Bolehkah Saya Berhenti Dari LGBTQAI+?
- 2 days ago
- 2 min read

Mahu berhenti menjadi salah seorang yang terlibat dalam LGBTQAI+? Ada yang berkata hari itu bahawa perubahan itu tidaklah sempurna kerana DNA mereka sudah rosak. Ada seorang lagi yang memberi komen, mencabar saya untuk mengizinkan anak saya berkahwin dengan bekas pengamal LGBTQAI+. Semua orang ini melihat dari sudut manusiawi. Mereka hanya melihat dari sudut biologi. Mereka tidak melihat kepada Sang Pencipta atau kepada Tuhan, maka mereka menjadi rabun jauh, bahkan buta terhadap kemungkinan-kemungkinan yang Allah dapat lakukan.
Namun begitu, kita juga faham bahawa langkah ke arah pertaubatan dan perubahan bermula dengan langkah-langkah kecil ke arah yang betul. Pemuda yang berkawan rapat dengan semua lelaki gay tidak menolong dirinya sendiri dalam proses pemulihan, biarpun dia sudah percaya kepada Yesus. Sama seperti seorang penagih dadah tidak menolong dirinya sendiri jika dia masih bergaul dengan para penagih dan penjual dadah. Maka bagi orang yang bergumul dengan keinginan songsang, dia perlu mengambil tindakan proaktif sambil mendapatkan pertolongan daripada Roh Kudus.
Apakah tindakan proaktif bagi seorang lelaki atau seorang perempuan yang terjebak dalam amalan LGBTQAI+, yang mahu meninggalkan gaya hidup itu?
1. Menjauhkan diri daripada kawan-kawan yang mempunyai kecenderungan dan mengamalkan gaya hidup LGBTQAI+.
2. Membuang segala bahan bacaan dan media yang mendorong nafsu songsang.
3. Mengambil langkah berpakaian selaras dengan jantina asal. Ini masih penting kerana gaya dan fesyen mempengaruhi pemikiran diri serta tanggapan orang lain.
4. Melibatkan diri dalam pelayanan dan aktiviti rohani (pemuridan, kaunseling, mentoring dsbgnya) yang mendorong pertumbuhan iman serta pendirian yang baharu.
5. Melibatkan diri dalam sakramen-sakramen Tuhan.
Saya masih ingat beberapa tahun lalu, ada seorang banduan lelaki yang "lembut" di penjara. Namanya Kristian, tetapi gayanya seperti transvetit (wanita transgender) dan terpaksa diasingkan daripada banduan lain. Dia mengikuti kebaktian Kristian dan pada suatu hari meminta untuk dibaptis. Setelah melalui kaunseling dan diberikan asas-asas rohani, dia dibaptis.
Selepas itu, sesuatu yang menarik berlaku. Dia berubah 180 darjah. Perwatakan lembutnya berhenti. Kelembutan menjadi ketegasan. Pembawaannya menjadi normal. Dia mula membaca Alkitab dan rajin mengikuti ibadah. Perubahan yang luar biasa, hasil pekerjaan Allah.
Siapa kata tidak boleh berubah? Boleh. Allah boleh melakukan perkara-perkara ajaib jika manusia rela percaya. Maka benarlah apa yang dikatakan Paulus, "Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang." (2 Korintus 5:17) Dan lagi, "Dan beberapa orang di antara kamu demikianlah dahulu. Tetapi kamu telah memberi dirimu disucikan, kamu telah dikuduskan, kamu telah dibenarkan dalam nama Tuhan Yesus Kristus dan dalam Roh Allah kita." (1 Korintus 6:11)
Oleh Pr Edmund Kumar
Sumber : Facebook @ edmund kumar (Jika anda memerlukan sebarang bantuan atau bimbingan lanjutan, anda boleh menghubungi talian Komuniti Digital di +6012 2819861 atau +6012 7428201. Kami akan menghubungkan anda dengan pembimbing rohani kami.)




Comments