Apakah yang Membuat Hati Kita Sangat Gembira?
- Komuniti Digital 05

- Oct 1
- 1 min read

“Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat.” Lukas 15:10 AVB
Apabila tamat ibarat tentang domba yang hilang, Tuhan Yesus mengisahkan ibarat yang kedua pula, “Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali. Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan sekeping wang yang hilang itu.’ ”
Satu keping wang perak lebih kurang sama nilai dengan upah sehari untuk seorang pekerja pada zaman itu. Besar kemungkinan sepuluh keping wang perak itu merupakan keseluruhan wang yang dimiliki oleh perempuan tersebut. Apabila perempuan itu mendapati dia kehilangan sekeping wang perak yang sangat penting dan bernilai kepadanya, dia bertindak segera untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.
Memang dapat dibayangkan betapa gembiranya perempuan itu setelah dia berjaya menjumpai wang peraknya yang hilang. Hatinya dipenuhi dengan sukacita yang besar sehingga dia ingin berkongsi kegembiraan tersebut dengan sahabat handai dan jiran tetangganya. Demikianlah juga keadaannya dalam kerajaan syurga apabila seorang yang berdosa bertaubat daripada dosanya dan kembali kepada Allah. Maka seluruh malaikat Allah akan bersukacita.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah yang membuat hati kita sangat gembira dalam hidup ini? Adakah hati kita gembira apabila kita berkongsi Injil dengan giat kepada orang di sekeliling kita supaya mereka turut mengenal Yesus Kristus dan mengakui Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka?
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu kerana menyelamatkan aku daripada hukuman dosaku. Atas belas kasihan dan kasih kurnia-Mu aku diampuni daripada dosaku dan diselamatkan untuk mendapat hidup kekal. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments