Hadapilah Tuhan dengan Penuh Kerendahan Hati
- Komuniti Digital 05

- 19 hours ago
- 1 min read

“Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.’ ”
Lukas 18:13 (AVB)
Sewaktu pemungut cukai itu masuk ke dalam rumah Tuhan, dia berdiri agak jauh daripada orang lain. Dia tidak berani menengadah ke langit seperti kebiasaan orang Yahudi ketika berdoa, tetapi dengan hati yang sangat sedih dan menyesal, dia berkata kepada Tuhan, “Ya Allah, kasihanilah aku, orang berdosa ini!”
Pemungut cukai ini menunjukkan pertobatan dan kerendahan hatinya kepada Tuhan melalui setiap tindakannya. Ketika dia menghadap Tuhan secara peribadi di rumah Tuhan, dia benar-benar menyatakan hati yang hancur, menyesal dan taat kepada Allah melalui sikap dan perilakunya.
Dia berdiri jauh daripada orang lain kerana dia merasakan dirinya tidak layak untuk mendekati Allah. Dia juga takut menyinggung orang Farisi dan mengganggu ibadah mereka, kerana mereka memandang dirinya jijik dan hina. Namun, dalam kerendahan hati dan penyesalannya, dia datang ke rumah Tuhan dengan hati yang hancur, memohon belas kasihan Allah ke atas dirinya.
Oleh itu, marilah kita datang menghadap Tuhan di hadapan-Nya dengan penuh kerendahan hati — mengakui segala dosa dan kelemahan kita di hadapan-Nya. Serahkanlah seluruh hidup kita kepada Tuhan untuk dibimbing dan diperbaharui oleh-Nya. Kerana di dalam Tuhan, hati kita akan menemukan ketenangan dan damai yang sejati.
Doa
Tuhan, aku mengakui bahawa aku seorang yang berdosa dan tidak layak untuk menghadap Engkau. Ampunilah aku, Tuhan, atas segala dosaku, dan kasihanilah aku supaya aku dapat mendekat kepada-Mu dengan hati yang tulus dan rendah hati.
Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments