top of page

Datang kepada Yesus dengan Hasrat yang Baik

“Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Yesus, “Ya Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?’”

— Lukas 18:18 (AVB)


Lukas menceritakan tentang pertemuan Yesus dengan seorang pemimpin Yahudi yang datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dengan penuh hormat, dia bertanya kepada Yesus,


“Guru yang baik, apakah yang harus aku lakukan supaya aku memperoleh hidup sejati dan kekal?”


Dia datang kepada Tuhan Yesus dengan hasrat hati yang baik, ingin mencari bimbingan tentang jalan menuju hidup yang kekal. Namun Yesus tidak terus menjawab pertanyaannya. Sebaliknya, Yesus terlebih dahulu menegurnya dengan berkata,


“Mengapa engkau memanggil Aku baik? Tiada yang baik kecuali Allah sahaja.”


Dengan menyebut Yesus sebagai “Guru yang baik”, pemimpin Yahudi itu sebenarnya sedang mengakui bahawa Yesus adalah Tuhan — kerana hanya Tuhan sahaja yang benar-benar baik. Tanpa disedari, panggilan itu menjadi satu pengakuan iman terhadap siapa Yesus sebenarnya.


Apa yang penting dalam kisah ini bukanlah soal pertanyaannya semata-mata, tetapi hasrat hatinya untuk mencari kebenaran daripada Tuhan. Dia datang dengan keinginan tulus untuk mengenal jalan hidup yang benar dan kekal.


Begitu juga dengan kita. Tuhan melihat hati kita lebih daripada apa yang kita lakukan. Walaupun hidup kita tidak sempurna, yang penting adalah hati yang mahu datang kepada Tuhan, mendengar suara-Nya, dan dibimbing oleh-Nya. Hasrat hati yang ikhlas untuk mengenal Tuhan adalah langkah pertama menuju kehidupan yang sejati dalam Kristus.


Doa

Tuhan, aku datang kepada-Mu dengan hati yang tulus. Selidikilah hatiku, ubahkanlah hidupku, dan tuntunlah aku supaya setiap langkahku menyenangkan hati-Mu. Gunakanlah aku, Tuhan, sebagai alat-Mu untuk melaksanakan kehendak-Mu di dunia ini. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page