Dipaksa atau Rela Memikul Salib
- 2 days ago
- 2 min read

Ketika askar-askar membawa Yesus ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Yesus dan berjalan di belakang-Nya. Lukas 23:26 AVB
Orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Yesus disalib. Teriakan mereka yang tidak terkawal berjaya memaksa Pilatus membuat keputusan supaya tuntutan mereka itu dilaksanakan. Dia pun membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Yesus diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka. Setelah selesai mempermain-mainkan Yesus, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib di luar kota Yerusalem.
Memang banduan dikehendaki untuk memikul salib sendiri ke tempat orang disalib. Maka mereka memaksa Yesus untuk memikul kayu salib-Nya. Ketika mereka melihat Yesus tidak bertenaga untuk memikul salib-Nya disebabkan penderitaan seteruk-teruknya yang dialami selepas ditangkap, para askar Roma nampak seorang lelaki bernama Simon yang berasal dari kota Kirene. Besar kemungkinan Simon, seperti ramai orang Yahudi yang lain, datang ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paskah. Simon dipaksa untuk memikul salib Yesus dengan berjalan di belakang Yesus ke satu tempat yang dipanggil Golgota.
Apa yang kelihatan kepada Simon sebagai satu keaiban ternyata satu peluang keemasan kerana tindakan para askar itu mempertemukan Simon dengan Yesus. Kita percaya bahawa pertemuan Simon dengan Yesus telah mendorong dia untuk menaruh kepercayaan dan iman kepada Yesus. Dia menerima kurnia penyelamatan daripada Yesus dan semenjak itu hidupnya pasti berubah sama sekali.
Oleh itu, marilah kita mengangkat salib Yesus itu dengan hati yang rela kerana berkat besar menanti kita menurut masa Allah. Walaupun kita kelihatan bodoh pada pandangan dunia kerana memikul salib Yesus, namun kita akan menerima ganjaran berlipat ganda pada masa ini, dan hidup kekal pada kemudian hari. Jelaslah bahawa Allah boleh menggunakan situasi yang tidak disangka-sangka, bahkan yang nampak mengaibkan untuk membawa orang kepada Tuhan Yesus Penyelamat kita, sebagaimana yang berlaku kepada Simon dari Kirene.
Sesungguhnya, jangan memikul salib Yesus kerana terpaksa atau dipaksa. Pikullah salib Yesus itu secara sukarela. Dengan kata lain, layanilah Allah dengan hati yang rela dan suci dan bukan kerana terpaksa atau dipaksa.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, berilah aku hati yang rela untuk memikul salib-Mu. Ajarlah aku melayani-Mu kerana kasihku kepada-Mu dan bukan kerana aku terpaksa atau dipaksa. Dalam nama-Mu yang maha kuasa aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments