Berdoa Supaya Tidak Tergoda
- Komuniti Digital 05

- 16 hours ago
- 2 min read

Sesampainya ke tempat itu, Dia (Yesus) berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” Lukas 22:40 AVB
Selepas itu, Tuhan Yesus meninggalkan kota Yerusalem lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama-sama. Sesampainya di sebuah taman di Bukit Zaitun, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.”
Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. Bagaimanapun, sebelum Dia beredar daripada mereka, Dia berkata, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.” Dalam masa yang terdekat mereka akan menghadapi satu ujian besar kerana segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Yesus akan berlaku. Yesus akan ditangkap dan diserahkan ke tangan bangsa asing. Dia akan diejek dan dimaki serta diludahi orang. Dia akan disebat dan disalib.
Disebabkan hal yang bakal terjadi kepada Yesus dan juga cubaan serta godaan yang akan dialami murid-murid-Nya, maka Yesus menggesa mereka untuk berdoa. Yesus menyuruh mereka untuk mendoakan kekuatan agar mereka akan menang mengatasi cubaan dan godaan. Mereka tidak berdoa untuk menjauhkan diri daripada cubaan itu tetapi mereka akan bergantung sepenuhnya pada kuasa Allah, bukannya diri sendiri.
Ujian yang sangat berat yang bakal dihadapi mereka dapat menyebabkan mereka tergoda untuk meninggalkan Yesus Kristus. Cubaan ini tidak dapat dihindari mereka daripada terjadi. Mereka harus tidak menyerah kalah dan melarikan diri, tetapi rela melakukan kehendak-Nya. Oleh itu, mereka harus menggagahkan diri untuk menghadapinya dengan berdoa kepada Allah. Doa mereka kepada Allah akan menolong mereka untuk tidak bertindak mengikut emosi mereka atau berbuat dosa.
Begitu juga dengan kita pada hari ini. Kita hendaklah sentiasa mendoakan kasih kurnia, kekuatan dan perlindungan daripada Allah agar kita akan berwaspada dan tidak terkandas dalam ujian rohani semasa ditimpa penderitaan, ketakutan atau kesedihan. Jika Tuhan Yesus sebagai Anak Allah pun berdoa bersungguh-sungguh kepada Bapa-Nya, apatah lagi kita. Jadikanlah doa sebagai satu tabiat kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, berilah aku jiwa yang sentiasa ingin berdoa.Dalam segala perkara ajarlah aku untuk berdoa kepada-Mu. Dengan doa, maka aku mendapat kekuatan untuk mengatasi segala cabaran, godaan dan cubaan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments