top of page

Cari

3189 results found with an empty search

  • Kemenangan Melalui Kasih Karunia-Nya

    Pernahkan anda mengalami pergelutan dalaman ataupun pergumulan rohani yang mana di saat anda mahu berserah secara total kepada Tuhan, hidup suci, kudus dan murni dalam setiap aspek kehidupan peribadi anda sebagai satu persembahan yang hidup dan murni di hadapan Tuhan, namun yang terjadi adalah sebaliknya? Dalam anda mahu menghidupi Firman Tuhan dengan sungguh-sungguh namun tanpa anda sedari, dengan tidak sengaja atau sengaja anda terkadang terlepas dan melanggar batas-batas murni ataupun tersandung dek hal-hal yang menyebabkan anda terjatuh dan berdosa. Anda merasa begitu kecewa, sakit hati, tertuduh dan sangat menyesal bahkan kekadang anda sampai mengutuki diri anda sendiri oleh kerana sikap berdosa dan ketidak-murnian anda tersebut. Anda tidak keseorangan. Rasul Paulus juga mengalami keadaan pergelutan yang sama seperti ini, dia berkata di dalam Roma 7:18-19, “Sebab aku tahu, bahwa di dalam aku, yaitu di dalam aku sebagai manusia, tidak ada sesuatu yang baik. Sebab kehendak memang ada di dalam aku, tetapi bukan hal berbuat apa yang baik. Sebab bukan apa yang aku kehendaki, yaitu yang baik, yang aku perbuat, melainkan apa yang tidak aku kehendaki, yaitu yang jahat, yang aku perbuat.” Selagi kita hidup sebagai manusia dalam tubuh yang fana ini, kita akan sentiasa cenderung bergelut dengan pelbagai jenis keinginan fikiran dan nafsu kedagingan. Sifat kejatuhan semulajadi manusia yang berdosa telah menyebabkan kita tunduk kepada keinginan-keinginan nafsu kedagingan, pemikiran-pemikiran yang negative serta emosi-emosi yang toksik akibat daripada nafsu, ketamakan, kesombongan, kekalahan dan sebagainya. Hukum-hukum agama tidak dapat menyelamatkan serta membebaskan kita sepenuhnya oleh kerana kelemahan sifat berdosa semulajadi kita. Namun kerana kasih karunia-Nya yang sangat besar Tuhan telah melakukan apa yang hukum-hukum agama tidak dapat lakukan. Tuhan telah menghantar Anak-Nya dalam bentuk tubuh manusia yang kita miliki hari ini. Dan di dalam tubuh-Nya itu Tuhan mengisytiharkan pengakhiran akan kawalan kuasa dosa ke atas hidup kita dengan memberi Anak-Nya sebagai korban bagi dosa kita (Rom 8:3 “Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa”). Rasul Paulus telah memperhatikan corak kehidupannya sendiri. Dia ingin melakukan perkara yang benar. Dia jujur dan ikhlas. Namun masih tetap juga melakukan perkara-perkara yang dia benci lakukan. Dia akui dan sedar bahawa dengan kemampuannya sendiri, dia tidak dapat melakukan perkara yang baik dan benar, kerana dia sendiri bukanlah sumber yang “baik”. Dia mempunyai keinginan, tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan apa yang benar. Ini sesuai dengan apa yang Rasul Paulus katakan mengenai mereka yang tinggal di bawah hukum-hukum agama. Usaha-usaha mereka untuk mengikuti hukum-hukum agama menunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak mampu untuk mengikuti tuntutan hukum-hukum agama sepenuhnya, bahawa mereka benar-benar adalah hamba kepada dosa. Dalam Roma 7:24 Rasul Paulus berteriak, “Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini?” Namun sama seperti Rasul Paulus, kita bersyukur kerana adanya ayat 7:25 yang mengatakan, “Syukur kepada Allah! melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.” Jawapan bagi setiap pergelutan dalaman dan pergumulan rohani kita hanya didapati dalam keperibadian Yesus Kritus. Secara zahiriah, walau sebanyak mana sekalipun usaha dan amalan kita, tetap saja kita tidak dapat memuaskan serta memenuhi semua tuntutan hukum-hukum agama, namun secara rohani dengan iman yang percaya kepada kasih karunia yang dicurahkan melalui Yesus Kristus Tuhan kita, kita telah bebas dan dapat bersukacita dalam erti kata yang sebenarnya serta dapat mengalami kemenangan ke atas kehendak fikiran dan nafsu kedagingan melalui kuasa salib-Nya. Seandainya hari-hari ini, di saat kita terpelecok mahupun tersandung oleh hal-hal yang tidak wajar yang menyebabkan kita tidak murni di hadapan Tuhan, marilah kita cepat-cepat kembali kepada-Nya, akui dosa-dosa kita serta memohon pengampunan-Nya. Marilah kita terus memandang kepada-Nya serta kasih karunia-Nya yang telah dicurahkan dengan penuh rahmat kepada kita. Amal perbuatan tidak dapat menyelamatkan kita melainkan iman yang percaya kepada kasih karunia-Nya melalui Yesus Kristus yang bekerja di dalam hidup kita. Sambil beriman dan percaya marilah kita juga hidup dengan penuh kesedaran bahawa Hadirat Tuhan sentiasa bersama-sama dengan kita dan Roh Kudusnya sentiasa bekerja bagi memurnikan kita sehingga kita menjadi seperti emas yang murni di hadapan-Nya bagi kemuliaan nama-Nya. Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen! Sue

  • Hiduplah Bersama Tuhan

    Awal minggu lalu saya dikejutkan dengan berita kematian akibat virus covid-19 yang meragut ahli keluarga saya yang terdekat. Kematian? Apakah erti kematian? Bagi sesetengah orang kematian adalah sesuatu yang mengerikan, kejam dan zalim. Apabila seseorang meninggal dunia, bukan sahaja nyawanya terputus bahkan seluruh usaha, harapan, serta impiannya juga terputus, segala-galanya berhenti. Tapi bagi umat Tuhan, kematian adalah bukti tanda kuasa dosa. Rasul Paulus mengatakan bahawa upah dosa ialah maut (Rom 6:23). Oleh kerana dosa yang menular dan menyerapi seluruh umat manusia, maka umumnya kita tunduk kepada kematian. Buktinya, tidak ada seorang pun yang hidup di dunia ini untuk selama-lamanya, semuanya pasti akan mengalami kematian. Alkitab mengambarkan kematian dalam tiga bentuk, iaitu: Mati secara fizikal, yang ditandai dengan berakhirnya kehidupan. Mati secara rohani, yang ditandai dengan terputusnya hubungan dengan Tuhan. Mati kekal, iaitu selama-lamanya dalam api neraka. Secara fizikal kita tidak mempunyai pilihan, kerana mati adalah buah dosa. Namun secara rohani kita mempunyai pilihan yang boleh kita buat yang juga akan dapat menentukan akhir dari destini hidup kita sama ada mati kekal dalam api neraka atau hidup kekal dalam hadirat Tuhan. Tuhan Yesus berkata, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.” (Yoh 5:24). Di sini Tuhan Yesus berkata bahawa sesiapa yang mendengar dan percaya akan mendapat hidup yang kekal! Sudahkah kita mendengar kata-kata-Nya dan percaya kepada Dia? Sudahkah kita memperoleh hidup kekal yang dijanjikan oleh Tuhan Yesus ini? Hidup kekal yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus ini bukan bermaksub hidup kekal yang hanya akan bermula selepas kematian jasmani kita, tetapi hidup kekal yang dapat dialami di sini dan sekarang ini juga. Hidup secara rohani. Jadi apakah makna hidup kekal? Tuhan Yesus berkata dalam Yoh 17:3, “Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang kau utus”. Jadi hidup kekal itu bukan hanya semata-mata sebuah destini sahaja tetapi sebuah proses pengalaman hidup bersama dengan Tuhan di sini dan sekarang ini. Hidup yang mengenal dan mengalami Tuhan yang benar secara peribadi, hidup yang sentiasa bergaul dengan Tuhan, mempunyai hubungan yang intim dengan-Nya dan berjalan bersama dengan-Nya. Hidup yang berpusat kepada Tuhan dalam segala perkara di seluruh aspek kehidupan. Hidup yang mengalir daripada-Nya yang menghidupi hidup kita, dan bukannya kita lagi yang hidup melainkan Dia yang hidup di dalam kita. Hari-hari ini apakah kita benar-benar ‘hidup’ bersama dengan Tuhan? Apakah kita makin mengenali Dia dan mengalami-Nya secara peribadi dari hari ke sehari? Atau pengenalan serta pengalaman kita akan Tuhan masih sama seperti yang kita kenali-Nya selama 20 tahun yang lalu ataupun beberapa tahun yang lalu. Atau apakah kita hanya mengetahui tentang-Nya hanya melalui kata-kata orang lain tanpa pernah mengenali-Nya dan mengalami-Nya secara peribadi? Alangkah ruginya kalau-kalau kita hanya mengenal-Nya hanya melalui kata-kata atau kesaksian-kesaksian serta pengalaman daripada orang lain. Tuhan mahu kita ‘hidup’ bersama dengan-Nya. Mengenali-Nya serta bergaul dengan-Nya secara peribadi di sini dan sekarang ini juga. Melangkah dalam hidup yang penuh kuasa dan mukjizat-Nya, mengalami hidup yang luarbiasa dan berkemenangan yang tak pernah terlintas oleh fikiran manusiawi kita. Hidup yang sebenarnya! Sebab ‘hidup’ tanpa Tuhan itu sama saja dengan ‘mati’. Tuhan Yesus pernah memberi amaran kepada Jemaat di Sardis, kata-Nya “Aku tahu perbuatanmu. Nama sahaja kamu hidup tetapi sebenarnya mati…bangunlah…bertaubatlah…” (Wahyu 3:2-3). Hari ini, jika kita tahu kalau hidup kita tidak menghidupi ‘hidup kekal’ bersama dengan Tuhan, marilah kita bertaubat. Marilah kita mulai hidup yang sesungguhnya. Hidup yang bergaul dan berjalan bersama dengan Tuhan, mengenali dan mengalami-Nya dari setiap saat kehidupan kita. Dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Tuhan kerana ini adalah kehendak-Nya dalam hidup kita. Tuhan telah memberikan kita segala sesuatu untuk kita hidup bersama-Nya: Firman-Nya, Roh-Nya bahkan Hadirat-Nya ada bersama dengan kita. Tuhan Yesus berkata, “Barangsiapa menang… Aku tidak akan menghapus namanya dari kitab kehidupan, melainkan Aku akan mengaku namanya di hadapan Bapa-Ku dan di hadapan para malaikat-Nya. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah…” (Wahyu 3:5). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Jangan Menjadi Seperti Dunia

