Hadapilah Segala Perkara dengan Tenang
- 17 hours ago
- 2 min read

Orang yang mengawal Yesus mengejek dan memukul Dia. Lukas 22:63 AVB
Tuhan Yesus ditangkap oleh sepasukan askar dengan sebilangan pegawai, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua. Orang yang mengawal Yesus mengambil kesempatan untuk menganiayai dan mempermainkan-Nya. Lalu mereka mengejek dan memukul Yesus, menutupi mata-Nya dan bertanya, "Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!” Sebab orang ramai selama ini sentiasa mengatakan banyak perkara yang luar biasa tentang Yesus. Oleh itu, mereka mahu mendengar Yesus memperkatakan hal-hal yang dirahsiakan atau melakukan sesuatu yang menakjubkan.
Mereka meluahkan caci cerca dan maki hamun untuk menghina Yesus. Selain itu, sesetengah mereka mulai meludahi dan menampar-Nya. Mereka langsung tidak mahu membiarkan Yesus berasa tenang atau beristirahat untuk seketika waktu. Maka mereka terus-menerus memperolok-olokkan diri-Nya. Secara jasmani Yesus belum lagi beristirahat kerana semalam-malaman Dia telah meluangkan masa untuk berdoa. Setelah itu, Dia ditangkap. Mereka tidak mempedulikan kebajikan Yesus agar Dia ada masa untuk mempersiapkan diri-Nya bagi menghadapi pengadilan di mahkamah. Mereka mahu menjadikan Yesus sebagai bahan jenaka mereka. Kesengsaraan dan penderitaan Yesus menjadi hiburan mereka.
Walaupun Yesus diperlakukan dengan teruk sekali, namun Dia tidak melawan mereka. Apabila Dia dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil. Dia tetap menerima segala-galanya dengan hati yang terbuka tanpa membalas olokan dan ejekan mereka. Sebab Yesus tahu akan tujuan Dia berada di dunia ini. Jadi, Dia tenang menghadapi semuanya.
Apabila kita mengikut Tuhan Yesus, pasti dunia akan membenci diri kita. Bukan kerana kita melakukan sesuatu kejahatan tetapi kerana kita berdiri di atas kebenaran firman Allah dengan menolak kejahatan dan mentaati perintah Allah. Apabila kita taat setia kepada Allah dan berbuat baik lalu menderita, maka kita terpuji di mata Allah jika kita menerimanya dengan sabar. Justeru inilah kita telah dipanggil, kerana Kristus juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, berilah aku damai sejahtera dan iman yang tidak berbelah bahagi sewaktu aku menghadapi pelbagai ejekan dan cacian yang dilontarkan oleh mereka yang tidak mempercayai serta mengasihi-Mu. Ampunkanlah kesalahan mereka. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments