top of page

Bergantung Sepenuhnya Pada Pemeliharaan Allah

Yesus berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Satu pun tidak.” Lukas 23:35 AVB

 

Yesus sekali lagi memperingatkan murid-murid-Nya tentang apa yang telah dialami mereka sejak mereka mengikut-Nya dalam pelayanan. Dia bertanya kepada mereka sama ada mereka pernah mengalami kekurangan apa-apa sewaktu Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan kerajaan Allah dari kampung ke kampung dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut.

 

Selama ini mereka mengakui bahawa mereka telah menjadi pelayan-pelayan-Nya yang baik lagi sangat setia. Oleh itu, Dia berharap agar setiap murid-Nya akan tetap taat setia kepada-Nya, walaupun mereka akan berpisah daripada-Nya dalam masa yang semakin dekat. Sebab apa yang tersurat dalam Alkitab mesti berlaku kepada diri-Nya.

 

Berdasarkan pengalaman mereka selama ini bersama-sama-Nya, Dia merupakan Guru yang baik, berwibawa dan penuh perhatian terhadap diri mereka semenjak mereka membuat keputusan untuk mengikut-Nya. Selain itu, mereka juga mengalami banyak perkara yang luar biasa, terutamanya sewaktu Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan Berita Baik tanpa membawa dompet, beg, atau kasut. Yang mengagumkan ialah mereka tidak kekurangan apa-apa pun.

 

Dengan itu, mereka telah belajar untuk bergantung sepenuhnya pada pemeliharaan Allah dalam segala perkara yang diperlukan mereka. Sesungguhnya, Tuhan Yesus tidak pernah menghampakan mereka dari segi keperluan mereka. Demikian jugalah dengan diri kita pada hari ini. Kita harus belajar untuk bergantung sepenuhnya pada pemeliharaan Allah untuk segala perkara dalam hidup kita. Sudah pasti Allah tahu bagaimana menyediakan segala keperluan kita dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan seluruh hidupku kepada pemeliharaan-Mu. Dalam-Mu aku tidak akan kekurangan apa-apa pun. Dalam-Mu aku akan aman, sejahtera dan bersukacita. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page