Bersedia Melakukan Kehendak Tuannya
- Komuniti Digital 05
- Aug 18
- 1 min read

“Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk.” Lukas 12:47 AVB
Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada hamba yang mengetahui kehendak tuannya, namun tidak bersedia dan tidak melakukannya seperti yang diinginkan tuannya. Akibatnya, hamba itu akan disebat dengan teruk.
Kata-kata Yesus itu bermaksud bahawa hukuman yang akan dijatuhkan kepada hamba yang melakukan dosa berdasarkan sama ada dosa tersebut dilakukan secara tidak sengaja ataupun secara sengaja. Dengan kata lain, hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan lebih ringan. Akan tetapi, hamba yang mengetahui apa yang patut dilakukan tetapi gagal berbuat demikian akan dijatuhi hukuman yang lebih teruk.
Oleh itu, janganlah kita bersikap seperti hamba yang mengetahui kehendak tuannya, tetapi tidak bersedia untuk melakukannya. Lebih-lebih lagi, dia ingkar dan mengikut kehendak sendiri. Kita akan dihukum atas sikap kita yang sengaja tidak mahu mentaati apa yang dikehendaki oleh Allah sebagai Tuhan hidup kita.
Betapa pentingnya kita mengetahui kewajiban kita di hadapan Allah pada hari ini. Kita perlu mengenal kehendak-Nya bagi diri kita agar kita diberkati Allah selain tidak dihukum lebih berat atas keingkaran kita. Sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengenal kehendak-Mu bagi diriku agar dalam semua tindakanku nama-Mu tetap dimuliakan. Berilah aku kekuatan untuk mengutamakan kehendak-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
コメント