Biarlah Kehendak Allah Yang Dilaksanakan
- Komuniti Digital 05

- 8 hours ago
- 1 min read

“Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” Lukas 22:42 AVB
Sesampai Tuhan Yesus dan para murid-Nya di sebuah taman di Bukit Zaitun itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.”
Apakah yang dimaksudkan Yesus dengan “cawan penderitaan”? Cawan penderitaan ini merujuk kepada penderitaan, penyangkalan, kematian dan murka Allah yang harus ditanggung Yesus bagi penebusan serta penyelamatan umat manusia. Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Jiwa Yesus sangat resah dan dukacita kerana kematian-Nya di kayu salib nanti bererti perpisahan daripada Allah Bapa.
Yesus tahu bahawa Dia harus menderita dan mati di atas kayu salib untuk penebusan dosa umat manusia, sebagaimana yang tersurat dalam Kitab Suci. Yesus menyerahkan seluruh diri-Nya kepada Allah Bapa. Dia mentaati kehendak Allah Bapa yang bererti bahawa Dia harus meminum cawan penderitaan yang betapa pahit sekali pun.
Dengan itu, Yesus berdoa kepada Allah Bapa agar cawan penderitaan itu dijauhkan daripada diri-Nya tetapi janganlah kehendak diri-Nya yang dilaksanakan, melainkan kehendak Bapa sahaja yang dilaksanakan dalam diri-Nya. Yesus tunduk kepada rancangan Allah Bapa dengan meminum cawan penderitaan yang diberikan kepada-Nya oleh Allah Bapa.
Sesungguhnya, Yesus dalam keadaan sebagai manusia, telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian di salib. Itulah sebabnya Allah Bapa sangat meninggikan-Nya dan menganugerahkan nama yang di atas segala nama kepada-Nya. Marilah kita mentaati kehendak Allah bagi hidup kita demi kemuliaan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Ajarlah aku untuk mentaati perintah dan kehendak-Mu dalam segala yang aku lakukan sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments