top of page

Bijak Menggunakan Kekayaan Dunia

ree

“Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal.” Lukas 16:9 AVB

 

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya melalui ibarat ini agar mereka bijak menggunakan segala kekayaan dunia ini untuk mengikat tali persahabatan supaya apabila kekayaan mereka itu lenyap,  mereka akan diterima ke tempat kediaman yang abadi.

 

Pengurus yang tidak jujur ini dipuji oleh tuannya, bukanlah kerana penipuannya tetapi kerana dia tahu bagaimana menggunakan kekayaan dunia dengan cerdik bagi dirinya sendiri. Dia tidak dapat mengubah perbuatan silamnya tetapi dia dapat membuat persediaan untuk masa depannya. Secara cerdik pengurus itu memanfaatkan peluang yang ada dengan melakukan apa yang dianggapnya dapat menjamin masa depannya. Dia mempergunakan milik tuannya untuk memastikan semua penghutang tuannya akan menjadi sahabat-sahabatnya kelak.

 

Janganlah kita sangka pula bahawa Tuhan Yesus turut memuji pengurus yang tidak jujur dalam ibarat-Nya. Bagaimanapun, apa yang dilakukan pengurus itu terhadap orang yang berhutang kepada tuannya merupakan contoh bagaimana orang di dunia ini lebih cerdik menguruskan pekerjaan mereka daripada orang yang hidup dalam cahaya. Demikian juga kita yang hidup dalam cahaya haruslah bijaksana menggunakan segala sumber yang kita miliki di dunia ini.  

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita  menggunakan sumber kewangan kita dengan sebaik-baiknya? Kita perlu bermurah hati untuk memberkati orang lain dan melabur wang yang kita miliki pada hari ini untuk memenangi hati sahabat supaya mereka dapat memasuki kerajaan Allah. Sebab hidup dan semua harta benda kita  merupakan milik Allah  dan wajarlah kita labur dengan penuh kebijaksanaan demi kemuliaan-Nya .

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, bimbinglah aku untuk menggunakan segala yang aku miliki hari ini dengan sebaik-baiknya. Jauhkanlah diriku daripada pengaruh-pengaruh yang tidak baik bagi masa depanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page