top of page

Biarlah Injil-Mu Hidup dalam Hatiku

ree

“Kerajaan Allah seumpama ragi yang diambil seorang perempuan dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga seluruh adunannya naik.” Lukas 13:21 AVB

 

Yesus berkata kepada orang ramai bahawa kerajaan Allah sangat berbeza daripada kerajaan dunia ini. Sebab kerajaan Allah tidak menggunakan kuasa tentera untuk menundukkan bangsa-bangsa atau menggunakan kuasa lahiriah untuk mengalahkan pasukan tentera. Akan tetapi, kerajaan Allah bertindak seperti ragi, dengan diam-diam dan tanpa kita sedari, tanpa paksaan atau kekerasan untuk mengerjakan sesuatu.

 

Kerajaan Allah terjadi dengan cara yang amat sederhana, seperti ragi yang dicampurkan oleh seorang perempuan ke dalam beberapa sukat tepung.  Walaupun sedikit sahaja ragi   dicampurkan dengan tepung yang sangat banyak, namun adunan itu akan naik atau mengembang beberapa kali ganda untuk dibakar menjadi roti.

 

Demikianlah permulaan kerajaan Allah yang kelihatan sangat kecil, namun kemudian ia akan menghasilkan sesuatu yang sangat besar dalam hidup manusia. Sebagaimana ragi yang hanya sedikit  bekerja secara diam-diam dari dalam tepung, kerajaan Allah juga akan makin hari makin besar, tersebar luas ke serata bumi dan mengubah hati nuraini manusia secara diam-diam dari dalam dengan penuh kuasa.

 

Ajaran Tuhan Yesus  yang mula-mula disampaikan oleh sejumlah murid yang kecil bilangannya akan tersebar dengan sangat ajaib ke seluruh dunia kepada bilangan orang yang tidak terkira ramainya. Kerajaan Allah akan sentiasa menang dengan membawa keharuman pengenalan Tuhan Yesus di mana-mana jua dengan cara yang tidak dapat difahami, melebihi apa yang dapat diharapkan dan difikirkan.

 

Oleh itu, marilah kita berserah hanya kepada Tuhan Yesus dengan menerima Injil ke dalam hidup kita. Biarlah Injil bekerja dalam hati kita. Injil itu pasti akan melakukan perkara-perkara ajaib, dan mengubah jiwa manusia sehingga menjadi milik Tuhan. Pastilah bahawa Injil itu akan perlahan-lahan mengubah kita dan terserlah dalam hidup kita demi kemuliaan Allah.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, ajarlah aku untuk membiarkan Injil-Mu menguasai hidupku dan mengubah hidupku. Biarlah keharuman Injil-Mu itu akan terus hidup dalam hatiku  sehingga membawa orang lain percaya kepada-Mu. Dalam nama-Mu yang mulia aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page