Berusahalah Memasuki Pintu yang Sempit
- Komuniti Digital 05

- Sep 6
- 1 min read

“Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.” Lukas 13:24 AVB
Dalam perjalanan ke Yerusalem, Tuhan Yesus melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar. Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?” Orang itu bertanya kepada Tuhan Yesus kerana dia hanya ingin menguji-Nya untuk mengetahui bilangan orang yang akan diselamatkan dan bukan secara peribadi betul-betul mahu dirinya diselamatkan.
Oleh itu, Yesus menjawab pertanyaan orang itu dengan berkata, “Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.” Yesus berkata sedemikian kerana terlalu banyak orang yang berusaha memasuki kerajaan Allah, tetapi mereka gagal berbuat demikian kerana mahu mengikut jalan sendiri dan enggan mengikut jalan Allah.
Sebab seorang yang ingin masuk ke dalam kerajaan Allah harus melalui pintu yang sempit, iaitu dia harus mengalami perubahan sepenuhnya secara dalaman sehinggalah dia dilahirkan semula untuk menjadi ciptaan baharu.
Jalan yang sempit ini merujuk kepada penyangkalan diri seseorang terhadap hal-hal yang diinginkannya untuk memuaskan sifat tabiinya. Oleh itu, seseorang itu dituntut untuk mengetepikan kepentingan peribadinya dan mengutamakan kehendak Allah dalam hidupnya.
Persoalan yang penting ialah sama ada kita mahu masuk ke dalam kerajaan Allah saat ini. Marilah kita percaya dan beriman kepada Tuhan Yesus, bertaubat daripada dosa kita demi menerima pengampunan serta sentiasa hidup berpegang teguh pada n firman Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus mengutamakan Engkau dalam hidupku dengan menyerahkan segala keinginanku kepada-Mu dan mentaati kehendak-Mu bagiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments