top of page

Berusaha Mendapatkan Segala Yang Di Hadapan

  • Mar 25
  • 2 min read

Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, ... Filipi 3:13 AVB


Paulus berazam mengenal Tuhan Yesus dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan Yesus serta menjadi seperti-Nya dalam kematian-Nya supaya pada akhirnya dia dapat mencapai kebangkitan daripada kematian. Bagaimanapun, Paulus membuat pengakuan jujur bahawa dia belum lagi berjaya mencapainya atau telah disempurnakan. Oleh itu, satu perkara yang dilakukan dalam hidupnya adalah dengan melupakan segala perkara yang di belakangnya, lalu terus berusaha dengan sekuat tenaganya untuk mencapai matlamat yang ada di hadapannya.


Apakah yang dimaksudkan Paulus dengan “melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan”? Paulus merujuk kepada ganjaran yang disediakan oleh Allah kepadanya setelah dia mengakhiri perlumbanan rohaninya dengan baik. Di sini Paulus tidak bermaksud bahawa dia meluputkan kenangan masa lampau tetapi dia tidak membiarkan segala yang di belakang menuntut tumpuannya dan membantutkan kemajuannya sebagai hamba Allah.


Tidak dinafikan bahawa hidup ini merupakan satu perlumbaan rohani yang harus kita ikuti. Maklumlah, dalam sebuah perlumbaan pasti ada ganjaran bagi mereka yang mengakhiri perlumbaan itu dengan baik. Itulah sebabnya Paulus berkata kepada orang percaya di Efesus bahawa dia hanya memusatkan seluruh pandangan matanya di hadapan. Dia gigih berlari ke arah matlamat untuk memperoleh ganjaran, iaitu panggilan syurgawi daripada Allah dalam Kristus Yesus.


Pada hakikatnya, sewaktu Paulus bertungkus lumus untuk mencapai matlamat itu, pasti dia telah menanggung banyak penganiayaan dan penderitaan. Dia kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut. Dalam perjalanan, sering kali dia menghadapi pelbagai bahaya. Dia juga sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Namun begitu, dia melatih dirinya untuk melupakan apa-apa sahaja yang di belakang dan mengarahkan seluruh jiwa raganya kepada apa yang di hadapannya.


Sesungguhnya, setiap keberhasilan dalam hidup ini bukan ditentukan oleh perkara-perkara yang lalu, tetapi bagaimana kita mengakhiri perlumbaan rohani kita. Sebab ganjaran hanya diterima apabila seseorang itu mengakhiri perlumbaannya dengan baik. Marilah kita terus berusaha sedaya upaya tanpa mengenal jerih lelah dan rugi dalam semua yang kita lakukan bagi Allah. Hendaklah kita terus-menerus berlari ke hadapan sehingga kita menujui matlamat dan memperoleh ganjaran yang dikurniakan Allah bagi kita.


Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang memohon kekuatan daripada-Mu agar aku akan terus memandang ke hadapan walaupun aku banyak kali gagal dalam perlumbaan hidup ini. Biarlah aku semakin mengenal-Mu dan kuasa kebangkitan-Mu supaya hidup rohaniku semakin matang serta sentiasa memuliakan nama-Mu. Dalam nama-Mu, ya Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page