Diberkati Kerana Mempedulikan Golongan Yang Memerlukan
- Sofea Anne
- Sep 15
- 2 min read

“Diberkatilah kamu kelak kerana mereka tidak dapat membalas jemputanmu, tetapi kamu akan dianugerahi Allah pada hari kebangkitan orang yang benar daripada kematian.” Lukas 14:14
Kemudian Yesus menyambung ibarat-Nya dengan berkata kepada tuan rumah, “Apabila mengadakan suatu majlis makan tengah hari atau malam, janganlah jemput sahabat-sahabatmu atau adik-beradikmu atau sanak saudaramu atau jiran tetanggamu yang kaya kerana mereka akan menjemputmu pula dan itulah sahaja balasan atas perbuatanmu. Apabila mengadakan suatu jamuan, jemputlah orang miskin, orang kudung, orang tempang dan orang buta.”
Tuhan Yesus menceritakan ibarat ini untuk membongkarkan kepalsuan orang yang merasakan diri ialah umat Allah yang sejati, namun sesungguhnya mereka tidak memberikan respon yang sepadan dengan keperibadian yang sewajarnya sebagai orang yang mengenal Allah. Oleh itu, mereka diumpamakan tuan rumah yang menjemput sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga mereka yang kaya kerana mereka ini sudah tentunya akan menjemput dia kembali kelak. Pendek kata, jemputan sedemikian adalah tidak ikhlas kerana balasan diharapkan.
Sebaliknya, tuan rumah yang betul-betul murah hati akan menjemput orang miskin, orang kudung, orang tempang, dan orang buta untuk menghadiri jamuan yang diadakannya. Hal ini merupakan berkat yang besar bagi tuan rumah yang berbuat demikian kerana mereka yang dijemputnya tidak sekali-kali dapat membalas kembali apa yang diterima mereka. Oleh itu, Yesus berkata bahawa tindakan seperti ini membawa berkat yang besar jika kita berprihatin mempedulikan golongan yang amat memerlukan.
Marilah kita sebagai orang yang diberkati Allah berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban orang yang miskin dan orang yang terpinggir sebagai bukti bahawa kita sesungguhnya anak-anak Allah. Oleh itu, janganlah jemu untuk melakukan kebaikan kepada orang yang memerlukan kerana setiap yang kita lakukan bagi Allah tidak akan sia-sia dan akan diberkati-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana Engkau telah memberkati hidupku dengan memenuhi semua keperluanku setiap hari. Ajarlah aku, ya Tuhan Allah, untuk menjadi berkat kepada semua orang yang memerlukan pertolongan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments