Support Us
Support Us
Cari
3189 results found with an empty search
- Sekali Diselamat Sentiasa Diselamat?
Adakah seorang Kristian yang diselamatkan sekali bermakna dia akan sentiasa terselamat? Apabila seseorang mengenali Kristus sebagai penyelamat, mereka menjalin satu hubungan dengan Tuhan yang menjamin penyelamatan mereka yang kekal abadi. Banyak perenggan di dalam Kitab Injil yang mengumumkan fakta ini. (a) Roma 8:30 menyatakan bahawa, “Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia”. Ayat tersebut memberitahu kita bahawa ketika Tuhan memilih kita, maka adalah seperti kita diberi kemuliaan bersamanya di syurga. Tiada sebarang benda yang boleh menghalang seseorang yang percaya kepada Tuhan daripada mendapat kemuliaan jika Tuhan sudah menentukannya di syurga. Apabila seseorang dianggap sempurna oleh Tuhan, maka penyelamatannya dijamin akan kekal – dia telah terselamat bagai telah berada di dalam kemuliaan syurga. (b) Paulus juga bertanya soalan yang kritikal di dalam Roma 8:33-34, “Siapakah berani menuduh kita, umat yang sudah dipilih oleh Allah? Tiada seorang pun, kerana Allah sendiri menyatakan kita tidak bersalah. Siapakah dapat menyalahkan kita? Tidak seorang pun, Kristus Yesus membela kita! Dialah yang sudah mati, bahkan sudah dibangkitkan daripada kematian dan berada di sebelah kanan Allah”. Siapa yang boleh menuduh orang yang dipilih oleh Tuhan? Tiada sesiapa kerana Yesus ialah penyelamat kita. Siapa yang boleh mengatakan kita berdosa? Tiada sesiapa, kerana Kristus, sudah mati untuk kita, Dia yang mengadili kita. Kita mempunyai pengadil dan penyelamat sebagai Tuan kita. (c) Penganut dilahirkan semula (diperbaharui) semasa mereka percaya (Yohanes 3:3; Titus 3:5). Bagi seorang Kristian yang kehilangan penyelamatannya, dia mesti telah mengalami proses yang bertentangan dengan pembaharuan. Kitab Injil tidak menyatakan bahawa kelahiran semula boleh diambil alih. (d) Roh Kudus hidup di dalam semua penganut (Yohanes 14:17; Roma 8:9) dan membaptis mereka menjadi Badan Kristus (1 Korintus 12:13). Seorang penganut hanya akan menjadi tidak terselamat apabila dia ditinggalkan oleh Roh Kudus dan terpisah daripada Badan Kristus. (e) Yohanes 3:15 mengatakan bahawa barang sesiapa yang percaya kepada Yesus Kristus akan mempunyai “kehidupan abadi”. Jika kamu percaya kepada Kristus hari ini dan kehilangannya esok, maka ini bukan abadi lagi. Jika kamu boleh kehilangan kehidupan abadi, maka janji-janji di dalam Kitab Injil adalah tidak benar. (f) Sebagai kesimpulannya, saya rasa Kitab Injil betul apabila menyatakan bahawa, “Aku yakin bahawa tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita: baik kematian mahupun kehidupan, baik malaikat mahupun penguasa lain di angkasa, baik hal-hal yang berlaku sekarang mahupun pada masa yang akan datang, baik hal-hal yang di langit mahupun yang di bumi – tidak ada sesuatu pun di alam semesta yang dapat menghalang Allah mengasihi kita, seperti yang sudah ditunjukkan-Nya melalui Kristus Yesus, Tuhan kita.” (Roma 8:38-39). Ingat bahawa Tuhan yang menyelamatkan kamu ialah Tuhan yang melindungi kamu. Sekali diselamatkan bermakna sentiasa terselamat. Penyelamatan kita akan berkekalan sehingga abadi.
- Apakah Yesus Hanya Seorang Nabi Kepada Bangsa Israel Sahaja?
Pendahuluan Adakah Yesus datang hanya untuk bangsa Israel sahaja dan bukan untuk semua bangsa di dunia? Ada segolongan orang yang salah faham tentang misi Yesus, menurut Al-Kitab, kerana mereka gagal memahami kata-kata Yesus dalam Injil Matius seperti berikut: “Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang." (Injil Matius 15:24) “Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria. Pergilah kepada domba-domba hilang antara keturunan kaum Israel.” (Injil Matius 10:5,6) Adakah kata-kata ini bermaksud Yesus diutus kepada bangsa Israel sahaja? TIDAK SAMA SEKALI! Salah faham ini hanya timbul jika kita cuma memahami sebahagian dan bukan KESELURUHAN pelayanan Yesus semasa di bumi. Mari kita mengkaji bersama-sama apa sebenarnya misi Yesus ke dunia ini. Terlebih dahulu, kita perlu sedar Yesus lahir daripada keturunan Abraham, Ishak dan Yakub (Israel) yang merupakan moyang kepada bangsa Israel. Yesus adalah perkabulan segala janji-janji Allah kepada Abraham berabad-abad yang lalu. Allah telah berjanji kepada Abraham: “ Aku akan memberkati kamu dan menjadikan namamu hebat. Kamu akan menjadi suatu keberkatan! ...Melalui engkau, SEMUA KAUM di BUMI akan diberkati.” (Kej 12:2-3) “Aku akan mengesahkan perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu serta KETURUNANMU kelak, turun-temurun, menjadi suatu perjanjian yang kekal, iaitu bahawa Aku akan menjadi Allah kepadamu dan kepada keturunanmu.” (Kej 17:7) “Aku akan menjadikan kamu bapa kepada beberapa banyak bangsa. Aku akan membuat kamu beranak cucu sangat banyak. Melalui kamu Aku akan menjadikan bangsa-bangsa, bahkan raja-raja akan muncul daripada keturunanmu. (Kej 17:4-5) Janji Allah ini mempunyai dua bahagian. Pertama, Allah berjanji untuk memberkati keturunan Abraham iaitu Ishak, Yakub, dan juga anak-anak (keturunan) Israel. Kedua, Allah telah berjanji bahawa daripada keturunan Abraham, Ishak dan Yakub inilah, akan bangkit satu sumber berkat dan anugerah untuk segala bangsa-bangsa iaitu untuk seluruh dunia (Kejadian 12:2-3; Kejadian 17:4-5; Kisah Para Rasul 3:25,26 dan Galatia 3:8,14). Dalam perjanjian dengan Abraham itu, kedua-dua keturunan Israel (Yahudi) dan keturunan bangsa lain (bukan Yahudi) akan sama-sama diberkati. Ini disahkan apabila Yesus dilahirkan beberapa abad kemudian: ketika masih seorang bayi, beliau dibawa masuk ke bait Allah. Di sana, seorang lelaki tua yang salih bernama Simeon telah digerakkan oleh Roh Allah untuk mendukungnya dan berkata: “.. mataku telah melihat penyelamatan-Mu, yang telah Kau sediakan di hadapan segala bangsa, satu cahaya yang akan m enunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel." (Injil Lukas 2:30-32) Dari ini, dapat kita fahami pelayanan Yesus mempunyai dua misi. Misi Pertama Yesus: Oleh kerana Yesus dilahirkan daripada bangsa Israel, misi pertamanya adalah untuk menyatakan Tuhan serta diri-Nya kepada bangsa-Nya Israel. Mereka adalah bangsa pilihan Allah – keturunan Abraham, Ishak dan Yakub. Maka, Yesus melayani dan bekerja di antara mereka secara peribadi dengan membawa tanda-tanda ajaib dan mukjizat supaya dapat meyakinkan mereka bahawa: (i) beliaulah satu-satunya Kristus atau Al-Masih yang telah lama ditunggu-tunggu dan dijanjikan Allah, (ii) beliau sahajalah yang telah menggenapi segala nubuat-nubuat para nabi beratus-ratus tahun yang lalu tentang Penyelamat yang akan diutus Allah untuk menyelamatkan manusia dari dosa; (iii) beliaulah yang telah dipilih, ditahbiskan dan diurapi oleh Allah untuk membawa kesejahteraan kepada manusia. Oleh sebab itulah, semasa pelayanan peribadi-Nya, Yesus perintahkan murid-murid-Nya supaya pergi kepada bangsa Israel sahaja. Merekalah yang harus mendengar berita baik Yesus itu TERLEBIH DAHULU. Inilah keistimewaan bangsa Israel kerana mereka umat pilihan Allah dan Allah telah berjanji akan memberkati mereka secara khususnya. Lagi pun, Yesus sendiri juga berasal daripada bangsa Israel. Berikutan dengan kewafatan dan kebangkitan Yesus, muridnya Petrus, menyatakan bangsa Israel sebagai berikut: “Kamu ialah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Abraham, 'Melalui benihmu SEMUA BANGSA DI BUMI akan diberkati. Pertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Yesus dan menghantar-Nya untuk memberkatimu dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu." (Kisah Para Rasul 3:25,26) Jadi, jelaslah Allah sebenarnya telah merancang dari awalnya bahawa bangsa pertama yang akan mendengar khabar baik Yesus adalah bangsa Israel. Maka, tidak hairanlah Yesus menumpukan misi pertamanya pada mereka. Misi Kedua Yesus: Misi kedua Yesus adalah yang paling mustahak sekali. Ia adalah untuk memberikan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi dosa-dosa seluruh umat manusia. Kenapa Yesus harus mengorbankan nyawaNya? Al-Kitab mengatakan Allah mengampunkan dosa kita hanya bila ada tumpahan darah (sebagai tebusan dosa) kerana kita hanya boleh disucikan oleh darah. Tiada sesiapa pun yang layak menjadi persembahan korban untuk dosa manusia kerana tiada sesiapa pun dalam dunia ini yang bebas dari dosa. Hanya Yesus yang layak menjadi korban sempurna bagi dosa manusia. Al-Kitab menyatakan: “ Kristus Yesus.. telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa seluruh umat manusia..” (1 Timotius 2:4-6) "Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk m enyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang." (Injil Matius 20:28) "Demikianlah yang tersurat: Bahawa Kristus harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, dan perkhabaran te ntang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem.” (Injil Lukas 24:46,47) Al-Kitab jelas bahawa Yesus adalah berkat anugerah Allah untuk seluruh umat manusia bagi pengampunan dosa. Penyelamatan dalam Yesus ini tersedia bagi semua orang, baik orang-orang Yahudi mahupun orang-orang bukan Yahudi. Ini berita yang sungguh baik sekali untuk manusia sejagat! Ingatlah, semasa pelayanan peribadi Yesus di dunia ini, beliau hanya memerintahkan murid-murid-Nya agar pergi kepada orang-orang Israel sahaja TETAPI selepas misi keduaNya selesai (iaitu penebusan dosa di atas kayu salib), beliau perintahkan murid-murid-Nya untuk pergi kepada semua bangsa, sampai ke hujung bumi. “Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi." (Kisah Para Rasul 1:8) “Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku... ”. (Injil Matius 28:19) Yesus sendiri mengesahkan misi-Nya untuk seluruh dunia apabila beliau berkata: "A kulah cahaya dunia. O rang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup." (Injil Yohanes 8:12) Jelaslah Yesus menyatakan diri-Nya sebagai berkat yang datang ke seluruh dunia dan bukan sahaja kepada bangsa Israel. Yesus juga telah merujuk kepada dirinya sebagai Gembala Baik yang akan memimpin ‘domba-domba dari kawanan lain’ iaitu pengikut-pengikut dari bangsa-bangsa lain. "Akulah Gembala yang Baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal Aku, sama seperti Bapa-Ku mengenal Aku dan Aku mengenal Sang Bapa. Aku menyerahkan nyawa-ku bagi domba-domba-Ku. Pada-Ku MASIH ADA DOMBA-DOMBA LAIN YANG BUKAN DARI KAWANAN INI. DOMBA-DOMBA ITU PUN HARUS KUBAWA DAN SUARA-KU AKAN MEREKA DENGAR. DOMBA-DOMBA ITU AKAN MENJADI SATU KAWANAN DENGANSATU GEMBALA." (Injil Yohanes 10: 14-16) Jadi, selain dari domba-dombaNya dari bangsa Israel, Yesus juga akan membawa domba-domba dari kawanan lain iaitu bangsa lain kepada diriNya. Sangat jelaslah bahawa misi dan pelayanan Yesus itu tidaklah terbatas kepada Israel sahaja. Seterusnya, sebelum Yesus pulang ke syurga, Dia telah memberi Amanat Agung-Nya kepada pengikut-pengikutnya untuk: membawa berita baik Injil "kepada SELURUH DUNIA, serta menjadikan SEMUA bangsa-bangsa murid-murid Yesus, sampai ke hujung Bumi." (Injil, Matius 28:18-20) Dia juga menubuatkan bahawa Hari Kiamat tidak akan datang sehingga Khabar Baik tentang Injil-Nya akan tersebar luas – sampai ke hujung bumi dan menjangkau semua bangsa-bangsa (bukan hanya sekadar umat Israel!) “Injil (ini) akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua Bangsa. Selepas itu, barulah tiba akhir zaman.” (Injil, Matius 24:14) Dan ini sudah pun memenuhi janji Allah besar kepada Hamba-Nya Abraham seperti mana terkandung di dalam Kitab Suci Taurat. Kesimpulan Jadi, kesimpulannya ialah, peranan dan misi Yesus Kristus tatkala di Bumi ialah untuk memberkati SELURUH Dunia dan umat manusia dengan anugerah rahmat Allah dengan terang dan berkat-Nya. Dia telah menyatakan “Akulah terang Dunia, barang siapa yang ikut Aku, tidak berjalan dalam kegelapan tetapi akan memperolehi cahaya kehidupan.” (Injil, Yahya 8 ayat 12). Inilah rahmat yang dipelawakan kepada anda juga, di mana jua anda berada sekarang!
- Apakah Alkitab Ilham Dari Allah?
Doktrin Ilham : Umat Kristian menganggap Al-Kitab itu firman Allah yang telah diilhamkan oleh Allah. Apakah sebenarnya maksud “ilham”? Untuk memahami konsep ini, haruslah kita membaca dua petikan dari Al-Kitab. 2 Timotius 3:16 menyatakan demikian: “Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran.” Dari petikan tadi, perkataan Kitab Suci ini disebut sebagai “graphe” dari bahasa asalnya, iaitu bahasa Yunani. Maksud “graphe” ialah tulisan. Graphe/ Kitab Suci ini adalah Firman Allah dalam bentuk tulisan. Perkataan seterusnya yang harus kita lihat ialah perkataan “diilhamkan”. Perkataan asal “theopneustos” yang terdiri daripada 2 perkataan, iaitu “Theos” bermaksud Allah; dan “pneo” bermaksud nafas/hembusan. Jadi, ilham di sini boleh difahamkan sebagai hembusan Allah. Sepertimana kita menghembuskan nafas apabila kita bercakap, tulisan-tulisan ini dianggap sebagai firman Allah yang dibawa oleh hembusan-Nya apabila Allah berfirman. Petikan ini menunjukkan bahawa seluruh Kitab Suci datang daripada Allah. Tapi, kita tahu bahawa Kitab Suci ini juga ditulis oleh manusia, bagaimanakah ia boleh dianggap sebagai firman Allah? Beberapa analogi boleh membantu kami untuk memahami konsep ini. Bayangkan, seorang pemuzik mempunyai pelbagai jenis alat muzik, antaranya termasuk seruling, serunai, keluri dan sebagainya. Setiap jenis alat muzik ada bunyi dan nada yang tersendiri. Apabila pemuzik itu meniup alat-alat muzik itu, alat-alat muzik itu mampu menghasilkan bunyi yang berbeza, walaupun pemuzik itu memain irama yang sama. Dalam analogi ini, pemuzik itu ibarat Allah, di mana Allah menghembuskan nafas ke dalam alat-alat muzik yang berbeza, yang mewakili penulis-penulis Kitab Suci, manakala irama itu ibarat firman Allah, yang tidak diubah walaupun dimainkan dengan bunyi dan nada yang berbeza. Allah yang menentukan firmannya, dan mengilhamkan penulis-penulis untuk menulis firman tersebut. Al-Kitab 2 Petrus 1:20-21 bertulis demikian: “Hal terutama yang harus kamu ketahui: Tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal daripada pentafsiran sendiri, kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi disuarakan oleh orang ketika digerakkan oleh Roh Kudus untuk menyampaikan kata-kata daripada Allah.” Walaupun ditulis oleh manusia, nubuat-nubuat dan ayat-ayat Kitab Suci ini bukan lahir dengan kehendak manusia, tetapi daripada Allah yang mengerakkan manusia. Jadi, umat Kristian tidak ada masalah untuk menganggap Al-Kitab itu firman Allah, walaupun ia ditulis oleh manusia. Mungkin ada yang juga tertanya-tanya, terdapat pelbagai jenis dan bentuk kesusasteraan dalam Al-Kitab. Jikalau kitab ini firman Allah, bukankah kitab ini seharusnya ditulis dalam bentuk ucapan, seolah - olah Allah itu memberi penerangan tentang sesuatu atau memberi arahan kepada umatnya? Ya, memang Al-Kitab itu ditulis dalam pelbagai jenis dan bentuk kesusasteraan. Antaranya termasuk naratif, sejarah, undang-undang, nubuat, puisi, lagu, kata-kata hikmah, salasilah, injil, surat dan sebagainya. Tapi hal ini tidak membatalkan Al-Kitab ini sebagai firman Allah. Adakah Allah itu hanya boleh memberi firman-Nya dalam satu cara, dan satu bentuk atau jenis sastera sahaja? Kita sebagai manusia pun boleh menyampaikan fikiran kita melalui sastera yang pelbagai, memberikan pengajaran melalui cerita-cerita, dan meluahkan perasaan melalui lagu-lagu, apatah lagi Allah yang maha kuasa? Pastinya Allah yang maha mengetahui dapat mengirimkan firmannya dalam pelbagai bentuk penyampaian. Jadi, yakinkanlah bahawa Al-kitab ini adalah firman Allah yang telah diilhamkan. Hargailah kitab suci ini dan taatilah segala perintah dari-Nya.
- 5 Cara Untuk Menyampaikan Ketuhanan Yesus
Orang selalu bertanya, “bagaimana untuk menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umum?”. Jika ini merupakan sesuatu yang baru bagi anda atau anda selalu merasa buntu mengenai hal ini, jangan khuatir! Dalam video ini, saya akan memberikan cara-cara yang anda perlukan untuk menyampaikan ketuhanan Yesus. Anda bersedia? Mari kita mulakan! Cara #1: Gunakan Alkitab anda! Barangkali, apabila umat Kristian menyampaikan perihal Yesus sebagai Tuhan, jarang kita melihat mereka membukakan Alkitab mereka untuk membawa perhatian umum terhadap ayat-ayat yang termaktub di dalamnya. Bahkan, mereka selalu menggunakan akal fikiran mereka yang sangat terhad. Walau bagaimanapun, ini bukanlah idea yang bernas. Kenapa? Kerana Yesus selalu rujuk balik kepada Alkitab. Yesus, sewaktu melalui ujian dan percubaan, tiga kali menyebut, “ada tertulis”, dan ini memberi gambaran bahawa Dia selalu menggunakan Alkitab sebagai rujukan utama melalui pelbagai rintangan yang dihadapi. Jadi, jika Yesus menggunakan Alkitab sebagai rujukan utama, kita juga harus menggunakan Alkitab untuk menyampaikan ketuhanan Yesus. Ya, kebangkitan Yesus dari kematian dan juga, mujizat-mujizat Yesus merupakan bukti-bukti kuat untuk membincangkan ketuhananNya. Namun, yang menguatkan perkara-perkara tersebut adalah Alkitab sendiri. Cara #2: Gunakan satu sahaja terjemahan Alkitab! Setiap kali membincangkan ketuhanan Yesus, umat Kristian akan selalu berbalah sesama sendiri mengenai terjemahan Alkitab, iaitu terjemahan mana yang tepat dan bagus. Namun, ini bukanlah perkara utama yang harus diterapkan. Bahkan, jika anda membincangkan ketuhanan Yesus, maka, anda harus memberi sepenuh perhatian kepada subjek ketuhananNya. Jadi, di sini, saya ingin cadangkan anda memilih satu sahaja terjemahan Alkitab dan gunakan sepenuhnya terjemahan tersebut. Nescaya, tidak akan berlaku sebarang olah di mana seseorang umat Kristian menggunakan terjemahan mengikut citarasa sendiri, lalu, menumpukan perhatian kepada terjemahan yang mereka rasakan tepat dan bagus. Justeru, hilanglah fokus anda dari menyampaikan ketuhanan Yesus. Kenapa? Anda terlalu fokus terhadap topik mengenai terjemahan mana yang tepat dan bagus. Bagi saya, saya suka menggunakan terjemahan Alkitab Versi Borneo terbaru bagi menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umat Kristian dan bukan Kristian. Jadi, gunakanlah satu terjemahan untuk membawa Berita Baik mengenai Yesus. Cara #3: Biasakan diri anda dengan konteks Apa yang saya ingin sampaikan di sini? Okay, barangkali, anda akan berjumpa dengan beberapa umat Kristian yang bersemangat untuk berbincang mengenai ketuhanan Yesus namun mereka akan mengambil ayat-ayat Alkitab dari satu tempat ke satu tempat dan apabila mereka dikerjakan dengan sebuah bantahan atau bahasan yang bernas mengenai konteks ayat tersebut, mereka terkejut dan terdiam seolah-olah tidak dapat menjawab bantahan atau bahasan yang dikemukakan. Untuk mengelakkan perkara ini dari terjadi, gunakan dua atau tiga ayat dari Alkitab tapi, kena tahu konteks ayat-ayat yang digunakan agar anda boleh menyampaikan maklumat yang penuh makna dan juga, ia dapat membantu seseorang untuk melihat intipati Alkitab dengan teliti. Ini juga adalah satu perkara yang bagus biarpun mereka percaya Yesus itu Tuhan atau tidak. Cara #4: Jelaskan istilah-istilah yang digunakan secara lanjut dan teliti Di dalam penyampaian mengenai ketuhanan Yesus, orang akan selalu bertanya soalan yang sulit seperti ini: Yesus itu Tuhan tetapi dia berdoa? Kepada siapa dia berdoa? Bagi orang bukan umat Kristian, mereka tidak mengerti kenapa Yesus sebagai Tuhan berdoa kepada Tuhan. Adakah logik di sebalik ini dan di sini? Bagi yang bukan Kristian, Tuhan itu satu. Jika kita menggunakan istilah Tuhan sebagai Tritunggal, kita seharusnya mampu memberi penjelasan secara lanjut dan teliti tanpa menyebabkan kebingungan atau salah faham tentang konsep Tuhan Tritunggal iaitu ada tiga peribadi dalam satu Tuhan. Tetapi jika kita gagal menjelaskan istilah Tuhan seperti yang difahami orang Kristian, teman-teman bukan Kristian kita tentulah bingung: bagaimana Tuhan boleh berdoa kepada Tuhan sedangkan Tuhan itu hanya satu? Oleh itu adalah penting kita menerangkan definisi Tuhan kita dan menjelaskan perihal ketuhanan Yesus dengan lanjut dan teliti kepada teman-teman bukan Kristian kita. Jadi, Jelaskan istilah-istilah yang digunakan secara lanjut dan teliti. Ini bukan sahaja digunakan untuk membahaskan ketuhanan Yesus tetapi juga untuk perkara yang lain. Akhir sekali... Cara #5: Amalkan sifat lemah-lembut dan saling hormat-menghormati satu sama lain Ada kalanya kita tidak mengamalkan sifat lemah-lembut mahupun menghormati orang lain apabila menyampaikan perihal kepercayaan Kristian mahupun perihal ketuhanan Yesus. Ini merupakan satu sifat yang Yesus sendiri mahupun murid-muridNya tidak akan lakukan sekalipun dalam menyampaikan Injil kepada umum. Dalam 1 Petrus 3:15-16 (AVB) berkata: Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu dalam Kristus akan berasa malu. Sifat lemah-lembut dan hormat-menghormati adalah sifat-sifat penting di dalam apologetik kepercayaan Kristian dan inilah yang membezakan dari kepercayaan lain. Kenapa? Kerana Yesus dan murid-muridNya menunjukkan sifat-sifat ini apabila menyampaikan atau membincangkan Injil kepada umum. Jadi, inilah 5 cara-cara untuk menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umum. Jika anda menyukai apa yang dilihat dan didengari di video ini, sila sampaikan kepada kawan-kawan, ahli keluarga, sanak saudara dan rumpun gereja anda. Nama saya Ezra Jalin. Semoga bertemu lagi di video yang seterusnya.
