yang baik akan ditegakkan dengan kukuh di setiap rumah tangga Kristian, dengan suami sebagai kepala, isteri sebagai penolongnya dan anak-anak sebagai pengikut mereka, menghormati ibu bapa mereka, dan tunduk kepada autoriti ibu bapa mereka. (Efesus 5:21) Trend dalam keluarga Malaysia menunjukkan penurunan kadar perkahwinan (penurunan 12.5% dari 2022 kepada 2023), kadar perceraian yang tinggi dan peningkatan dalam bilangan ibu bapa tunggal. Berdoalah agar nilai kekeluargaan yang betul akan dipupuk kepada anak muda Malaysia supaya mereka memahami dan menghormati kesucian keluarga. Rev Paulus Wong Rev Foo Moy Peng
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia
- Berusahalah Memasuki Pintu yang Sempit
“Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.” Lukas 13:24 AVB Dalam perjalanan ke Yerusalem, Tuhan Yesus melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar. Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?” Orang itu bertanya kepada Tuhan Yesus kerana dia hanya ingin menguji-Nya untuk mengetahui bilangan orang yang akan diselamatkan dan bukan secara peribadi betul-betul mahu dirinya diselamatkan. Oleh itu, Yesus menjawab pertanyaan orang itu dengan berkata, “Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.” Yesus berkata sedemikian kerana terlalu banyak orang yang berusaha memasuki kerajaan Allah, tetapi mereka gagal berbuat demikian kerana mahu mengikut jalan sendiri dan enggan mengikut jalan Allah. Sebab seorang yang ingin masuk ke dalam kerajaan Allah harus melalui pintu yang sempit, iaitu dia harus mengalami perubahan sepenuhnya secara dalaman sehinggalah dia dilahirkan semula untuk menjadi ciptaan baharu. Jalan yang sempit ini merujuk kepada penyangkalan diri seseorang terhadap hal-hal yang diinginkannya untuk memuaskan sifat tabiinya. Oleh itu, seseorang itu dituntut untuk mengetepikan kepentingan peribadinya dan mengutamakan kehendak Allah dalam hidupnya. Persoalan yang penting ialah sama ada kita mahu masuk ke dalam kerajaan Allah saat ini. Marilah kita percaya dan beriman kepada Tuhan Yesus, bertaubat daripada dosa kita demi menerima pengampunan serta sentiasa hidup berpegang teguh pada n firman Allah. Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus mengutamakan Engkau dalam hidupku dengan menyerahkan segala keinginanku kepada-Mu dan mentaati kehendak-Mu bagiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- DOA NECF Hari 31: Keluarga yang Takut akan Tuhan
Baca: Amsal 14:26; 1 Samuel 2:12-17; 2 Timotius 1:5 Masyarakat saat ini penuh dengan masalah, tidak kurang dengan ahli politik yang sangat tamak, baik terhadap wang mahupun kekuasaan. Malangnya, gereja pun tidak terkecuali daripada isu peribadi dan rohani ini. Akar masalahnya adalah kurangnya rasa hormat kepada Tuhan. Ahli Sejarah China Zhu Xi pernah berkata, "Hati seorang lelaki yang budiman selalu dipenuhi dengan rasa hormat." Hanya dengan hati yang penuh rasa hormat, seseorang dapat bertindak hati-hati dan mencapai kejayaan jangka panjang. Perkara yang paling menakutkan di dunia adalah hilangnya rasa hormat di mana langit dan bumi tidak dihormati, dan tidak ada makhluk hidup yang ditakuti. Rasa hormat ini harus bermula dari rumah, dengan memberikan peranan penting kepada unit keluarga. Amsal 14:26 memberi semangat kepada kita, dengan mengatakan, “Dalam takut akan TUHAN ada ketenteraman yang besar, bahkan ada perlindungan bagi anak-anak-Nya. .” Ibu bapa Kristian memiliki tanggunjawab untuk menjalani hidup yang menghormati Tuhan sehingga mereka dapat menjadi teladan dan contoh bagi anak-anak mereka untuk diikuti, dan memberikan perlindungan syurgawi kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga memiliki kewajiban untuk mewariskan iman mereka kepada generasi akan datang. Jika ibu bapa tidak memiliki hati yang penuh hormat kepada Tuhan, mereka akan gagal memenuhi misi keluarga. Berjalan dengan Tuhan dalam rasa hormat bukan hanya urusan peribadi tetapi juga urusan keluarga. Eli, meskipun seorang imam yang takut akan Tuhan, memiliki dua anak yang tidak. Mereka tidak mengenal Tuhan, melakukan perbuatan jahat, dan menyinggung hati-Nya, yang akhirnya menyebabkan orang-orang membenci Tuhan (lihat 1 Samuel 2:12-17). Sebaliknya, Lois dan Eunike, seorang ibu dan anak perempuan yang takut akan Tuhan, sangat mempengaruhi keturunan mereka, Timotius (lihat 2 Timotius 1:5). Timotius kemudian menjadi seorang hamba yang sangat dipakai oleh Tuhan. Keluarga yang takut akan Tuhan tidak hanya mentaati perintah-perintah Tuhan tetapi juga menjalani kehidupan harian mereka secara konsisten. Mereka hanya takut akan Tuhan kerana mereka menghargai kebenaran dan keadilan. Doa Hari Ini: Keluarga yang takut akan Tuhan tahu bagaimana menghormati Tuhan dan sesama. Tuhan, tunjukkan kepada ibu bapa bagaimana membimbing anak-anak mereka untuk menjalani kehidupan yang penuh rasa hormat. Ketika anak-anak memiliki Tuhan di dalam hati mereka, mereka juga akan menghormati orang lain. Keluarga yang takut akan Tuhan mempengaruhi keharmonian sosial dan kemakmuran bangsa. Tuhan, bangkitkan ibu bapa yang takut akan Engkau sehingga mereka dapat melahirkan keturunan yang saleh. Dalam Nama Yesus, Amin. Berdoalah agar para suami akan mengasihi isteri mereka sebagaimana Kristus mengasihi Gereja dan mati untuknya, dan agar kasih akan dipupuk dalam pasangan yang sudah menikah, memungkinkan anak-anak mereka untuk menemukan pentingnya dan nilai unit keluarga. (Efesus 5:25,28) Kos sara hidupyang melambung telah melumpuhkan orang miskin, menghalang akses mereka kepada keperluan yang paling asas sekalipun. Isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana turut terjejas. Berdoalah agar pemerintah memiliki kebijaksanaan, kemahiran, dan pengetahuan untuk melaksanakan dasar berkaitan dengan gaji, subsidi, skim perumahan, dan sebagainya. Rev Paulus Wong Rev Foo Moy Peng
- Hari 31: “Marilah, Anak-anakku”
Tarikh: 6 September 2025 Ayat Fokus: Mazmur 34:8-11, terutamanya ayat 11 Setiap malam selepas makan, ayah dan ibu Charlotte akan mengumpulkan dia dan adik kembarnya, Chadwick dan Cheruba, untuk membaca Alkitab dan berdoa. Ayahnya seorang pastor dan ibunya seorang guru Sekolah Minggu. Kadang-kadang saat teduh itu agak panjang, tetapi mereka semua belajar tentang firman Tuhan dan bagaimana takut akan Tuhan sebagai satu keluarga. Raja Daud mengajak anak-anaknya untuk melakukan perkara yang sama. Dia berkata, “Marilah anak-anak, dengar kata kataku; aku akan mengajarmu takut akan TUHAN.” (Mazmur 34:11) Dia mahu anak anaknya tahu bahawa Tuhan itu baik. Inilah warisan iman yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang berikutnya, seperti yang kita pelajari sebelum ini (rujuk Hari 6-10). Di samping membaca Alkitab bersama, Charlotte, Chadwick dan Cheruba juga melihat ibu bapa mereka melayani dan menyembah Tuhan, bukan hanya di rumah dan gereja, tetapi juga dalam komuniti. Seminggu sekali, mereka melawat dapur amal untuk memberi makanan kepada orang gelandangan, bercakap dengan mereka dan mencari cara untuk membantu. Kadang-kadang mereka mengunjungi rumah orang tua untuk membawa kegembiraan kepada warga emas. Mereka juga ramah dan mesra dengan jiran-jiran mereka. Tuhan suka melihat keluarga Kristian yang melayani bersama seperti ini. Sepanjang empat hari akan datang kamu akan melihat perbezaan besar yang boleh dilakukan oleh keluarga dan seluruh isi rumah apabila mereka takut kepada Tuhan bersama-sama. Walaupun ibu bapa kamu bukan pastor, jika mereka takut akan Tuhan, mereka layak untuk mengajar kamu. Maka, dengarlah dan perhatikanlah ajakan mereka. Renungkan: Apabila ibu bapa kamu berkata, “Marilah, anak-anakku,” adakah kamu bersedia mendengar, belajar, dan bekerjasama sebagai satu keluarga? Doa Hari Ini: Bapa Syurgawi , Engkau selalu baik kepada saya. Terima kasih atas ibu bapa saya yang mengajar saya untuk takut akan Engkau. Saya berdoa agar anak anak yang ibu bapanya tidak mengenal Tuhan akan menemukan seseorang yang dapat mengajar mereka secara tetap. Terima kasih kerana Roh Kudus-Mu juga mengajar kami melalui firman dalam Alkitab. Dalam nama Yesus, saya bersyukur. Amin. Gereja: Berdoa agar bapa-bapa akan mengasihi ibu-ibu seperti Kristus mengasihi Gereja dan menyerahkan diri-Nya untuknya, supaya kita belajar nilai keluarga yang berharga daripada mereka. (Baca Efesus 5:25,28) Bangsa: Harga barang semakin mahal, menyebabkan keluarga berpendapatan rendah sukar memenuhi keperluan asas. Berdoa agar kerajaan mengambil tindakan supaya mereka mempunyai makanan untuk dimakan, pakaian untuk dipakai dan rumah untuk didiami.
- Doa Puji Harian
Disediakan oleh: 24-7 Prayer Malaysia












