top of page

Apakah Kita Diberi Peluang yang Terdahulu atau yang Terakhir?

ree

“Sesungguhnya, ada orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan ada orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.” Lukas 13:30 AVB

 

Orang Yahudi terang-terang menolak Tuhan Yesus. Mereka enggan bertaubat dan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat hidup mereka. Oleh itu, mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam kerajaan Allah melalui Tuhan Yesus.

 

Walaupun mereka yang pertama-tama diberi keutamaan oleh Allah untuk masuk ke dalam kerajaan Allah, tetapi mereka berkepala batu dan berhati batu. Mereka tidak mahu percaya bahawa Yesuslah Penyelamat yang dijanjikan dan diutus oleh Allah. Hal ini bermakna bahawa mereka sendiri menolak untuk masuk ke dalam kerajaan Allah. Bagaimanapun, bangsa-bangsa lain, yang bukan orang Yahudi pula telah membuka hati untuk menerima pemberitaan Injil tentang Yesus. Oleh itu, mereka boleh masuk ke dalam kerajaan Allah.

 

Sikap orang Yahudi terhadap perkhabaran tentang Yesus telah menyebabkan pintu tertutup kepada mereka. Bukanlah Allah yang menutup pintu itu tetapi sikap degil mereka sendiri. Itulah sebabnya Yesus berkata kepada mereka bahawa orang yang sekarang direndahkan pada waktu itu akan ditinggikan. Demikian juga orang yang sekarang dimuliakan atau dihormati pada waktu itu akan dihina. Sekiranya mereka terus berkeras tidak mahu menerima Yesus ke dalam hidup mereka, penghakiman akan menantikan mereka.

 

Hal ini bermakna bahawa orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir. Dengan kata lain, dalam kerajaan Allah susunan status akan terbalik. Orang yang dianggap tidak penting, seperti orang bukan Yahudi akan mendapat tempat pertama atau istimewa manakala mereka yang dianggap pertama atau istimewa, seperti orang Yahudi tidak dibenarkan masuk. Apa yang penting sekali ialah respons dan ketaatan masing-masing terhadap Tuhan Yesus.

 

Apakah anda seorang yang diberi peluang yang terdahulu atau yang terakhir? Sebab pintu kerajaan Allah terbuka bagi setiap kita dengan syarat kita mahu bertaubat dan menerima Yesus  ke dalam hidup kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menerima aku seadanya. Walaupun aku seorang yang tidak layak untuk menerima anugerah penyelamatan-Mu tetapi atas kebaikan dan kasih kurnia-Mu terhadapku, Engkau menyambut aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page