- Doktrin Tritunggal
Doktrin “Tritunggal”, atau dalam Bahasa Inggeris, “trinity”, merupakan sebuah doktrin yang membezakan kepercayaan Kristian dari kepercayaan-kepercayaan yang ada di muka bumi. Doktrin ini juga sangat kompleks dan rumit untuk ditafsir mahupun dijelaskan dengan lanjut. Justeru, ramai orang termasuk umat Kristian merasa bingung atau salah faham mengenai doktrin ini. Dalam video ini, kami akan membantu anda membincangkan doktrin Tritunggal apabila diterjah dengan soalan. Jadi, apakah itu Tritunggal? Untuk menjawab soalan tersebut, kami menggunakan rumusan dari ahli teologi Puritan, B.B. Warfield, yang mengatakan bahawa Tuhan itu esa dalam satu kesatuan yang terdiri daripada tiga peribadi yang sama dari segi darjat dan berkekalan selamanya. Rumusan B.B. Warfield boleh dibahagikan kepada 5 perkara dan ini boleh digunakan dalam perbincangan mengenai doktrin Tritunggal. Perkara #1: Tuhan itu Esa Alkitab sangat menekankan perkara ini. Ulangan 6:4 menyebut bahawa Tuhan itu esa. Jadi, jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa umat Kristian percaya lebih daripada satu Tuhan, mereka telah diperdayakan ataupun diberikan fakta yang diputarbelitkan. Beritahu mereka: Alkitab mengatakan bahawa Tuhan itu esa. Perkara #2: Bapa adalah Tuhan Ini bukanlah perkara yang menimbulkan kontroversi. Ini merupakan satu perkara yang boleh ditemui di mana-mana bahagian dalam Alkitab. Bahkan ini boleh ditemui di dalam semua pembukaan surat-surat yang ditulis oleh rasul Paulus seperti Filipi 1:2, Ephesus 1:2, Galatia 1:3 dan sebagainya. Berikut adalah pembukaan di dalam surat yang ditulis rasul Paulus: Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Tuhan Yesus Kristus. Jadi, tidak ada pertikaian bahawa Bapa adalah Tuhan dan ini membawa kita kepada perkara yang ketiga! Perkara #3: Yesus itu Tuhan Ini merupakan perkara yang selalu menimbulkan kontroversi antara semua lima perkara yang kita bincangkan dalam video ini. Jika kita ingin menyampaikan perkara ini dengan jelas, kita harus bersedia untuk berbincang mengenai ketuhanan Yesus atau menyampaikan kebenaran doktrin Tritunggal. Namun, perkara ini sangat jelas di dalam Alkitab. Yohanes 1:1 mengatakan: Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Tuhan dan Firman itu ialah Tuhan. Jika ini tidak cukup jelas, dalam Roma 9:5, rasul Paulus menyebut mengenai suku bangsa Israel: Mereka ialah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah Kristus lahir sebagai manusia. Dialah yang terutama dari segala sesuatu, Allah yang terpuji selama-lamanya. Amin. Jadi, kita telah membuktikan bahawa Tuhan itu esa, Bapa adalah Tuhan dan Yesus adalah Tuhan. Dengan itu, kita pergi kepada perkara yang keempat! Perkara #4: Roh Kudus adalah Tuhan Dalam Kisah Para Rasul 5:3-4, rasul Petrus memarahi Ananias dengan berkata: ..."Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Kudus...Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah." Rasul Petrus mengatakan bahawa Ananias yang berdusta kepada Roh Kudus, telah berdusta kepada Allah. Kenapa Petrus membuat persamaan sedemikian? Kenapa Petrus berbuat sedemikian? Jawapan yang ringkas adalah, Petrus mengambil kira Roh Kudus adalah Tuhan dan menganggap berdusta kepada Roh Kudus bermaksud berdusta kepada Tuhan. Juga, dalam Alkitab, Yesus sendiri memberi penggambaran yang jelas mengenai Roh Kudus. Dalam Injil Markus 3:29, Yesus berfirman:- “Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.” Yesus tidak menganggap pengkufuran terhadap Roh Kudus sebagai salah satu dosa tetapi menganggap ia sebagai satu dosa besar yang tidak boleh diampuni. Jadi, kita harus tahu bahawa hanya Tuhan sahaja yang boleh dikufurkan dan mengkufuri Roh Kudus adalah satu dosa besar. Ini bermaksud Roh Kudus adalah Tuhan. Mari kita teruskan kepada perkara #5 Perkara #5: Mereka adalah Berbeza dari satu sama Lain. Kita telah menunjukkan bahawa Bapa, Yesus dan Roh Kudus adalah Tuhan dan Tuhan itu esa (seperti di bincangkan dalam perkara #1). Al-Kitab menunjukkan ketiga-tiga peribadi ini adalah berbeza dari satu sama lain. Kita juga dapat melihat dalam Injil Lukas 3:22 sewaktu Yesus dibaptiskan oleh Yohanes Pembaptis dan Roh Kudus turun kepadaNya dari syurga seperti burung merpati. Lalu, suara dari syurga berfirman, "Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan." Jadi, kita dapat lihat dari sini bahawa Roh Kudus turun kepada Yesus dan suara dari syurga adalah dari Bapa menyatakan Yesus di Sungai Yordan sebagai Anak-Nya yang dikasihi. Di sini, mereka tidak terpisah dari satu sama lain biarpun berbeza. Yesus sendiri juga mengutarakan perkara ini dengan jelas. Dalam Injil Lukas 22:42, sewaktu berada di Bukit Zaitun, Yesus berdoa kepada Bapa dan berkata, "Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan." Yesus membezakan antara kehendakNya dan kehendak Bapa. Ini memberi kita gambaran bahawa Yesus bukanlah Bapa dan tiada gambaran lain yang lebih jelas daripada ini. Justeru, ini memberi kita gambaran bahawa Yesus adalah berbeza daripada Bapa. Sebagai kesimpulan, kita telah melihat dengan lanjut kesemua lima perkara dalam membincangkan perihal doktrin Tritunggal. #1 Tuhan itu Esa #2 Bapa adalah Tuhan #3 Yesus adalah Tuhan #4 Roh Kudus adalah Tuhan #5 Mereka adalah berbeza dari satu sama lain. Jadi, sebagai umat Kristian, kita percaya bahawa Tuhan itu esa, yang telah menyatakan dirinya dalam tiga peribadi yang berbeza: Bapa, Anak (Yesus) dan Roh Kudus. Salah satu penerangan yang paling bernas adalah daripada mendiang Nabeel Qureshi, yang menjelaskan Tritunggal sebagai satu APA dan tiga SIAPA. Perkataan APA sini bermaksud satu kewujudan. Apakah anda? Anda adalah manusia. Apakah saya? Saya juga adalah manusia. Namun, perkataan SIAPA merujuk kepada seseorang secara terperinci. Jadi, di sini, jika anda bertanya soalan, “apakah Tuhan?”, jawapannya: Tuhan adalah esa dan anda boleh memberi rumusan mengenai siapakah Tuhan dengan soalan tadi. Tetapi, jika anda bertanya, “siapakah Tuhan?”, anda bertanya soalan yang menyentuh identiti atau sifat kewujudan tersebut.Justeru, soalan ini harus diberikan jawapan mengenai SIAPA 3 peribadi yang membentuk sesebuah kewujudan Tritunggal. Ada 3 SIAPA: Bapa, Anak dan Roh Kudus yang memberi gambaran satu APA dalam Tuhan. Nama saya Ezra Jalin dan bertemu lagi di episod seterusnya!
- Mengapa Kita Harus Mengampuni?
3 Sebab Mengapa Kita Harus Mengampuni. Mengampuni seseorang bukanlah senang. Mungkin ini adalah satu keputusan yang paling susah untuk saudara-saudari lakukan di dalam hidup. Untuk kita hidup dengan apa yang mahu Allah inginkan di dalam hidup, kita harus mengampuni orang lain yang telah melukakan hati kita. Hanya selepas kita bebas daripada belunggu kepahitan, barulah kita mempunyai kemampuan untuk memenuhi destini yang telah Tuhan sediakan untuk kita. 3 sebab mengapa kita harus mengampuni orang lain. #1: Kita mengampuni kerana Tuhan telah mengampuni kita. Apabila kita menyerahkan diri kita kepada Kristus, dosa kita bukan sahaja diampuni. Dosa kita juga akan dibatalkan, digondolkan, dilenyapkan, dibersihkan, dibuangkan dan dihapuskan. Tuhan tidak akan ada rekod dosa kita lagi ! Alkitab mengatakan, “Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus. Kerana melalui Kristus Yesus hukum Roh kehidupan telah membebaskanku daripada hukum dosa dan kematian.” (Roma 8:1-2 AVB) Dengan cara yang sama, kita juga harus belajar mengampuni orang lain. #2: Kita mengampuni kerana kepahitan akan menyebabkan kita sengsara. Ada orang mengatakan bahawa apabila kita memendam kepahitan, adalah seperti kita meminum racun ke dalam tubuh kita, dengan harapan ia akan membunuh orang yang kita benci. Ia akan menjadikan kita lebih sengsara daripada orang yang telah melukai hidup kita. Pernahkan kita berfikir bahawa orang yang melukai kita tidak boleh melukai hati kita tanpa kebenaran kita. Kita boleh memilih kegembiraan dan kebebasan, atau menyimpan kepahitan dan sengsara. Kita tidak boleh melakukan kedua-duanya sekali. #3: Kita mengampuni kerana kita memerlukan lebih pengampunan untuk masa hadapan. Kita tentu akan membuat kesilapan, dan apabila kita membuat kesilapan, kita memerlukan pengampunan orang lain. Ada seorang menyatakan kepada John Wesley bahawa dia tidak boleh mengampuni seorang yang telah melukai hatinya. Dan John Wesley mengatakan “Kalau begitu, saya harap kamu tidak akan berdosa” Kita tidak akan mendapat sesuatu yang kita tidak sedia memberikan kepada orang lain. Yesus mengatakan “Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu." (Matius 6:15 AVB) Mengampuni orang lain yang telah menyakiti hati kita bukan sahaja sesuatu yang harus kita lakukan. Ia adalah satu yang bijak yang boleh kita lakukan.
- Didik Minda Anda!
-Tulisan oleh Samuel Nesan (Terjemahan Dr Michelle Ling) Minda yang tidak dididik dalam kebenaran Tuhan menjadi pintu terbuka bagi pengajaran sesat dan murtad. Baru baru ini, saya menemui petikan yang diposkan oleh seorang pastor di Facebook yang mengatakan, “ Sedikit kesaksian seringkali lebih bermanfaat kepada hati yang lapar daripada banyak pengajaran doktrin." Maksud sebenar pastor tersebut mungkin tidak dapat difahami sepenuhnya tetapi yang jelas ialah terdapat jurang yang besar di antara minda dan hati. Pada zaman sekarang, ada segelintir penganut Kristian yang menjauhi penggunaan minda ataupun intelek. Penggunaan minda dianggap sebagai musuh kepada iman. Apabila mereka menghadapi cabaran intelektual, mereka akan amalkan mantra, “ Saya ada iman yand sederhana.’ Sebagaimana beberapa pendeta Kristian berkata, kita seharusnya memahami perbezaan di antara beriman seperti anak kecil dan bukannya beriman bertaraf kebudak-budakan. Perbezaannya ialah orang yang beriman seperti anak kecil akan semakin bertambah iman. Mereka bersifat ingin tahu. Mereka akan menggunakan minda untuk bertanya soalan and mencari jawapan. Mereka terbuka sepenuhnya untuk memperolehi pengetahuan. Bukankah sifat anak-anak kecil sebegini juga? Beriman bertaraf kebudak-budakan pula berlainan kerana ia adalah iman yang enggan menjadi matang, enggan berubah dan sering memusuhi apa saja yang mencabarnya. Sebenarnya iman yang begini langsung tidak mahu menggunakan minda ataupun intelek untuk memahami apa-apa. Ia memberi alasan bahawa kepercayaan tulus, pengalaman dan emosi adalah mencukupi. Kelaziman kepercayaan seperti inilah yang mengakibatkan agama Kristian dianggap sebagai agama yang tidak menggunakan akal. Pada zaman Kristian yang moden ini, kita mungkin berpendapat bahawa terdapat jurang yang besar di antara hati dan minda. Jurang ini sebenarnya tidak kelihatan dalam Kitab Suci. Sebaliknya, Rasul Paulus berkata, ”Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kank, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang.” (1 Korintus 14:20 AVB). Pengarang Ibrani pula menegur pembacanya, “ Sepatutnya sekarang kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang asas-asas pertama firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal.” (Ibrani 5:12 AVB). Ketika ditanya apakah perintah yang terutama dan paling penting, Yesus menjawab, “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu.” (Matius 22:37 AVB). Ini bermaksud jikalau kita hanya mengasihi Tuhan dengan hati, kita akan mengabaikan perintah itu kerana Yesus bertitah supaya kita juga harus mengasihi Tuhan dengan fikiran. Sebenarnya, mustahil untuk seseorang mengasihi Tuhan dengan hati tanpa menggunakan minda. Ini adalah kerana tidak mungkin hati kita boleh mengasihi apa yang kita benci dalam pemikiran. Di Amerika,di mana saya kini menetap, agama Kristian berdiri teguh di Universiti- universiti dan sekolah pada zaman Puritan sehingga tahun 1800-an. Pada asalnya, pemahaman iman diperolehi lebih melalui teologi (iaitu ilmu mempelajari segala sesuatu yang berkaitan dengan agama). Setelah masa berlalu, secara beransur ansur, cara mendekati iman telah berubah kepada pemahaman iman melalui pengalaman dan emosi. Keinginan untuk mengetahui iman digantikan dengan keinginan untuk merasakan iman. Masalahnya ialah jikalau minda kita diabaikan, ia menjadi pintu terbuka bagi ajaran sesat dan murtad. Pada zaman ini, sekularisme dan ajaran sesat bertambah. Darwinism berkembang maju menggugat pendirian orang Kristian di jabatan saintifik. Ia mencabar kepercayan orang Kristian berkenaan Penciptaan alam dan manusia. Sekularisme dan Liberalisme (falsafah-falsafah yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang bebas dari kawalan agama) menggugat orang Kristian di jabatan falsafah dan teologi. Kritikan Tinggi (Higher Criticism) pula menyerang orang Kristian dari segi kewibawaan dan inspirasi Kitab Suci. Tempoh ini juga menyaksikan kenaikan agama seperti Mormonisme yang menyebabkan ramai meninggalkan iman benar dan memeluk agama bidaah. Mengapa gereja tidak dapat menanggapi semua cabaran ini dengan berkesan seperti pendeta Athanasius, Tertullian dan Justin Matyr pada masa lalu? Saya syaki ini disebabkan gereja gagal mendidik minda orang-orang beriman. Seperti Jen Wilkin berkata, Literasi Kitab Suci (berkaitan dengan kebolehan membaca and mentafsirkan Bible) penting kerana ia melindungi kita dari pemahaman yang salah. Ajaran guru-guru palsu dan humanis secular bergantung kepada kejahilan alkitabiah untuk berakar umbi jadi gereja moden kini menjadi tanah subur untuk ajaran sesat. Disebabkan kita kurang pengetahuan dalam Alkitab, pendirian kita mudah runtuh apabila menghadapi apa apa cabaran berkenaan pandangan dunia. Pada zaman sekarang, ajaran sesat dan sekularisme semakin berluaspada sehingga tahap di mana kita telahpun biasa dengan perkara ini. Sudah tiba masanya untuk berhenti mengagungkan kebutaan huruf Alkitab ini. Kita perlu menguruskan pendidikan minda setiap penganut Kristian di bawah penjagaan kita. Golongan yang menjadi pertahanan di antara generasi Kristian muda dan institusi institusi yang mencabar pendirian mereka adalah para ibubapa Kristian, pastor dan pemimpin-pemimpin di gereja. Kita tidak boleh sekadar mengisi hati yang lapar. Kita perlu mengisi minda yang kosong dengan Kitab Suci. Salah satu tujuan utama melibatkan diri dalam Apologetics(ilmu mempertahankan iman menggunakan perbahasan) adalah untuk menguruskan pendidikan minda. Dalam kata-kata mendiang Ravi Zacharias, “ menolong yang memikir percaya dan menolong yang percaya memikir.” Kita perlu merebut kembali minda kita untuk kemuliaan Tuhan dan kemajuan Injil. Kita memerlukan orang beriman seperti Rasul Paulus yang ada hati untuk Injil dan minda untuk memahami and menyampaikan kebenaran Alkitab kepada dunia yang tegak menentangnya. Seorang penginjil yang dipenuhi Roh Kudus, seorang yang mampu berbahas dengan para falsafah di Athens pada zaman dulu, seorang guru Alkitab yang mampu menangani ajaran sesat yang mengancam gereja dulu. Inilah Rasul Paulus yang setelah menulis separuh daripada Perjanjian Baru, mengakhiri surat terakhirnya sebelum kematiannya dengan cabaran begini, Di hadirat Allah dan Kristus Yesus yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu: 2Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran, 3kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka. 4Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng. 5Tetapi kamu, berwaspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna. 2 Timotius 4:1-2 AVB
- Siapakah Yesus Kristus?
Siapakah Yesus Kristus? Berbanding dengan soalan, “Adakah Tuhan wujud?”, kurang orang mempertikaikan kewujudan Yesus Kristus. Orang ramai menerima kenyataan bahawa Yesus ialah manusia benar yang wujud di Israel 2000 tahun dahulu. Perbahasan berlaku apabila keperibadian Yesus dipersoal. Hampir semua agama menyatakan bahawa Yesus ialah seorang Nabi, seorang guru yang baik, atau seorang yang suci. Masalahnya ialah Kitab Injil menyatakan bahawa Yesus adalah lebih daripada seorang Nabi, guru yang baik dan orang yang suci. CS Lewis menulis di dalam bukunya Hanya Agama Kristian: “Saya cuba menghalang orang daripada berkata sesuatu yang bodoh mengenai Yesus: ‘Saya bersedia menerima Yesus sebagai seorang guru moral yang baik, tetapi saya tidak menerimanya sebagai Tuhan.’ Kata-kata ini adalah sesuatu yang tidak patut kita ucapkan. Seorang manusia biasa jika dapat menyatakan segala yang Yesus katakan tidak akan dianggap sebagai guru moral yang baik. Sebaliknya, dia akan dianggap gila atau Syaitan dari neraka. Kamu perlu membuat satu pilihan. Yesus jika bukan Anak Tuhan, maka dia adalah seorang yang gila atau lebih buruk lagi. Kamu boleh menganggap dia orang bodoh, kamu boleh meludah pada dia dan membunuh dia; atau kamu boleh melutut di hadapan-Nya dan memanggil-Nya Tuan dan Tuhan. Tetapi jangan buat tanggapan yang tidak bererti bahawa Yesus hanya seorang guru yang baik. Dia tidak memberi peluang kepada kita untuk menentukan identiti-Nya.” Jadi, apa yang Yesus katakan mengenai dirinya sendiri? Menurut Kitab Injil, siapakah Yesus? Pertama, biar kita lihat pada Yohanes 10:30, “Bapa dan Aku SATU.” Sekali imbas, firman ini tidak menunjukkan tuntutan sebagai Tuhan. Tetapi, apabila kita melihat reaksi orang Yahudi terhadap kata-kata-Nya, "Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!" Orang Yahudi faham bahawa Yesus menyamakan diri-Nya dengan Tuhan. Di dalam ayat berikutnya, Yesus tidak membetulkan fahaman mereka dengan berkata,“Saya bukan Tuhan .” Hal ini menunjukkan bahawa Yesus sememangnya menyatakan bahawa Dia ialah Tuhan, “Bapa dan Aku SATU.”(Yohanes 10:30) Yohanes 8:58 ialah satu contoh lain. Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada.” Lagipun, apabila orang Yahudi mendengar kata-kata Yesus, mereka mengambil batu untuk melontarnya (Yohanes 8:59). Yesus mengumumkan identiti-Nya “Saya abadi” adalah merujuk kepada nama Tuhan di Kitab Zabur (Keluaran 3:14). Mengapa orang Yahudi hendak membaling batu pada Yesus jika dia tidak menyatakan sesuatu yang dianggap kata-kata kufur, iaitu, penyamaan dengan Tuhan? Yohanes 1:1 menyatakan bahawa “Logos ialah Tuhan.” Yohanes 1:14 menyatakan bahawa “Logos menjadi manusia.” Hal ini menunjukkan bahawa Yesus ialah Tuhan dalam bentuk manusia. Tomas menyebut Yesus, “Tuan dan Tuhan saya.”(Yohanes 20:28). Yesus tidak membetulkan dia. Paulus menghuraikan Yesus sebagai “… Tuhan dan Penyelamat, Yesus Kristus” (Titus 2:13). Petrus juga menyatakan perkara yang sama, “… Tuhan dan Penyelamat kita” (2 Petrus 1:1). Tuhan ialah saksi identiti Yesus juga, “Takhta kamu, Tuhan, kekal selama-lamanya, dan kebaikan kamu ialah kuasa Pemerintahan kamu.” Kitab Zabur meramalkan kesucian Yesus, “Sebab seorang anak telah dilahirkan untuk kita, seorang putera telah diberikan kepada kita; lambang pemerintahan berada di atas bahunya, dan namanya disebut orang: Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai.” (Yesaya 9:6). Jadi, CS Lewis berdebat dan percaya bahawa Yesus ialah seorang guru yang baik bukan salah satu pilihan. Yesus menyamakan dirinya dengan Tuhan. Jika dia bukan Tuhan, maka dia ialah penipu, maka bukanlah Nabi, guru yang baik atau orang suci. Untuk menafikan Yesus, cendekiawan moden berkata bahawa Yesus dalam sejarah tidak seperti yang dikatakan oleh kitab Injil. Dapatkah kita berdebat dengan Tuhan mengenai Yesus? Bagaimana cendekiawan menafikan catatan dalam Kitab Injil (Yohanes 14:26)? Mengapa identiti Yesus adalah penting? Mengapa penting mengetahui Yesus ialah Tuhan? Alasan yang paling utama bagi ‘Yesus mesti merupakan Tuhan’ ialah, jika dia bukan Tuhan, maka kematian-Nya tidak dapat membayar denda dosa kita (1 Yohanes 2:2). Hanya Tuhan boleh membayar denda yang besar ini (Roma 5:8, 2 Korintus 5:21). Yesus mesti ialah Tuhan supaya dia dapat membayar hutang kita. Yesus mesti ialah manusia supaya dia boleh mati. Penyelamatan hanya boleh diperolehi melalui kepercayaan kepada Yesus! Ketuhanan Yesus ialah faktor penting penyelamatan. Ketuhanan Yesus terbukti melalui segala yang dia katakan, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.” (Yohanes 14:6). Sumbangan dari www.gotquestions.org
- Adakah Yesus Tuhan? Adakah Yesus mengaku dirinya Tuhan?
Yesus tidak pernah menyatakan dengan ketara di dalam Kitab Injil bahawa “Dia Adalah Tuhan”. Tetapi hal ini tidak bermakna Yesus tidak mengaku bahawa dirinya ialah Tuhan. Sebagai contoh, di Yohanes 10:30, “Bapa dan Aku satu”. Sekali imbas, hal ini nampaknya bukan satu pengisytiharan bahawa Dia ialah Tuhan. Tetapi, apabila melihat kepada reaksi orang Yahudi terhadap kata-kata Yesus, “Orang Yahudi di situ menjawab, ‘Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Tuhan! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Tuhan!’”(Yohanes 10:33). Orang Yahudi faham bahawa percakapan Yesus itu telah menyamakan Dirinya dengan Tuhan. Dalam ayat berikutnya, Yesus tidak berkata, “Saya bukan Tuhan.” Hal ini menunjukkan bahawa Yesus benar-benar mengaku Dirinya Tuhan apabila berkata “Bapa dan Aku satu.” Yohanes 8:58 ialah contoh lain, Yesus menjawab, ‘Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada’. Sekali lagi, reaksi orang Yahudi adalah hendak membalingkan batu pada Yesus untuk membunuhnya (Yohanes 8:59). Jika Yesus tidak menyatakan sesuatu yang dianggap kufur maka orang Yahudi tidak akan cuba membunuhnya. Yohanes 1:1 menyatakan, “Firman itu bersama-sama Allah dan Firman itu adalah Tuhan.” Yohanes 1:14 pula menyatakan, “Firman itu sudah menjadi Manusia dan tinggal antara kita.” Hal ini jelas menunjukkan bahawa Yesus ialah Tuhan dalam bentuk manusia. Kisah Para Rasul 20:28 menyatakan, “Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah seperti gembala menjaga domba, kerana Allah sudah menjadikan jemaah milik-Nya sendiri melalui kematian Anak-Nya.” Kisah Para Rasul 20:28 mengumumkan bahawa Tuhan membeli jemaah Tuhan dengan darahnya sendiri. Oleh itu, Yesus ialah Tuhan. Tomas, murid Yesus berkata, “Tuan dan Tuhan saya.” (Yohanes 20:28). Yesus tidak menafikan kata-katanya. Titus 2:13 menggalakkan kita untuk menunggu Tuhan dan Penyelamat kita, iaitu Yesus Kristus (2 Petrus 1:1). Di Ibrani 1:8, Tuhan Bapa mengumumkan, “Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan”. Di Wahyu, seorang malaikat mengarahkan Yohanes supaya hanya menyembah Tuhan (Wahyu 19:10). Beberapa kali Yesus menerima penyembahan daripada orang (Matius 2:11; 14:33; 28:9,17; Lukas 24:52, Yohanes 9:38). Dia tidak menggertak orang yang menyembahnya. Jika Yesus bukan Tuhan, dia akan menghentikan orang daripada menyembahnya, seperti malaikat di Wahyu. Terdapat banyak ayat-ayat di dalam Kitab Injil yang menunjukkan ketuhanan Yesus. Alasan yang paling penting adalah jika Yesus bukan Tuhan, maka kematiannya tidak dapat membayar denda dosa manusia (1 Yohanes 2:2). Hanya Tuhan yang dapat membayar denda yang besar itu. Hanya Tuhan yang dapat menanggung dosa dunia ini (2 Korintus 5:21), mati dan bangkit semula – membuktikan Yesus memenangi dosa dan kematian. Sumbangan dari www.gotquestions.org
- Adakah Kitab Injil benar-benar Firman Tuhan?
Jawapan kepada soalan ini bukan sahaja menunjukkan pandangan kita terhadap Kitab Injil dan kepentingannya dalam hidup kita, malah akan mempengaruhi kita sepanjang masa. Jika Kitab Injil ialah firman Tuhan, maka kita perlu menghargai, mengkaji dan akhirnya percaya kepadanya. Jika Kitab Injil ialah firman Tuhan, maka menafikan kitab Injil adalah sama dengan menafikan Tuhan sendiri. Hakikat mengenai Tuhan dalam Kitab Injil telah membuktikan kasih-Nya kepada kita. Perkataan Wahyu bermakna Tuhan berhubung dengan manusia untuk memberitahu kita siapakah Dirinya dan bagaimana kita boleh mempunyai hubungan baik dengan Tuhan. Perkara-perkara itu tidak akan diketahui oleh manusia jika Tuhan tidak memberikan Wahyu melalui Kitab Injil. Walaupun Wahyu Tuhan di dalam Kitab Injil diberikan secara berperingkat selama 1500 tahun, ia mengandungi semua maklumat penting mengenai Tuhan supaya kita dapat mempunyai hubungan baik dengan-Nya. Jika Kitab Injil benar-benar firman Tuhan, maka ia adalah kewibawaan muktamad ke atas kepercayaan, peraturan agama dan akhlak kita. Soalan yang patut kita tanya ialah bagaimana kita boleh pasti bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan dan bukan hanya sebuah buku yang baik. Apakah sifat Kitab Injil yang unik yang membezakannya daripada buku-buku agama yang lain. Terdapatkah bukti bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan yang benar? Soalan-soalan inilah yang patut kita kaji jika kita benar-benar ingin mengetahui sama ada kitab Injil itu Firman Tuhan, diberikan oleh Tuhan dan ajarannya lengkap untuk kepercayaan dan amalan agama. Hakikatnya, Kitab Injil memang mengaku bahawa ia Firman Tuhan. 2 Timotius 3:15-17 dengan jelas menyatakan, “Dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus. Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.” Untuk menjawab soalan-soalan ini kita perlu melihat bukti dalaman dan luaran. Bukti dalaman ialah kandungan Kitab Injil yang mempersaksikan bahawa ia berasal daripada Tuhan. Satu bukti dalaman yang membuktikan bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan ialah kesatuannya. Walaupun kitab Injil terdiri daripada 66 buah buku yang berasingan dan ditulis di tiga benua, dalam bahasa yang berlainan, dalam masa 1500 tahun, oleh 40 penulis-penulis (daripada latar belakang yang berbeza), kandungan Kitab Injil masih mempunyai kesatuan dari permulaan hingga akhir tanpa percanggahan. Kesatuan ini adalah keunikan yang tidak terdapat di dalam buku-buku lain dan membuktikan bahawa asalnya adalah daripada Tuhan yang membantu manusia untuk menulis firman-Nya secara tepat. Satu lagi bukti dalaman yang menunjukkan bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan boleh dilihat daripada nubuat-nubuat yang teliti di dalamnya. Kitab Injil mengandungi beratus-ratus nubuat terperinci mengenai masa depan negara seperti Israel, masa depan bandar-bandar tertentu, masa depan manusia dan meramal kedatangan Messiah, penyelamat Israel dan dunia. Berbeza daripada nubuat dalam buku agama yang lain seperti Nostradamus, nubuat Kitab Injil adalah amat terperinci dan tidak pernah gagal. Terdapat 300 nubuat-nubuat mengenai Yesus Kristus di dalam Kitab Zabur. Bukan sahaja menyatakan tempat Yesus akan dilahirkan dan siapakah ahli keluarganya, malah bagaimana Dia akan mati dan bangkit semula selepas tiga hari. Tiada cara lain yang boleh menjelaskan nubuat-nubuat yang berlaku kecuali Kitab Injil itu betul-betul berasal daripada Tuhan. Tiada buku-buku agama lain yang mempunyai nubuat-nubuat seperti Kitab Injil. Bukti dalaman yang ketiga ialah kewibawaan dan kekuasaannya yang unik. Walaupun bukti ini adalah lebih subjektif berbanding dengan kedua-dua bukti yang dinyatakan di atas, ia masih merupakan kesaksian yang berkuasa dan menunjukkan bahawa Kitab Injil berasal daripada Tuhan. Kitab Injil menpunyai kekuasaan yang unik dan berlainan daripada buku-buku agama lain. Kuasanya boleh dilihat daripada kehidupan orang ramai yang berubah selepas mereka membaca kitab Injil. Penagih dadah diubati, banduan yang berhati keras menjadi baik, orang yang berdosa ditegur, dan kebencian ditukar menjadi kasih. Kitab Injil mempunyai kuasa yang dinamik dan menyentuh hati manusia, hal ini hanya boleh dilakukan oleh Tuhan. Selain daripada bukti dalaman, terdapat juga bukti luaran. Salah satu bukti ialah peristiwa sejarah dalam Kitab Injil. Kitab Injil menyatakan peristiwa dalam sejarah dengan terperinci maka ketepatan dan kebolehpercayaannya boleh disemak seperti buku sejarah yang lain. Melalui bukti-bukti kaji purba dan buku-buku sejarah lain, catatan sejarah Kitab Injil kerap terbukti tepat. Manuskrip kaji purba menyokong Kitab Injil dan menjadikannya sebuah buku yang boleh dipercayai sejak dari zaman dulu. Hakikat bahawa Kitab Injil menulis dengan tepat perkara-perkara dalam sejarah menunjukkan kebolehpercayaannya berkaitan dengan subjek agama dan doktrin kepercayaan, hal ini membantu menyokong hakikat bahawa Kitab Injil ialah firman Tuhan. Satu lagi bukti luaran ialah integriti penulis-penulisnya. Seperti yang dikatakan dahulu, Tuhan menggunakan manusia yang berlainan latar belakang untuk menulis firman-Nya. Apabila kehidupan penulis-penulis itu dikaji, didapati bahawa mereka adalah orang yang jujur dan ikhlas maka boleh dipercayai. Kajian ke atas hidup mereka dan hakikat bahawa mereka sudi mati (dengan diseksa) untuk kepercayaan mereka, jelaslah menunjukkan bahawa manusia yang biasa itu benar-benar percaya Tuhan telah bercakap dengan mereka. Mereka yang menulis Kitab Injil dan pengikut-pengikut Yesus percaya akan Kitab Injil kerana mereka bersama dengan Yesus dan pernah melihat Yesus selepas Dia bangkit daripada kematian (1 Korintus 15:6). Kebangkitan Yesus memberi pengaruh yang kuat ke atas pengikutnya. Mereka tidak takut sehingga bersembunyi lagi, tetapi sudi mati untuk Tuhan yang menurunkan Wahyu kepada mereka. Kehidupan dan kematian mereka membuktikan bahawa Kitab Injil itu firman Tuhan. Bukti luaran terakhir ialah Kitab Injil tidak dapat dihapuskan. Disebabkan Kitab Injil ialah Firman Tuhan yang penting, maka ia sering diserang dan terdapat percubaan untuk menghapuskannya. Raja Roman seperti Diocletian, pihak komunis dan mereka yang tidak percaya kepada Tuhan cuba menghapuskan dan mengkritik Kitab Injil, tetapi Kitab Injil masih kekal wujud dan dicetak di seluruh dunia. Sepanjang masa, mereka meragui dan menganggap Kitab Injil ialah cerita mitos, tetapi kaji purba telah membuktikan kebenaran sejarahnya. Pembangkang menentang dan mengatakan bahawa ia primitif dan ketinggalan zaman, tetapi ajaran moral dan peraturannya mempunyai pengaruh yang positif ke atas masyarakat dan kebudayaan di seluruh dunia. Ia terus diserang oleh sains, psikologi dan politik tetapi ia masih kekal wujud seperti masa dulu. Kitab injil ialah sebuah buku yang telah mengubah beribu-ribu nyawa dan kebudayaan sejak 2000 tahun dulu. Tidak kira bagaimana pembangkangnya cuba menentang dan memusnahkannya, Kitab Injil masih kekal kuat dan boleh dipercayai. Ketepatannya kekal walaupun terdapat percubaan untuk memusnahkannya, dan hal ini membuktikan bahawa ia ialah firman Tuhan yang benar. Kita boleh berasa kagum apabila melihat Kitab Injil kekal tidak berubah walaupun diserang dengan sengit. Tambahan pula, Yesus berkata, “Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” (Markus 13:31). Selepas mengkaji semua bukti dan fakta, kita boleh berkata dengan yakin bahawa “Ya, Kitab Injil ialah Firman Tuhan yang benar.” Sumbangan dari www.gotquestions.org
- Bagaimana Menjelaskan Ketuhanan Yesus?
5 cara untuk menyampaikan ketuhanan Yesus. Orang selalu bertanya, “bagaimana untuk menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umum?”. Jika ini merupakan sesuatu yang baru bagi anda atau anda selalu merasa buntu mengenai hal ini, jangan khuatir! Dalam video ini, saya akan memberikan cara-cara yang anda perlukan untuk menyampaikan ketuhanan Yesus. Anda bersedia? Mari kita mulakan! Cara #1: Gunakan Alkitab anda! Barangkali, apabila umat Kristian menyampaikan perihal Yesus sebagai Tuhan, jarang kita melihat mereka membukakan Alkitab mereka untuk membawa perhatian umum terhadap ayat-ayat yang termaktub di dalamnya. Bahkan, mereka selalu menggunakan akal fikiran mereka yang sangat terhad. Walau bagaimanapun, ini bukanlah idea yang bernas. Kenapa? Kerana Yesus selalu rujuk balik kepada Alkitab. Yesus, sewaktu melalui ujian dan percubaan, tiga kali menyebut, “ada tertulis”, dan ini memberi gambaran bahawa Dia selalu menggunakan Alkitab sebagai rujukan utama melalui pelbagai rintangan yang dihadapi. Jadi, jika Yesus menggunakan Alkitab sebagai rujukan utama, kita juga harus menggunakan Alkitab untuk menyampaikan ketuhanan Yesus. Ya, kebangkitan Yesus dari kematian dan juga, mujizat-mujizat Yesus merupakan bukti-bukti kuat untuk membincangkan ketuhananNya. Namun, yang menguatkan perkara-perkara tersebut adalah Alkitab sendiri. Cara #2: Gunakan satu sahaja terjemahan Alkitab! Setiap kali membincangkan ketuhanan Yesus, umat Kristian akan selalu berbalah sesama sendiri mengenai terjemahan Alkitab, iaitu terjemahan mana yang tepat dan bagus. Namun, ini bukanlah perkara utama yang harus diterapkan. Bahkan, jika anda membincangkan ketuhanan Yesus, maka, anda harus memberi sepenuh perhatian kepada subjek ketuhananNya. Jadi, di sini, saya ingin cadangkan anda memilih satu sahaja terjemahan Alkitab dan gunakan sepenuhnya terjemahan tersebut. Nescaya, tidak akan berlaku sebarang olah di mana seseorang umat Kristian menggunakan terjemahan mengikut citarasa sendiri, lalu, menumpukan perhatian kepada terjemahan yang mereka rasakan tepat dan bagus. Justeru, hilanglah fokus anda dari menyampaikan ketuhanan Yesus. Kenapa? Anda terlalu fokus terhadap topik mengenai terjemahan mana yang tepat dan bagus. Bagi saya, saya suka menggunakan terjemahan Alkitab Versi Borneo terbaru bagi menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umat Kristian dan bukan Kristian. Jadi, gunakanlah satu terjemahan untuk membawa Berita Baik mengenai Yesus. Cara #3: Biasakan diri anda dengan konteks Apa yang saya ingin sampaikan di sini? Okay, barangkali, anda akan berjumpa dengan beberapa umat Kristian yang bersemangat untuk berbincang mengenai ketuhanan Yesus namun mereka akan mengambil ayat-ayat Alkitab dari satu tempat ke satu tempat dan apabila mereka dikerjakan dengan sebuah bantahan atau bahasan yang bernas mengenai konteks ayat tersebut, mereka terkejut dan terdiam seolah-olah tidak dapat menjawab bantahan atau bahasan yang dikemukakan. Untuk mengelakkan perkara ini dari terjadi, gunakan dua atau tiga ayat dari Alkitab tapi, kena tahu konteks ayat-ayat yang digunakan agar anda boleh menyampaikan maklumat yang penuh makna dan juga, ia dapat membantu seseorang untuk melihat intipati Alkitab dengan teliti. Ini juga adalah satu perkara yang bagus biarpun mereka percaya Yesus itu Tuhan atau tidak. Cara #4: Jelaskan istilah-istilah yang digunakan secara lanjut dan teliti Di dalam penyampaian mengenai ketuhanan Yesus, orang akan selalu bertanya soalan yang sulit seperti ini: Yesus itu Tuhan tetapi dia berdoa? Kepada siapa dia berdoa? Bagi orang bukan umat Kristian, mereka tidak mengerti kenapa Yesus sebagai Tuhan berdoa kepada Tuhan. Adakah logik di sebalik ini dan di sini? Bagi yang bukan Kristian, Tuhan itu satu. Jika kita menggunakan istilah Tuhan sebagai Tritunggal, kita seharusnya mampu memberi penjelasan secara lanjut dan teliti tanpa menyebabkan kebingungan atau salah faham tentang konsep Tuhan Tritunggal iaitu ada tiga peribadi dalam satu Tuhan. Tetapi jika kita gagal menjelaskan istilah Tuhan seperti yang difahami orang Kristian, teman-teman bukan Kristian kita tentulah bingung: bagaimana Tuhan boleh berdoa kepada Tuhan sedangkan Tuhan itu hanya satu? Oleh itu adalah penting kita menerangkan definisi Tuhan kita dan menjelaskan perihal ketuhanan Yesus dengan lanjut dan teliti kepada teman-teman bukan Kristian kita. Jadi, Jelaskan istilah-istilah yang digunakan secara lanjut dan teliti. Ini bukan sahaja digunakan untuk membahaskan ketuhanan Yesus tetapi juga untuk perkara yang lain. Cara #5: Amalkan sifat lemah-lembut dan saling hormat-menghormati satu sama lain Ada kalanya kita tidak mengamalkan sifat lemah-lembut mahupun menghormati orang lain apabila menyampaikan perihal kepercayaan Kristian mahupun perihal ketuhanan Yesus. Ini merupakan satu sifat yang Yesus sendiri mahupun murid-muridNya tidak akan lakukan sekalipun dalam menyampaikan Injil kepada umum. Dalam 1 Petrus 3:15-16 (AVB) berkata: Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu dalam Kristus akan berasa malu. Sifat lemah-lembut dan hormat-menghormati adalah sifat-sifat penting di dalam apologetik kepercayaan Kristian dan inilah yang membezakan dari kepercayaan lain. Kenapa? Kerana Yesus dan murid-muridNya menunjukkan sifat-sifat ini apabila menyampaikan atau membincangkan Injil kepada umum. Jadi, inilah 5 cara-cara untuk menyampaikan ketuhanan Yesus kepada umum. Jika anda menyukai apa yang dilihat dan didengari di video ini, sila sampaikan kepada kawan-kawan, ahli keluarga, sanak saudara dan rumpun gereja anda.
- Mengapakah Yesus Datang Ke Dunia
Sepanjang hidup Yesus, Dia menunjukkan bahawa Dia mempunyai misi dan tujuan yang dilaksanakan-Nya dengan sengaja. Pada usia yang muda, Yesus sudah tahu bahawa Dia “harus melakukan kerja Bapa-Nya” (Lukas 2:49). Pada hari-hari terakhir kehidupan-Nya di bumi, Yesus “menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Yerusalem,” walaupun Dia tahu Dia akan dianiayai dan dibunuh di situ (Lukas 9:51). Boleh dikatakan misi asas Yesus Kristus semasa di bumi adalah untuk memenuhi rancangan Tuhan untuk menyelamatkan orang yang sesat. Dalam Lukas 19:10, Yesus berkata "Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang hilang." Pada ketika itu, Yesus baru sahaja dikritik kerana pergi ke rumah Zakheus seorang pemungut cukai yang dikenali sebagai penipu. Yesus menjawab dengan menegaskan bahawa misi-Nya adalah untuk menyelamatkan orang yang memerlukan penyelamatan. Dosa mereka bukanlah alasan untuk-Nya menghindari mereka; sebaliknya, itulah yang menjadi sebab Yesus mencari mereka. Berulang-kali semasa pelayanan Kristus, Dia mendekati dan mengampuni orang-orang yang dijauhi oleh pemimpin-pemimpin agama yang angkuh dan menganggap diri mereka benar (‘self-righteous’). Dia mencari dan menyelamatkan wanita Samaria di tepi perigi yang hidup berdosa dengan lelaki yang bukan suaminya, dan juga orang-orang Samaria yang lain di kotanya (Yohanes 4: 39–41). Selain itu, Yesus mencari dan menyelamatkan seorang pelacur perempuan dengan sebotol minyak wangi (Lukas 7:37). Bahkan, Dia mengambil Matius, seorang pemungut cukai yang merupakan seorang penipu, menjadi anak murid-Nya sendiri (Matius 9: 9). Dalam Matius 9:11, sekali lagi Yesus ditegur kerana makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa, dan sekali lagi Yesus membalas dengan menjelaskan misinya: "Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa" (Matius 9:13). Jelaslah matlamat Yesus adalah untuk menyelamatkan orang berdosa. Dia berjaya mencapai tujuan-Nya semasa di bumi. Oleh itu, dalam Yohanes 17:4, Yesus mengatakan kepada Bapa-Nya di syurga: “Aku telah memuliakanMu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepadaKu.” Dalam Injil-injil AlKitab, kita lihat Yesus memanggil orang paling berdosa untuk bertaubat. Tiada sesiapa pun yang dianggap-Nya terlalu berdosa sehingga tidak layak datang kepada-Nya. Sebaliknya, Yesus mengejar mereka yang sesat untuk diselamatkan. Yesus menggunakan dua perumpamaan untuk menerangkan misinya. Dalam perumpamaan pertama, seorang gembala yang mempunyai 100 ekor domba dan kehilangan seekor, akan meninggalkan 99 ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga diketemukannya. Gembala itu kemudiannya memikul domba itu di atas bahunya dan pulang dengan gembira. Setibanya di rumah, dia lalu meraikan penemuan itu bersama jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya (Lukas 15: 4–7). Perumpamaan kedua pula mengenai perempuan yang mempunyai 10 keping wang perak dan kehilangan sekeping. Wanita itu mencari-mencari dengan cermat sehingga ketemu kembali wang peraknya yang hilang, lalu diraikan penemuannya bersama jiran-jirannya. (Lukas 15:8-10) Dalam kisah anak yang sesat, Yesus mengajar bahawa Tuhan akan selalu menyambut dengan tangan terbuka mereka yang datang kepada-Nya dengan hati yang bertaubat (Lukas 15: 21–22; lihat Yesaya 57:15). Sehingga hari ini, Yesus terus mencari dan menyelamatkan mereka yang mempercayai-Nya dengan rendah hati (Matius 11:29; 18: 3–4; Wahyu 3:20). Yesus telah mengorbankan diri-Nya di kayu salib sebagai korban dosa kita agar kita dapat menerima pengampunan dosa. Yesus telah membuka jalan bagi kita manusia berdosa untuk didamaikan dengan Tuhan dan menjanjikan kita kehidupan kekal di akhirat. Pilihlah untuk menerima penyelamatan yang Yesus hulurkan kepada kita semua hari ini. Berdasarkan "What was Jesus’ mission? Why did Jesus come?” GotQuestions.org. https://www.gotquestions.org/Jesus-mission.html