    Suatu hari saya keluar bersama dengan jiran baru saya. Jiran saya ini seorang yang sangat ceria, mesra dan tidak henti-hentinya menceritakan kisah-kisah menariknya kepada saya sambil memuji Tuhan. Katanya hanya kerana kebaikan Tuhanlah dia dapat hidup sehingga ke hari ini dan dapat menikmati segala kebaikan dan kemurahan hati Tuhan di dalam hidupnya. Di akhir perbualan kami tiba-tiba dia meminta saya untuk memberikannya nombor plat kereta saya. Saya sedikit kaget dan bertanya kenapa dia memerlukan nombor plat kereta saya. Jawapannya membuatkan saya terkejut. Katanya dia mahu membeli nombor ekor! Saya berkata itu adalah judi, sesuatu yang dilarang dan sangat tidak berkenan di hati Tuhan! Ramai orang mengaku dan menganggap diri mereka adalah anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya. Memang benar Tuhan begitu mengasihi kita. Kasih-Nya kekal dan tidak pernah berubah. Tuhan tidak pernah berkompromi dalam mengasihi kita. Di pihaknya Tuhan, itu adalah satu kepastian. Namun pernahkah kita terfikir bagaimana pula dipihak kita? Apakah kita benar-benar anak Tuhan? Jikalau kita adalah anak Tuhan, apakah gaya hidup kita mencerminkan kemuliaan dan kekudusan Tuhan? Apakah keperibadian kita makin hari makin menyerupai keperibadian Yesus Kristus? Apakah kelakuan kita selari dengan ciri-ciri seorang anak Tuhan yang dinyatakan di dalam Firman Tuhan? Apakah keinginan-keinginan kita kudus dan murni di hadapan Tuhan? Atau kita hanya menganggap diri kita sebagai anak Tuhan namun sebenarnya tidak, hidup berkompromi dengan perkara-perkara yang jelas menjadi kebiasaan amalan dunia ini? Hidup yang mengejar “keinginan daging dan keinginan mata serta keangkuhan hidup yang sememangnya bukan berasal daripada Bapa, melainkan dari dunia. Rasul Paulus berkata di dalam Roma 12:2, “Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu, sehingga kamu dapat membezakan manakah kehendak Allah: apa yang baik, yang berkenan kepada Allah dan yang sempurna.” Dahulunya kita adalah orang yang berdosa dan seharusnya menjadi orang yang dimurkai oleh Tuhan, namun oleh kerana kasih karunia-Nya yang sangat besar kita ditebus dan diselamatkan daripada kuasa dosa, dikuduskan dan dimurnikan serta diangkat menjadi anak-anak Tuhan. Betapa berbahagianya kita kerana dipilih untuk menjadi anak-anak Tuhan! Oleh itu janganlah kita berbalik semula dan menjadi sama seperti dunia ini lagi kerana kita sudah tidak mempunyai bahagian apa-apa pun dalam dunia ini. Kita telah mati! Hidup yang kita jalani sekarang ini bukan lagi milik kita tetapi milik Kristus. Maka hiduplah sesuai dengan kehendak Kristus. Janganlah menduakan hati kita dengan perkara-perkara yang sementara dan yang pastinya akan hancur lenyap. Tuhan Yesus dengan tegas mengatakan dalam Matius 7:21-23 “Tidak semua orang yang memanggilku, ‘Tuhan, Tuhan,’ akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.” Semua orang boleh memanggil Tuhan Yesus, Tuhan, Tuhan dalam hidup mereka, bahkan melayani-Nya! Namun apa yang membezakan antara pengikut yang sejati dan yang palsu adalah apakah ia melakukan serta melaksanakan kehendak Bapa atau tidak. Itulah yang membezakannya. Yohanes 14:15 Yesus berkata “Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku.” Marilah kita perhatikan hidup kita baik-baik, apakah kita melakukan kehendak Bapa syurgawi kita? Apakah kita melaksanakan perintah-perintah-Nya dalam kehidupan kita ini? Perhatikanlah supaya apa yang kita jalani dalam kehidupan kita di dunia ini tidak sia-sia dan apabila tiba waktunya untuk kita menghadap yang Maha Kudus, kita tidak akan menyesal kerugian tetapi bersukacita dalam menerima mahkota kehidupan yang telah dijanjikan-Nya kepada kita. Sematkanlah kata-kata Yesus di dalam Matius 7:21-23 ini di dalam hati kita baik-baik sebagai peringatan supaya kita senantiasa sedar tentang siapa sebenarnya diri kita. Sebab nanti akan ada hari pemisahan di mana Tuhan akan memisahkan anak-anakNya daripada anak-anak yang mengikuti kehendak dunia. Di saat itu sudah tentunya kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang akan dipisahkan dan dibuang ke dalam kematian kekal. Bapa syurgawi, selidikilah hati kami saat ini, sekiranya ada dosa-dosa yang tersembunyi mahupun sesuatu yang tidak berkenan di hadapan-Mu, kami mohon pengampunanMu. Ampunilah kami Tuhan, kuduskan kami dan murnikan kami sekali lagi dengan darah Yesus Kristus. Berikanlah kami hati yang baru, perbaharuilah fikiran kami. Tuhan Roh Kudus, pimpinlah kami dan ajarilah kami agar kami dapat hidup sesuai dengan panggilan yang telah kami terima, hidup yang mencerminkan kemuliaan dan kekudusan-Mu serta semakin hari semakin menjadi serupa seperti Yesus dan bukannya serupa dunia ini. Berikan kami kekuatan dan keberanian untuk terus menghidupi firman-Mu dalam hidup kami. Di dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin. Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Janganlah Khuatir

    Selagi kita hidup di dalam dunia ini, kita sememangnya tidak akan terlepas lari dari pencobaan dan permasalahan hidup. Ini kerana dunia ini tidak sempurna, penuh dengan dosa dan dikuasai oleh kuasa-kuasa kegelapan. Sebagai umat Tuhan, kita tahu bahawa walaupun kita berada di dunia ini namun kita bukanlah berasal dari dunia ini (Yoh 15:19; 17:16). Kita berasal daripada Tuhan, menjadi miliknya Tuhan, dan akan kembali kepada Tuhan. Menjadi umat Tuhan yang hidup di dalam dunia yang tidak sempurna ini tidaklah mudah. Kita seolah-olah hidup sebagai domba yang dikelilingi serigala-serigala buas, yang menanti-nantikan saatnya untuk menerkam kita. Persekitaran-persekitaran yang kelam dan zalim terkadang membuatkan kita hanyut dengan permasalahan yang menimpa kita. Kita leka bahkan terlupa siapa sebenarnya jati diri kita, dari mana kita berasal dan milik siapa kita ini. Dan di dalam kelekaan kita, kita membiarkan musuh-musuh kita menguasai kita sedikit demi sedikit. Dengan membiarkan diri kita dipengaruhi dengan keadaan sekeliling, dengan mengaburi pandangan kita, malah menyebabkan kita ragu akan ketersediaan Tuhan bagi kita. Dan kerana itu kita mulai bimbang, kuatir serta gusar terhadap apa yang terjadi dalam kehidupan kita. Tuhan Yesus berkata, “Karena itu Aku berkata kepadamu: Janganlah kuatir akan hidupmu, akan apa yang hendak kamu makan atau minum, dan janganlah kuatir pula akan tubuhmu, akan apa yang hendak kamu pakai. Bukankah hidup itu lebih penting dari pada makanan dan tubuh itu lebih penting dari pada pakaian? … Akan tetapi Bapamu yang di sorga tahu, bahwa kamu memerlukan semuanya itu.” (Mat 6:25-34). Di sini Tuhan Yesus menyentuh hal-hal yang paling mendasar dalam kehidupan kita. Makanan, minuman dan pakaian adalah perkara asas yang diperlukan oleh setiap manusia. Namun lebih daripada hal-hal asas ini adalah hidup itu sendiri yang lebih penting. Cuba kita fikirkan, bukankah makanan, minuman serta pakaian itu walaupun adalah hal asas namun ianya hanya bersifat sementara? Bahkan masalah-masalah lain juga bersifat sementara? Contohnya, masalah yang kita alami 10 tahun lalu, sekarang sudah berlalu bahkan kita mungkin langsung tidak mengingatinya lagi pada hari ini. Tetapi hidup itu kekal. Ianya lebih penting. Bagaimana kita menghidupi hidup itu adalah sangat penting di mata Tuhan. Apakah kita hidup dengan kesedaran yang penuh tentang siapakah Tuhan dan siapakah kita di mata Tuhan? Atau apakah hidup yang kita jalani ini telah dikaburi oleh tipu daya musuh sehingga menyebabkan kita kehilangan keyakinan terhadap kasih setia Tuhan?. Apakah kita benar-benar mempercayai Tuhan? Sebagai umat Tuhan kita semua tahu bahawa Tuhan itu berkuasa, agung dan berdaulat. Setia dalam janji-janji-Nya, mengasihi kita dan sentiasa menyertai kita. Dia tahu akan setiap pergumulan hidup kita. Dia juga tahu akan setiap keperluan kita. Bahkah Dia mampu serta sanggup menyediakannya bagi kita. Namun apabila kita menghadapi situasi yang terdesak, kita bimbang? Walaupun sudah berdoa namun tetap kuatir dan gusar? Jangan-jangan di dalam kekuatiran dan kegusaran kita, tanpa di sedari kita telah menghina Tuhan yang kita sembah! Bagi saya, kebimbangan dan kekuatiran adalah suatu sifat yang menghina Tuhan secara peribadi, kerana ia menyerang siapakah Tuhan yang sebenarnya. Kekuatiran adalah bahasa yang mengatakan bahawa Tuhan tidak boleh dipercayai. Jika kita berkata Tuhan berkuasa, Dia maha tahu, mampu serta sanggup untuk melakukan segala sesuatu, Dia adalah Bapa kita yang sangat mengasihi kita, peduli dan murah hati namun kita masih kuatir, bukankah itu bererti kita mengatakan kepada Tuhan bahawa Dia tidak boleh dipercayai, janji-janjiNya tidak boleh dipegang, tidak mampu untuk melindungi, memelihara dan menjaga hidup kita dengan sempurna? Janganlah kita menghina Tuhan yang kita sembah dengan ketidakpercayaan kita. Sikap ketidakpercayaan akan mengheret kita kepada ketidaktaatan yang mana boleh mengundang kemurkaan Tuhan dalam hidup kita. Setiap kali apabila kita dilanda pencobaan dan permasalahan hidup, dan apabila akar-akar kekuatiran cuba untuk menyelusup masuk ke dalam hidup kita, ingatkanlah diri kita supaya jangan kita kuatir, kerana kekuatiran menghina kemampuan kuasa Tuhan. Katakan kepada musuh kita dan juga kepada diri kita sendiri sekuat yang mungkin bahawa aku percaya kepada Tuhanku yang berkuasa yang mampu dan sanggup untuk memeliharaku dan menyelesaikan segala permasalahanku dengan sempurna, kerana aku adalah anak yang sangat dikasihiNya. Hormatilah Tuhan yang telah memberikan kita kasih karunia-Nya dan hidup yang kekal. “Sebabnya kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan” (2 Kor 5:7). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Tuhan Itu Baik

    Bermula di akhir tahun 2020 sehingga kini, dunia di landa oleh wabak virus corona (covid 19). Seluruh aspek kehidupan manusia sangat terkesan baik dari segi kesihatan, ekonomi mahupun sosial. Kita melihat kematian demi kematian melonjak dengan begitu pantas, sehingga kakitangan hospital bahkan pengali kubur pun tidak menang tangan. Seolah-olah malaikat maut bekerja dengan begitu keras dalam mengambil nyawa manusia melalui virus ini. Manusia bukan hanya sekadar dilanda oleh wabak virus corona tetapi juga oleh virus ketakutan yang mencengkam. Dalam keadaan sebegini, pernahkah kita tertanya-tanya apakah Tuhan masih ada dan masih mengawal segala sesuatu? Atau apakah ini telah ditakdirkan oleh Tuhan. Kalau ya, bukankah Tuhan itu baik? Kalau Dia baik, lalu mengapa keburukan, kemudaratan dan kematian ini terus melanda manusia? Apakah benar segala kebaikan dan keburukan datang daripada Tuhan? “Tuhan itu baik kepada semua orang. Dan penuh rahmat terhadap segala yang dijadikannya (Mazmur 145:9). “Sebab Tuhan itu baik, kasih setia-Nya untuk selama-lamanya, dan kesetiaan-Nya tetap turun temurun”. (Mazmur 100:5) Firman Tuhan mengatakan bahawa Tuhan itu baik. Dan Dia baik untuk selama-lamanya. Itu adalah sifat-Nya yang kekal. Maka kalau Tuhan itu baik, bererti segala sesuatu yang baik datangnya daripada Tuhan. Tidak ada yang tidak baik, sebab tidak ada ketidak-baikan dalam Tuhan. Ketidak-baikan bukan berasal daripada Tuhan. Sekiranya ada ketidak-baikan dalam Tuhan maka Dia bukanlah Tuhan kerana ianya bertentangan dengan sifat-Nya bahawa dia adalah baik. Tuhan tidak berdusta seperti manusia (Titus 1:2). Kerana itu apabila ada orang mengatakan bahawa semua yang terjadi adalah takdir Tuhan, saya akan bertanya, benarkah demikian? Kalau Tuhan baik, mengapa Dia mahu menimpakan apa yang tidak baik kepada manusia ciptaan-Nya? Mengapakah manusia harus menderita kerana sesuatu yang telah ditakdirkannya sejak awal lagi? Apakah Dia adalah Tuhan yang bertentangan dengan diri-Nya sendiri? Apakah Dia Tuhan yang berdusta dengan diri-Nya sendiri? Yang dengan senang-senangnya mengubah janji-janjiNya? Sebab saya percaya jika Tuhan bertentangan dengan sifat diri-Nya sendiri, Dia bukan sahaja memudaratkan manusia tetapi diri-Nya sendiri, kerana ternyata dengan bertentangan dengan sifat-Nya Dia bukan Tuhan yang benar. Jadi kalau kita percaya bahawa segala kebaikan itu datangnya daripada Tuhan, maka segala yang tidak baik itu datangnya daripada musuh Tuhan. Siapakah musuh Tuhan itu? Firman Tuhan mengatakan bahawa musuh Tuhan itu seperti pencuri yang datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan (Yohanes 10:10b). Mari kita renungkan ke dalam diri kita sendiri, apakah Tuhan yang sedang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah kebaikan, atau musuh Tuhan yang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah yang mencuri, membunuh, dan membinasakan segala kebaikan baik dalam hidup kita mahupun kehidupan orang lain? Apakah niat hati kita, fikiran kita, imaginasi kita, tindak tanduk kelakuan kita mahupun tutur kata kita – adakah ia mengeluarkan segala sesuatu yang baik atau sebaliknya? Hari ini marilah kita datang kepada Tuhan yang baik dan percaya bahawa Dia sentiasa menginginkan yang terbaik dan merencanakan kehidupan yang terbaik untuk kita. Marilah kita serahkan diri kita kepada-Nya untuk mengerjakan yang baik dan menghasilkan buah-buah yang baik dari dalam diri kita bagi kebaikan diri kita dan juga masyarakat sekeliling kita. Sebab “Kita tahu bahawa Tuhan mengatur segala hal, sehingga menghasilkan yang baik untuk orang-orang yang mengasihi Dia dan yang dipanggil-Nya sesuai rencana-Nya. (Roma 8:28). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Menghargai Nilai Pasangan

    Oleh Greg Smalley Sikap utama yang akan menolong pasangan anda berasa selamat dari segi emosinya adalah ketika dia percaya bahawa anda memahami betapa berharganya dia. Itulah intipati penghormatan. Sikap menghormati seseorang adalah keputusan untuk melihat pasangan kita sebagai harta yang tidak ternilai - orang yang sangat penting dan bernilai tinggi. Ini juga digalakkan oleh peribahasa yang menyatakan, "Harta terbesar seseorang lelaki adalah isterinya". Penghormatan bukan bergantung kepada tingkah laku atau berasaskan perasaan. Anda menganggap pasangan anda bernilai sama ada mereka menginginkannya atau layak. Penghormatan adalah keputusan yang anda buat dan hadiah yang anda berikan: “Hendaklah kamu saling mengasihi sebagai saudara dan saling mendahului dalam memberi hormat.” Namun, ketika saya dan Erin sedang bertengkar dan hati saya tutup, perkara pertama yang lenyap adalah kesedaran tentang nilainya yang luar biasa. Dan pada saat-saat itu, ketika saya tidak melihat nilainya, ketika saya tidak menghargainya, saya lebih cenderung untuk bertindak balas dan melayannya dengan cara yang tidak menghormati. Ketika itu, Erin berhak “membina tembok antara kami” yakni mengasingkan diri untuk melindungi dirinya sendiri. Saya menyaksikan kuasa dalam pengakuan nilai isteri saya ketika kami makan malam di rumah ibu bapa saya pada suatu ketika. Salah satu ciri ibu bapa yang sangat saya hargai ialah kejujuran dalam perkahwinan mereka. Mereka tidak pernah menyatakan bahawa perkahwinan mereka "sempurna" dan tidak takut untuk tidak bersetuju antara satu sama lain. Pada satu ketika semasa makan malam, ibu bapa saya bertengkar dengan hebat. Mereka begitu kecewa sehingga masing-masing bergegas ke bahagian rumah yang berlainan. Saya membiarkan keadaan menjadi tenang untuk beberapa minit sebelum saya mengetuk pintu pejabat ayah saya. "Masuklah," jawabnya dengan berat hati. Semasa saya masuk pejabatnya, saya dapati ayah saya duduk di belakang komputernya sambil membaca dokumen yang bertajuk "Mengapa Norma Sangat Berharga." (Nama ibu saya adalah Norma, sekiranya anda tertanya-tanya.) "Apa yang kamu baca?" tanya saya. "Beginilah," ayah saya mula berkata, "beberapa tahun yang lalu saya memulakan senarai mengapa ibumu sangat berharga. Oleh itu, ketika saya kesal dengannya, atau ketika kami baru bertengkar, saya mendapati bahawa daripada duduk di sini dan memikirkan betapa sakitnya atau kecewa saya pada ibu anda, saya perlu memaksa diri saya membaca senarai ini. " Dokumen itu mengandungi ratusan perkataan dan frasa yang menggambarkan nilai ibu saya. Ia menakjubkan. "Ketika saya mula-mula membaca senarai ini, saya masih kesal," jelas ayah saya. "Saya biasanya sampai ke tiga atau empat perkara pertama dan berfikir, 'Apa yang saya fikirkan?' Atau 'Yang ini tidak lagi sah!' Atau 'Saya pasti akan memadamkan ini." Tetapi semakin banyak yang saya baca, semakin cepat saya sedari bahawa anda mempunyai ibu yang luar biasa." Ini merupakan idea terbaik yang pernah saya dengar tentang pengiktirafan nilai seseorang. Mewujudkan keselamatan, itulah iktibarnya. Ia juga apa yang dilakukan oleh ayah saya agar hatinya kembali terbuka. Dengan kata lain, hati anda akan terbuka kepada apa yang anda hargai. Salah satu cara untuk memastikan hati anda terus terbuka dan pasangan anda berasa selamat ialah menumpukan perhatian pada nilainya. Kita juga boleh membuat senarai penghormatan ini untuk pasangan kita. Luangkan beberapa minit untuk menyenaraikan semua sebab mengapa pasangan anda sangat berharga. Contohnya: salah satu ciri wataknya, bentuk imannya, nilai hidup, akhlak, kemahiran keibubapaan, kerohanian, peranan yang dimainkannya yang anda hargai (pekerja, rakan, ibu atau bapa, saudara, anak), ciri keperibadian, bagaimana dia melayan anda, dan lain-lain. Dan jangan simpan senarai ini yang menakjubkan untuk diri sahaja - kongsikan dengan pasangan anda. Biarkan dia tahu bahawa anda mengakui nilainya. Apabila ini berlaku, bukan sahaja pasangan anda mendapat manfaat, tetapi anda juga akan mendapat kesan positif.

  • Manis Janji Mu

    Jade Rozanne Justin Written and sung by Jade Rozanne Justin Video by Jimrod Benggon Filmed at Jade's home, Tamparuli Manis janjiMu Tuhan Tak pernah pudar dari harapan bangsa Kutinggalkan semua menuju ke tempat yg lebih indah Ku rindu bersamaMu Tuhan Di saat menderita Kau menjanjikan hidup penuh bahagia Di saatku terjatuh Kau memberikan limpah kasih kurnia Ku rindu bersamaMu Tuhan Adakah kamu percaya semua yg Dia janjikan Kepada semua org yg beriman Adakah kamu terima semua yg Dia berikan kerna Dia mengasihi UmatNya yg berdosa Aku kan percaya pada JanjiMu Tuhan Manis JanjiMu Tuhan Tak pernah pudar Ku menantikan janji-janjiMu Tuhan

  • God is Faithful (Allah Setia) : Jade Rozanne Justin

    Jade Rozanne Justin The testimony of God's faithfulness in the life of Jade Rozanne Justin. May we be ever faithful to the faithful God. Background Music by Jade, Manis JanjiMu Follow her at https://www.youtube.com/channel/UCjky...​ Video by Jimrod Benggon Filmed at Jade's home, Tamparuli

  • Anak Muda Yang Sakit Parah Sebanyak 3 Kali

    Gavrilla Setiawan Gavrilla adalah pemudi yang sangat aktif dalam hal akademi dan bukan akademi. Disaat kerjayanya sedang memuncak, Tuhan menguji Gavrilla dengan memberikan sakit kepada dirinya. Tidak hanya sekali, melainkan hingga 3 kali. Apa yang dilakukan Tuhan untuk Gavrilla selanjutnya? Saksikan kisah selengkapanya di Solusi TV Malaysia. Jikalau anda mengalami masalah, chat dengan kami di komuniti-digital.com Kami sedia membantu dan mendoakan untuk saudara dan saudari. Tuhan memberkati

  • Bebas Dari Belenggu : Gawai Robert

    Gawai Robert 2 Korintus 5:17 "Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru, yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang." Saksikan bagaimana Gawai dilepaskan daripada belenggu yang mengikatnya dengan kuasa darah Tuhan Yesus! Tontoni kesaksian Gawai di sini....

  • Berkomitmen, Walaupun Anda Tidak Berasa Berbuat Demikian

    Kita semua pernah berasa sindrom "Hei, bagaimana dengan saya?" Kadangkala ia menyelinap pada kita ketika kita berasa bahawa keperluan emosi kita tidak dipenuhi - dan kita membencinya. Atau mungkin kita mempunyai pasangan yang sukar dicintai dan kita sudah bosan cuba memelihara keadaan hidup kita. Masa itulah tercetusnya sindrom "Hei, bagaimana dengan saya?" Bila ia tiba, dan kita berasa kasihan pada diri sendiri - atau hanya bosan mencuba - apa yang boleh kita lakukan? Pilih untuk membuat keputusan yang bijak. Apabila keadaan menjadi sukar, jangan bergantung pada perasaan atau emosi. Perasaan kita tidak akan membantu kita untuk membuat keputusan yang tepat; sebaliknya keputusan yang tepat akan menjadikan emosi kita yang baik - dan ganjarannya yang positif. Berikut adalah beberapa cara untuk mengawal emosi dengan keazaman anda: 1) Buatlah keputusan untuk mengeluarkan perkataan "perceraian" dari kamus anda. Suami saya, Bill dan saya telah memberi kaunseling kepada pasangan agar mereka kembali bahagia dari berbagai krisis: kehilangan anak, kehilangan rumah, semua jenis ketagihan, hubungan sulit, dan banyak kes "Saya sudah bosan mencuba". Walaupun anda berasa ingin mengajukan perceraian tidak bermakna anda harus melakukannya! Apabila anda membuat keputusan untuk mengeluarkan perkataan 'perceraian' dari kamus kata anda, dapatlah anda mula membangun kembali keinginan anda untuk berkahwin dan keinginan anda untuk pasangan anda. Sekiranya anda perlu memupuk motivasi, fikirkan tentang: ◦ Anak-anak anda. ◦ Masa yang sudah anda labur dalam hubungan ini. Statistik menunjukkan bahawa pasangan yang sengsara sekarang, tetapi bertahan beberapa tahun kemudian, menilai perkahwinan dan hidup mereka sebagai lebih bahagia daripada mereka yang terus bertindak dan bercerai. Hanya mulakan di mana anda boleh. Walaupun anda berasa tidak rela. 2) Buatlah keputusan untuk memilih sukacita. Kadangkala hidup tidak adil. Kadangkala perkahwinan tidak adil. Ia adalah hubungan yang kekal tidak kira kaya atau miskin, kesakitan atau kesihatan, dan sama ada keadaan menjadi lebih baik atau lebih buruk. Jim dan Sally Conway, dalam buku mereka yang berjudul “Sifat Perkahwinan yang Berpanjangan” (Traits of a Lasting Marriage), meninjau pasangan-pasangan yang mempunyai hubungan berjangka panjang yang bahagia dan rahsia yang mereka dapati adalah bahawa pasangan tersebut telah memutuskan untuk berada dalam perkahwinan berjangka panjang yang bahagia! Keputusan untuk memilih sukacita, untuk menjadi orang yang bahagia tanpa mengira keadaannya, adalah keputusan yang akan mewujudkan kebahagiaan. Sekiranya anda mencari kebahagiaan sebagai tujuan, anda tidak akan mencapainya, kerana anda tidak dapat mengawal keadaan dan anda tiada kawalan terhadap pasangan anda. Tetapi anda boleh mengawal diri dan emosi anda. Sekiranya anda memilih sukacita, tidak lama lagi anda dapati bahawa anda memilikinya. Beberapa perkara untuk membantu anda memilih sukacita mungkin seperti berikut: ◦ Membuat senarai ciri terbaik pasangan anda, (mungkin hanya ada beberapa sahaja) dan kemudian memutuskan untuk memujinya setiap hari dengan membangkitkan salah satu ciri yang baik. ◦ Melakukan perkara yang anda sukai yang sama sekali tidak berkaitan dengan hubungan anda: makan tengah hari dengan kawan, berjalan-jalan di pantai atau tepi tasik, menghabiskan masa sehari di spa. Kadang-kadang anda hanya memerlukan waktu rehat emosi untuk mengembalikan harapan dan kekuatan. • Putuskan untuk menjadi yang terbaik. Seorang wanita bertanya kepada saya sama ada dia harus tunduk pada suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Dia berkata, "Nampaknya tidak adil." Dia betul. Tidak adil. Walaupun begitu, kedua-dua pasangan tidak harus menunggu untuk melihat siapa yang akan mengambil inisiatif membaiki keadaan dan menjadi orang yang lebih baik. Salah seorang harus memilih untuk melayani yang satu lagi dalam cinta terlebih dahulu. Anda boleh bertegas bahawa anda betul, tetapi anda mungkin hanya akan berpegang teguh pada pendapat anda sahaja - dan bukan perkahwinan anda. Hidup ini penuh dengan pilihan. Kebijaksanaan adalah pintu masuk menuju kebahagiaan. Kita perlu ingat perkara-perkara ini dan membuat keputusan yang bijak seumur hidup - walaupun kita tidak begitu rela. Hak Cipta © 2006, Pam Farrel. Hak cipta terpelihara. Hak cipta antarabangsa terjamin. Digunakan dengan izin.

  • Kecurangan Suami

    Kecurangan boleh terjadi bila-bila masa dalam sebuah perkahwinan. Ada tiga tahap di mana kemungkinan ia akan terjadi. Tahap yang pertama adalah pada tahun pertama, ketika percintaan digantikan oleh tanggungjawab berat sebagai seorang suami. Tahap yang seterusnya ialah apabila di dalam kira-kira lima tahun setelah perkahwinan - apabila "kebaharuan" perkahwinan sudah menjadi pudar Kemudian muncul tahap yang ketiga. Tahap pertengahan hidup. Suami manjadi khuatir bahawa "hidupnya sudah berakhir" atau "dia ketinggalan sesuatu yang mengujakan," dan mempunyai keperluan untuk meningkatkan egonya. Ini akan mendorong seseorang untuk mengadakan hubungan sulit. Selalunya hubungan sulit tidak terancang. Hubungan yang tidak bersalah seperti hubungan antara wanita dan suami sahabat rapatnya, dapat berkembang menjadi hubungan sulit. Salah satu sebab hubungan sulit berlaku ialah kerana ada hubungan yang rapat dan kerap kali berlaku. Satu lagi sebab ialah terlalu keyakinan (overestimating) terhadap kemampuan mereka untuk menentang godaan. Mampukah seorang lelaki berasa bahagia apabila mendapati dirinya terlibat dalam hubungan luar nikah yang sukar diputuskan? Dia pasti akan mengalami pergolakan emosi. Apa yang boleh dilakukan oleh isteri untuk membantunya kembali kepadanya? Seorang suami mungkin mencari keselesaan dan keterujaan dalam pelukan wanita lain apabila perkahwinannya telah menjadi yang membosankan. Apakah perceraian adalah penyelesaian yang baik dalam situasi seperti itu? Haruskah seseorang meneruskan dengan perkahwinan itu hanya untuk kepentingan anak-anak? Bila kita mempertimbangan kesan buruk keluarga yang berpecah-belah terhadap anak-anak, saya berpendapat bahawa segala usaha harus dilakukan untuk menyelamatkan atau menghidupkan kembali perkahwinan, demi suami dan isteri dan juga anak-anak. Kos emosionalnya terlalu tinggi bagi semua anggota keluarga apabila suatu perkahwinan terputus. Perkataan Cina untuk kedamaian menggambarkan sebuah "bumbung dengan wanita di bawahnya." Terdapat banyak hikmah di dalamnya. Marilah kita ambil perhatian bahawa seorang wanita di bawah satu bumbung adalah kedamaian. Lebih daripada seorang wanita di bawah bumbung yang sama akan menimbulkan masalah. Soal-jawab #1: Soalan : Adakah anda merasakan ada semacam "kebutaan" yang boleh terjadi ketika mangsa hubungan sulit menafikan kebenaran? Saya seolah-olah mengalami ini ketika suami saya mengadakan hubungan sulit dengan sahabat terbaik saya. Hubungan sulit itu berlaku selama dua tahun sebelum saya dapat mengakuinya kepada diri sendiri. Tetapi mengapa saya menafikan kebenaran? Mengapa mangsa “memilih” untuk menjadi buta? Jawaban : Proses psikologi itu disebut penafian, dan ini terjadi untuk melindungi minda daripada fikiran atau kenyataan yang tidak dapat diterima. Setelah seseorang mengakui kepada diri sendiri bahawa pasangan yang dikasihi telah berlaku curang, maka dia terpaksa menangani keadaan itu. Pengalaman yang sangat menyakitkan yakni kesedihan, kegelisahan, dan insomnia tidak dapat dielakkan setelah kebenaran itu dihadapi. Tambahan pula, orang yang tercedera takut bahawa konfrontasi dengan pasangan yang curang mungkin mendorong pasangan itu kepada pelukan kekasih baru. Memandangkan kebimbangan ini, orang itu secara sedar atau tidak sedar memilih untuk tidak perasan hubungan sulit itu dengan harapan ia akan berakhir dan dilupakan. Jelasnya, ada banyak motivasi bagi orang yang rentan untuk menafikan apa yang dilihat oleh matanya. Apabila bukti kecurangan menjadi terlalu jelas, seorang lelaki atau wanita kadang-kadang akan "meminta" pasangan yang bersalah untuk membantu penafian tersebut. Ini dilakukan dengan membuat tuduhan dengan harapan dapat dibuktikan salah. Contohnya, seorang isteri akan bertanya, "Adakah anda dan Donna sedang berpacaran?" "Tidak, saya telah berkata seribu kali bahawa tiada apa-apa yang berlaku," dia berbohong. "Tetapi di mana anda sampai jam 2.00 pagi malam semalam?" "Saya menghadapi masalah kereta. Sekarang, bolehkah anda berhenti mengganggu saya? " Isteri ini tahu cerita suaminya itu palsu, tetapi dia terus memintanya untuk berbohong kepadanya. Dan apa yang menarik di sini, dia tidak berasa perlu untuk "meniup wisel" terhadapnya sehingga dia mengakui penglibatannya ... yang mungkin tidak akan berlaku. Perjanjian diam-diam ini membantunya mengekalkan khayalan bahawa semuanya baik-baik saja dan menyediakan persekitaran yang memungkinkan suami boleh berfoya-foya dengan wanita lain. Penafian mempunyai banyak aplikasi dan kegunaan dalam pengalaman manusia. Ini akan memungkinkan seorang wanita untuk mengabaikan benjolan yang mencurigakan di payudaranya atau dadah di bilik tidur anaknya atau hutang keluarga yang sedang meningkat. Melalui proses ini, pikirannya dilindungi untuk sementara waktu, tetapi ini sering kali membiarkan musibah yang lebih besar berlaku dalam kehidupan kita. Soal-jawab #2: Soalan: Beberapa bulan yang lalu suami saya mengumumkan bahawa dia meninggalkan saya untuk wanita lain. Sejak itu, dia kerap berpacaran dengannya, tetapi dia tidak meninggalkan rumah dan kelihatan seperti kebingungan. Dia kehilangan lima belas paun dan kelihatan teruk. Apa yang anda fikir sedang berlaku di fikirannya? Dia tidak mahu bercakap dengan saya tentang perasaannya, dan dia menjadi marah ketika saya bertanya kepadanya. Jawaban: Besar kemungkinan suami anda mengalami rasa bersalah dan konflik yang sering mengiringi perbuatan mementingkan diri dan berdosa seperti perbuatan curang. Terdapat suara kecil yang mengganggu kita pada saat-saat seperti itu, walaupun ada di antara kita yang belajar untuk menyekatnya. Walaupun kita mengabaikan kutukannya, hati nurani terus menusuk kita dan tidak akan membenarkan pelanggaran undang-undang moral tanpa pergelutan batin. Agak biasa untuk seseorang dalam situasi ini mengalami semacam perang dalaman yang hanya dapat diselesaikan dengan salah satu daripada tiga cara: 1. Hati nurani menang dan orang itu kembali ke kehidupan yang betul. 2. Orang itu memberi alasan kepada dirinya sehingga tingkah lakunya mula kelihatan "suci" dan "tidak bersalah". 3. Hati nurani menang tetapi orang itu tetap melakukan apa yang dia mahu. Orang dalam kategori ketiga, termasuk suami anda, boleh menjadi antara lelaki dan wanita yang paling sengsara di muka bumi ini. Tingkah laku mereka bertentangan dengan kod etika peribadi mereka, dan semua usaha untuk menyelaraskan kedua-duanya adalah sia-sia. Dalam kata lain, individu-individu ini berada dalam situasi konflik dengan hati nurani mereka. Bukan hanya gangguan psikologi tetapi juga penyakit fizikal mungkin timbul dari ketidakharmonian seperti itu! Seseorang yang mengalami konflik dalamannya sering mengalami kemurungan, penurunan berat badan, malam tanpa tidur, menggigit kuku, dan lain-lain. Pengalaman pahit ini sangat tidak selesa bagi individu yang sensitif. Sekiranya kami betul dalam penilaian pemikiran suami anda, anda boleh menjangkakan dia akan memberikan komitmen dengan cepat kepada anda atau kepada wanita lain. Adalah terlalu menyakitkan untuk tetap berada dalam keadaan serba salah antara yang baik dan yang jahat. Kami menasihati anda supaya mendapatkan nasihat profesional mengenai apakah ini adalah saat yang tepat untuk meminta suami anda membuat pilihan. Dengan beberapa fakta yang telah saya berikan, saya cenderung ke arah itu. Soal-jawab #3: Soalan : Perkahwinan saya kepada isteri saya merupakan perkara yang sangat tidak memuaskan bagi saya. Saya akan menceraikannya sekiranya bukan kerana keprihatinan saya terhadap tiga anak kami. Apa yang dinyatakan oleh kaji selidik mengenai kesan perceraian terhadap anak-anak? Jawapan : Buat masa ini kami tahu bahawa perkembangan emosi kanak-kanak secara langsung bergantung kepada kehadiran interaksi yang mesra, bersifat memelihara yang kekal dan berterusan dengan kedua ibu bapa. Apa-apa yang mengganggu hubungan penting dengan ibu atau bapa boleh membawa kesan yang berkekalan kepada anak. Satu kajian penting menunjukkan bahawa 90 peratus kanak-kanak dari keluarga yang berpecah mengalami perasaan kejutan yang hebat ketika perpisahan itu berlaku, termasuk kesedihan yang mendalam dan ketakutan yang tidak rasional. 50 peratus melaporkan perasaan ditolak dan ditinggalkan, dan sememangnya separuh daripada bapa tidak pernah datang berjumpa dengan anak-anak mereka tiga tahun selepas perceraian. Sepertiga lelaki dan perempuan khuatir akan ditinggalkan oleh ibu atau bapa yang satu lagi, dan 66 peratus mengalami kerinduan terhadap ibu bapa yang tidak hadir dengan intensiti yang digambarkan oleh penyelidikan sebagai sesuatu yang amat luar biasa. Paling ketara, 37 peratus kanak-kanak lebih tidak gembira dan tidak puas hati lima tahun selepas perceraian daripada jangka masa lapan belas bulan selepas perceraian tersebut. Dengan kata lain, masa tidak menyembuhkan luka mereka. Itulah maksud sebenar perceraian. Ini yang saya fikirkan dengan kemarahan yang beralasan kukuh, ketika saya melihat hubungan sulit dan tipu muslihat perkahwinan yang digambarkan di media sebagai semacam permainan menarik untuk dua orang. Pokoknya, anda harus mempertimbangkan kebajikan anak-anak anda dalam memutuskan sama ada mahu bercerai atau tidak. Walaupun hubungan perkahwinanmu tidak bermakna, kemungkinan, apa yang saya akan pilih ialah untuk meneruskannya. Artikel ini ditulis oleh Focus on the Family Malaysia dan Soalan dan Jawapan diambil dari "Panduan Rujukan Perkahwinan & Rumah Keluarga Lengkap" oleh Dr James Dobson dengan izin.

bottom of page