Berdalih Memberikan Jawapan
- 3 days ago
- 2 min read

Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan!” Lukas 22:60 AVB
Sewaktu Petrus berada di halaman rumah Imam Besar Kayafas, dia ditemui oleh beberapa orang yang mengenal dirinya sebagai salah seorang pengikut Yesus. Dengan serta-merta Petrus menjadi cemas dan takut terhadap dakwaan mereka mengenai identiti dirinya.
Buat kali pertama, seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdiang memanaskan tubuhnya berdekatan dengan api unggun. Dia memandang kepada Petrus dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Akan tetapi, Petrus menyangkal katanya di hadapan mereka semua, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia! Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.”
Kali kedua berlaku sejurus selepas itu. Seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu. Orang ini pun bersama Yesus orang Nazaret.” Bagaimanapun, Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, “Bukan, aku bukan! Aku tak kenal orang itu!”
Kali ketiga kira-kira sejam kemudian. Seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.” Sebaliknya, Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan. Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!”
Petrus telah menyangkal Yesus sebanyak tiga kali dengan berdalih memberikan jawapan kepada tiga orang yang berbeza. Sebenarnya, mereka membuat dakwaan atau tuduhan yang sama bahawa dia salah seorang yang bersama dengan Yesus. Akan tetapi, dia mengemukakan jawapan yang berupa dalih. Berdasarkan jawapan Petrus, kita dapat membuat kesimpulan bahawa dia seorang pembohong dan yang berpura-pura terhadap dirinya. Penyangkalan Petrus memperlihatkan kelemahan dan ketakutannya apabila menghadapi ancaman dan bahaya. Ini juga satu peringatan supaya tidak terlalu yakin pada kekuatan diri sendiri.
Bagaimanakah dengan diri kita apabila orang bertanya tentang iman kita kepada Tuhan Yesus? Adakah kita akan memberikan jawapan yang berupa dalih mengikut masa dan keadaan? Marilah kita terus berpaut pada satu jawapan murni tentang iman kita. Biarlah pada setiap masa kita dapat berkata-kata dengan gagah berani sehingga kita akan terus memuliakan Tuhan Yesus Kristus dengan segenap jiwa raga kita.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, ampunilah aku sekiranya imanku goyah dan aku tergoda untuk tidak memuliakan-Mu. Bimbinglah aku agar terus berpegang teguh pada-Mu sebagai Penyelamat dan Tuhanku sepanjang hidup. Dalam nama-Mu yang maha kuasa aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments