top of page

Apakah Kita Bersiap Lengkap untuk Menjadi Murid Yesus?

ree

“Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi murid-Ku.” Lukas 14:33 AVB

 

Setelah Tuhan Yesus menggunakan dua ibarat untuk menjelaskan tuntutan terhadap seseorang yang ingin menjadi murid-Nya, Dia pun membuat kesimpulan kepada orang ramai, "Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi murid-Ku.” 

 

Apakah yang dimaksudkan dengan “meninggalkan segala miliknya”? Hal ini merujuk kepada tindakan yang harus diambil oleh seseorang yang mahu menjadi murid Yesus. Dia kena rela berkorban atas segala-galanya, seperti menyerahkan seluruh harta bendanya atau bersedia untuk meninggalkan semua hak pemilikannya demi Yesus atau tidak lagi gila harta sehingga sanggup melepaskan semua yang ada padanya untuk mengikut Yesus.

 

Nyatalah bahawa sebagai murid Yesus, seseorang itu dituntut untuk berkorban dengan melepaskan segala-galanya demi mengikut Yesus. Dengan kata lain, keutamaannya haruslah pada Yesus sahaja dan bukan pada dirinya. Sebab sekiranya Yesus tidak menjadi keutamaan dalam dirinya, maka dia tidak dapat melayani Yesus  dengan sepenuh jiwa raganya.

 

Marilah kita meninggalkan segala-galanya untuk menjadi murid Yesus dengan sepenuh hati dan bukan dengan separuh hati. Sebab hati yang berbelah bahagi akan menyebabkan kita tidak berkomitmen dengan taat setia. Murid Yesus tidak semestinya hidup miskin dan langsung tidak ada harta benda. Sebaliknya, kita hendaklah menganggap semua yang ada pada kita bukan lagi hak milik kita melainkan diberikan dan diamanahkan oleh Allah kepada kita demi kemuliaan-Nya.

 

Apakah kita bersiap lengkap untuk menjadi murid Yesus yang sejati?

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Pakailah aku sebagai alat-Mu. Ajarlah aku untuk berserah dan bergantung sepenuhnya pada-Mu agar aku menjadi murid-Mu yang baik dan memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. 


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page