top of page

Gereja dan Hamba Tuhan di Akhir Zaman

Nov 6
3 min read

Ada banyak berita tentang pastor gereja yang membuat hati kita sedih. Perbuatan yang sepatutnya membawa penyesalan dan pertaubatan diumumkan dengan bangga. Ada pula yang menyambutnya dengan tepukan.


Kita tertanya-tanya masihkah gereja dan hamba Tuhan yang peka terhadap dosa? Masihkah kita bersedia menerima teguran firman? Masihkah kita ada sikap takut akan Tuhan dalam diri kita?


Baru-baru ini, Pastor Israel Ford, yang melayani LifeWorks Church di Cleveland/Wickliffe, Ohio, bersama isterinya, Lydia Ford yang memperkenalkan suaminya sebagai seorang "prophet" (nabi), mereka bersama memperkenalkan Minister Shakayla Talley Ford kepada jemaat sebagai isteri kedua kepada Pastor Israel Ford. Pengumuman itu telah mendapat tepukan dan sorakan daripada sebahagian anggota gereja. Ford berterus terang menyatakan bahawa hubungan perkahwinan tersebut akan mencapai tiga tahun dalam kira-kira seminggu selepas pengumuman itu.


Kita menyebut kes ini bukan untuk menghukum individu, kerana penghakiman akhir adalah milik Tuhan. Kita menyebutnya kerana ia telah diumumkan secara terbuka dan menimbulkan kekeliruan yang perlu dijawab dengan firman Tuhan.


Perbuatan ini sangat tidak selari dengan ajaran dan kehendak Tuhan. Memang amalan poligami ada diceritakan dalam Alkitab, tetapi itu bukanlah kehendak atau perintah Tuhan. Alkitab menceritakan banyak perkara yang berlaku tanpa meluluskannya, dan kesan buruk poligami dapat dilihat dalam keluarga para tokoh Perjanjian Lama sendiri. Mengambil contoh daripada Perjanjian Lama untuk diterapkan dalam kehidupan orang percaya pada hari ini adalah suatu tindakan yang keluar daripada konteks. Tidak ada perintah umum yang membenarkan amalan poligami dalam Alkitab. Keluaran 21 merupakan panduan hidup bagi orang yang degil dan telah mengambil lebih daripada seorang isteri, yang diadakan untuk menjaga hak anak sulung dalam keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang isteri. Hukum itu mengawal akibat sebuah keadaan; ia tidak menetapkan keadaan itu sebagai teladan. Piawaian Tuhan Yesus dalam Matius 19 mengatasi semuanya.


Tuhan Yesus Kristus telah memperingatkan tentang nabi palsu yang datang seperti domba, tetapi sebenarnya serigala yang ganas. Dia mengajar kita mengenali mereka melalui buah kehidupan mereka (Matius 7:15–20). Firman Tuhan juga mengingatkan bahawa pada hari-hari terakhir, manusia akan mencintai diri dan wang, serta lebih mencintai keseronokan daripada Allah walaupun masih mempunyai rupa kesalehan (2 Timotius 3:1–5).


Amaran ini ditujukan kepada kita semua, bukan untuk melabel orang tertentu. Ia mengajak kita berjaga-jaga dan memeriksa diri. Adakah kehidupan kita selaras dengan iman yang kita umumkan?


Dalam kekeliruan ini, ada tiga prinsip yang perlu kita pegang.


Pertama, perkahwinan harus dihormati menurut maksud penciptaan Allah. Tuhan Yesus Kristus membawa kita kembali kepada seorang lelaki yang bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu daging (Matius 19:4–6). Persetujuan manusia dan keharmonian yang didakwa tetap terjalin perlu diuji dengan firman Tuhan.


Kedua, pemimpin gereja mesti menunjukkan kesetiaan dan kehidupan yang tidak bercela. Itulah tuntutan bagi pemimpin jemaat (1 Timotius 3:2; Titus 1:6). Gelaran pastor, nabi atau rasul membawa tanggungjawab; gelaran itu tidak memberikan lesen berbuat dosa dan kekebalan daripada teguran.


Ketiga, setiap dakwaan rohani mesti diuji. Jemaat diperintahkan menimbang nubuat dan menguji segala sesuatu (1 Korintus 14:29; 1 Tesalonika 5:20–22). Ungkapan "Tuhan memberitahu saya" tetap perlu dinilai berdasarkan firman-Nya.


Kasih pastoral memerlukan keberanian untuk menegur dengan lemah lembut namun tegas dalam membimbing orang kepada pemulihan.


Mengumumkan sesuatu perbuatan tidak sama dengan bertaubat. Pertaubatan menghasilkan buah: kerendahan hati, kesediaan diperbetulkan dan perubahan hidup.


Namun, saudara-saudariku, jangan biarkan kegagalan manusia memadamkan kasih kita kepada Kristus. Dalam Wahyu 2–3, Yesus mengetahui keadaan setiap jemaat. Dia melihat kesetiaan yang tersembunyi, menegur dosa dan memanggil umat-Nya kembali kepada-Nya (Wahyu 3:20).


Masih ada gembala yang melayani dengan jujur. Masih ada jemaat yang berdoa, mengasihi dan berpegang pada kebenaran. Teruslah mengambil bahagian dalam kesetiaan itu.


Marilah kita juga mendoakan keluarga Ford dan jemaat LifeWorks Church. Kita berharap mereka akan mendengar suara firman Tuhan dan mengalami pemulihan yang sejati, kerana itulah kerinduan hati Gembala Agung bagi setiap domba-Nya.


Biarlah kesedihan kita menjadi doa, kepekaan kita menghasilkan ketaatan, dan teguran kita membuka jalan kepada pemulihan.


Mari berdoa seperti ini:

Tuhan, periksalah kami terlebih dahulu. Peliharalah gereja-Mu, pulihkanlah yang tersesat, termasuk mereka yang kami sebutkan hari ini, dan kuatkanlah kami untuk tetap setia kepada-Mu. Amin.


Oleh: Pr Jubilie Apin

Sumber: Facebook@Jubili Apin@Pena Rajawali

Comments


bottom of page