top of page

Memperhitungkan Keputusan untuk Mengikut Yesus

ree

“Jika seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu.” Lukas 14:28 AVB

 

Yesus mengajar orang ramai yang ingin mengikut-Nya bahawa mereka harus pertama-tama membuat perhitungan yang sewajarnya. Sebab apabila membuat keputusan untuk mengikut Yesus, seseorang itu tidak boleh berserah diri dengan separuh hati sahaja, tetapi harus dengan sepenuh hati.

 

Sekali lagi Tuhan Yesus menggunakan ibarat untuk mengajar orang ramai,  Jika seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu.”  Seorang yang bijak akan terlebih dahulu menghitung sumber dan kemampuannya secara realistik untuk memastikan sama ada dia berupaya membereskan pembinaan menara tersebut.

 

Demikianlah dengan seseorang yang ingin menjadi murid Yesus. Dia juga harus terlebih dahulu menentukan sama ada dia bersiap sedia dan rela untuk mengabdikan diri secara menyeluruh kepada Tuhan Yesus. Membina menara boleh melambangkan hidup bertapak teguh dalam iman yang menuntut harga yang tinggi, seperti menyangkal diri dan memikul salib setiap hari.

 

Marilah kita membuat perhitungan yang sungguh-sungguh untuk mengikut Tuhan Yesus pada hari ini, agar kita dapat meneruskan perjalanan hidup kita dengan baik lagi berhasil. Apa yang penting ialah kita sudah memperhitungkan segala harga yang perlu kita tunaikan untuk mengikut-Nya. Dia sebagai TUHAN yang menyediakan apa yang diperlukan pasti akan memberkati kita dan melengkapkan kita untuk menyempurnakan pekerjaan-Nya.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Pakailah hidupku  sebagai alat-Mu untuk melakukan pekerjaan-Mu. Teguhkan hatiku agar aku dapat mengakhiri perlumbaan hidup ini dengan baik. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page