Dengarlah Amaran Kitab Musa dan Nabi-Nabi
- Komuniti Digital 05
- 22 minutes ago
- 2 min read

'Abraham berkata, ‘Mereka ada kitab Musa dan nabi-nabi. Biarlah mereka mendengar pengajaran itu.’ ' (Lukas 16:29) AVB
Disebabkan penderitaan yang sedang dialami oleh orang kaya itu di dalam neraka, dia memohon kepada Abraham supaya menyuruh Lazarus pergi ke rumah ayahnya. Hal ini demikian kerana dia mempunyai lima orang saudara yang masih hidup, supaya Lazarus dapat memberi amaran kepada mereka agar mereka tidak akan datang ke tempat penderitaan itu.
Namun Abraham berkata kepadanya bahawa Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi sudah cukup untuk memberi amaran kepada mereka tentang kehidupan mereka. Tidak perlu Lazarus kembali ke dunia untuk memberitahu mereka tentang keadaan tempat bagi orang yang tidak mahu bertaubat daripada dosa mereka.
Oleh itu, mereka harus mendengar amaran yang telah disampaikan melalui Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi supaya mereka bertaubat dan menyerahkan hidup mereka kepada Tuhan. Segala kebenaran telah dinyatakan melalui kitab-kitab itu. Maka, mereka hanya perlu mendengar dan membiarkan hidup mereka dipimpin oleh kebenaran dalam Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi.
Dengan demikian, mereka tidak akan mempunyai sebarang alasan untuk diberikan kepada Tuhan apabila mereka berdiri di hadapan-Nya pada hari penghakiman kelak, kerana segala amaran telahpun disampaikan kepada mereka semasa mereka hidup di dunia ini.
Oleh itu, sementara kita masih diberikan kesempatan oleh Tuhan untuk mendengar firman-Nya melalui Alkitab yang kita miliki, hiduplah menurut perintah-Nya. Dengan demikian, apabila tiba waktunya kelak, kita tidak akan menyesali setiap keputusan yang telah kita buat semasa kita hidup.
Tidak ada lagi peluang untuk mengubah hidup selepas kematian jasmani.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk merenungkan firman-Mu setiap hari agar aku sentiasa mengingati-Mu dalam setiap perkara yang aku lakukan. Pimpinlah aku supaya tidak menyimpang daripada jalan-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments