top of page

Petrus Menyangkal Yesus

  • 4 days ago
  • 2 min read

Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Lukas 22:56 AVB

 

Setelah ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua datang menangkap dan mengikat Yesus, mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mentua Kayafas dan mantan imam besar yang masih sangat berpengaruh dalam kalangan orang Yahudi. Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah Kayafas yang bertugas sebagai imam besar pada tahun itu. Kayafaslah yang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati untuk seluruh bangsa 

 

Di rumah Kayafas, ahli Taurat dan tua-tua telah berhimpun. Mereka bertekad untuk mencari kesaksian terhadap Yesus supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Akan tetapi, mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil. Semua kesaksian mereka saling bercanggah.

 

Sementara itu, Petrus mengikut dari jauh sehingga sampai ke halaman rumah Imam Besar Kayafas, lalu masuk dan duduk dalam kalangan hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara. Oleh sebab pada waktu malam itu udara sangat sejuk, mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk berdiang di sekeliling. Petrus juga duduk berdiang antara mereka. Apabila salah seorang hamba perempuan nampak Petrus duduk berdiang memanaskan tubuhnya berdekatan dengan api unggun itu, dia memandang kepada Petrus lalu berkata, “Kamu juga bersama Yesus orang Nazaret.” 

 

Petrus menafikan kata-kata hamba perempuan itu dengan menyangkal di hadapan mereka semua, “Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan itu.” Dengan kata lain, dia memberitahu hamba perempuan itu bahawa dia tidak mengenal Yesus. Takut ditangkap dan takut mati merupakan sebab Petrus tidak berani mengaku bahawa dia mengenal Yesus. Dia sudah lupa bahawa beberapa jam sebelum itu dia berkata dengan tegas kepada Yesus, “Tuhan, kalaupun semua yang lain goyah, aku tidak akan goyah. Aku sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.”

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita juga takut atau malu untuk mengaku bahawa kita mengenal Yesus dalam hidup ini? Lalu kita menyangkal Yesus dalam tutur kata dan tingkah laku kita pada hari ini. Jika kita mengikut Yesus, kita haruslah menyangkal diri kita demi-Nya dan bukanlah menyangkal-Nya pula demi kepentingan diri kita.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang menyerah seluruh hidupku ke dalam tangan-Mu. Ajarlah aku untuk tetap berani mengaku bahawa Engkaulah Tuhan dan Penyelamat hidupku. Dalam nama-Mu yang agung aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page