Kebenaran-Nya Akan Membebaskan Kita
- 1 day ago
- 2 min read

“Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.” Yohanes 8:32 AVB
Tuhan Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya bahawa kalau mereka mengikut ajaran-Nya, merekalah murid-Nya yang sejati. Dia mengajar mereka tentang "kebebasan". Pengajaran-Nya ini ditujukan khusus kepada orang Yahudi yang sudah percaya kepada-Nya. Merekalah orang Yahudi yang sudah terbiasa dengan peraturan-peraturan ketat untuk menunaikan kehendak agama mereka.
Yesus menekankan kebebasan yang berkaitan dengan kemerdekaan jiwa raga daripada belenggu dan akibat dosa yang mengikat diri mereka. Oleh sebab mereka sudah percaya kepada kebenaran-Nya dan beriman kepada-Nya dengan sungguh-sungguh, maka mereka akan memperoleh kebebasan yang sejati, iaitu mereka tidak lagi dihakimi atas dosa mereka tetapi dicelikkan daripada kebutaan rohani.
Namun demikian, ajaran Yesus ini telah mengelirukan pengertian mereka tentang kebebasan yang dimaksudkan-Nya. Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah diperhamba. Apakah maksud kata-kata-Mu, ‘Kamu akan dibebaskan’?” Dalam pemikiran mereka, mereka tidak perlu dibebaskan kerana mereka merupakan keturunan Abraham dan tidak menjadi hamba kepada sesiapa. Maka mereka berfikir bahawa mereka ialah orang yang bebas.
Itulah sebabnya mereka bertanya kepada Yesus tentang maksud “kebebasan” itu. Jadi, Yesus berkata kepada mereka bahawa sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa. Mereka tidak sedar bahawa mereka sesungguhnya memerlukan Allah untuk membebaskan mereka supaya mereka akan bebas sepenuhnya.
Tegasnya, sekiranya seseorang itu betul-betul mahu mengalami kebebasan yang sejati daripada belenggu dosa yang mengongkong dirinya, dia harus menerima ajaran Yesus dalam hidupnya dan setia melakukannya. Sebab kebenaran itulah yang akan memberikan pembebasan kepada dirinya daripada segala cengkaman dosa. Seorang murid Yesus yang sejati akan bersungguh-sungguh mengikut dan mentaati seluruh ajaran-Nya. Dengan demikian, barulah dia boleh mengenal kebenaran-Nya untuk dibebaskan daripada menjadi hamba kepada dosa.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, segala pujian kepada-Mu kerana Engkaulah kebenaran. Terima kasih atas hadirat-Mu dalam hidupku. Terima kasih juga kerana aku mengenal kebenaran-Mu yang membebaskan aku daripada penghakiman dosa. Dalam nama-Mu, ya Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments