top of page

Bezakan Dirimu Daripada Orang Jahat

ree

'Mereka bertanya kepada Yesus, “Di manakah, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Di mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar.”' (Lukas 17:37) AVB


Apabila para pengikut Yesus mendengar tentang apa yang akan terjadi pada hari kedatangan-Nya iaitu masa penghakiman dan penghancuran dunia ini, mereka bertanya kepada-Nya, “…di manakah orang-orang yang diselamatkan akan dibawa, dan di manakah orang-orang yang ditinggalkan itu akan dibinasakan?”


Mereka sebenarnya ingin mengetahui ke mana orang yang diselamatkan akan dibawa, dan di mana pula mereka yang tertinggal akan berada. Hal ini kerana pada ketika itu mereka masih belum memahami sepenuhnya apa yang Yesus katakan kepada mereka.


Oleh itu, Yesus memberikan mereka sebuah perumpamaan untuk menjelaskan dan menjawab pertanyaan tersebut. Dia berkata, “Di tempat ada bangkai, di situ ada burung pemakan bangkai.” Dengan kata lain, “Di mana ada mayat, di situlah burung-burung pemakan bangkai akan berkerumun.”


Hal ini bermaksud bahawa di mana orang jahat berada, di situlah mereka akan menemui kebinasaan dan penghakiman Allah, sebagaimana burung-burung pemakan bangkai tertarik kepada bau bangkai dan datang memakan mangsanya. Demikian juga bangsa Yahudi telah menjadikan diri mereka seperti bangkai mati yang busuk dan menjijikkan di hadapan kekudusan Allah, kerana menentang keadilan-Nya. Akibatnya, mereka telah mengundang penghakiman Allah atas diri mereka, seperti burung-burung pemakan bangkai datang memakan mayat.


Oleh itu, bezakan dan asingkanlah diri kita daripada golongan orang jahat supaya mereka tidak mempengaruhi kehidupan kita, kerana penghakiman Allah akan datang ke atas orang jahat, sedangkan anugerah keselamatan akan diberikan kepada mereka yang percaya kepada-Nya.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk hidup berbeza daripada orang dunia ini, supaya hidupku sentiasa memuliakan nama-Mu. Engkaulah Tuhan yang suci, yang membenci kejahatan dan menginginkan kesucian. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page