Benih Jatuh di Tempat Berbatu
- Komuniti Digital 05
- May 7
- 1 min read

'Ada pula yang jatuh di tempat berbatu, dan setelah bercambah, tumbuhan itu menjadi layu kerana kurangnya air. ' (Lukas 8:6) AVB
Yesus mengajar orang ramai dengan menggunakan perumpamaan tentang seorang petani yang menabur benih. Setelah itu, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang makna perumpamaan tersebut. Yesus pun menjelaskan bahawa "benih" itu merujuk kepada Firman Allah.
Golongan kedua yang mendengar Firman Tuhan ialah mereka yang menerimanya dengan sukacita. Namun, Firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka hanya percaya untuk sementara waktu, dan apabila ujian datang melanda hidup mereka, mereka segera berubah dan tidak lagi mempercayai Firman Tuhan itu.
Golongan ini digambarkan seperti “benih yang jatuh di tempat berbatu”, di mana benih itu segera bertunas, tetapi tidak lama kemudian layu kerana tanah tempat jatuhnya itu berbatu. Tanah yang berbatu menjadi kering dengan cepat, menyebabkan tanaman itu layu — hidupnya hanya sementara.
Adakah hati kita seperti "tempat yang berbatu", di mana benih yang ditabur hanya tumbuh sementara dan tidak berakar? Apabila pencobaan datang menerpa hidup kita, adakah kita segera kehilangan keyakinan kepada Tuhan?
Oleh itu, marilah kita berdoa agar Tuhan mengubah hati kita menjadi seperti tanah yang subur, supaya kita dapat bertahan hingga ke akhir hayat.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon agar Engkau mengubah dan membentuk hatiku menjadi hati yang sentiasa rindu dan haus akan Firman-Mu, agar aku terus berakar di dalam-Mu. Ajar aku untuk terus mengasihi Firman-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie
Comments