Binalah Kekuatan Kita Dalam Tuhan
- 2 days ago
- 2 min read

Akhir kata, saudara-saudaraku, hendaklah kamu kuat dalam Tuhan dan dalam kekuatan kuasa-Nya. Efesus 6:10 AVB
Paulus mengingatkan jemaah di Efesus bahawa ada kuasa-kuasa yang tidak kelihatan yang berusaha untuk merosakkan kesatuan antara umat yang percaya kepada Yesus dengan menyelewengkan kesetiaan dan kesucian mereka. Kuasa-kuasa yang tidak kelihatan ini ialah roh-roh jahat dan penguasa jahat di udara yang sangat berkuasa dan penuh licik dengan tipu muslihat.
Manusia memang tidak mampu untuk melawannya. Dengan itu, Paulus mengajak jemaah di Efesus untuk membina kekuatan mereka dengan menerima kekuatan kuasa Allah. Sebab, mereka bukanlah berlawan dengan darah dan daging , tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di udara.
Betapa pentingnya mereka perlu membina seluruh kekuatan mereka dengan terus bersandar sepenuhnya pada kuasa Allah yang menakjubkan untuk menolong diri mereka menghadapi serangan roh jahat. Sebenarnya, kemenangan adalah terjamin tetapi perlu dicapai melalui perjuangan atau pertempuran. Semua sumber yang diperlukan oleh umat Allah diperoleh daripada Tuhan Yesus dan kekuatan kuasa-Nya.
Tanpa campur tangan dan pertolongan kuasa Allah dalam hidup seseorang, dia pasti tidak akan dapat bertahan. Sebab kekuatan manusiawi kita adalah rapuh dan terbatas. Janganlah bersandar pada kekuatan manusiawi kita itu. Sebaliknya, marilah kita membina seluruh kekuatan kita dengan menerima kekuatan kuasa Allah kerana kita sudah hidup bersatu dengan-Nya. Hanya dengan kekuatan daripada Allah, segala serangan roh jahat dapat kita patahkan kerana yang berpihak bagi kita ialah Allah Yang Maha Kuasa.
Marilah kita memakai selengkap senjata Allah supaya kita dapat bertahan terhadap tipu daya iblis yang jahat. Dengan memakai segala perlengkapan senjata Allah sahaja, maka kita dapat bertahan pada masa yang penuh kejahatan, dan berdiri tegap setelah kita melakukan segalanya. Dengan kata lain, berdirilah dengan tegap setelah mengikat pinggang kita dengan tali pinggang kebenaran, memakai perbenaran sebagai perisai dada, menyarungkan ke kaki kita persediaan menyebarkan Injil perdamaian. Yang paling utama, kita memakai perisai iman, untuk memadamkan segala anak panah berapi si durjana, dan ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, terima kasih kerana sentiasa memberikan kekuatan dan memampukan aku untuk terus bertahan dalam segala cabaran yang aku lalui dalam hidup ini. Tolonglah aku memakai selengkap senjata-Mu supaya aku mampu untuk bertahan. Dalam nama-Mu yang maha berkuasa, ya Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments