top of page

Hak Keistimewaan dalam Allah tidak sekali-kali Berubah

ree

“Bapa itu berkata kepadanya, ‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu.’ ” Lukas 15:31 AVB

 

Anak sulung sangat marah kerana  bapanya mengadakan jamuan besar-besaran untuk adiknya yang kembali dari negeri jauh setelah memboroskan harta bapanya dengan perempuan sundal. Apabila dia kehabisan segala wangnya, dia berani pula kembali.

 

Ketika mengetahui anak sulung tidak mahu masuk ke dalam rumah, maka si bapa yang lebih awal tadi berlari menemui anak bongsu juga keluar dari rumah yang dalam suasana suka ria untuk menemui anak sulungnya itu. Selepas anak sulung menghamburkan kata-kata yang menunjukkan dia amat tidak puas hati dan iri hati, si bapa memujuknya dengan berkata, “Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu.”

 

Dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut, si bapa terus memanggil anak sulung “anakku” yang menandakan bahawa anak sulung itu  tetap anaknya. Si bapa juga mengingatkan anak sulung tentang kedudukan istimewanya dalam keluarga. Di samping itu, semua sumber kewangan dan hak milik si bapa jugalah milik anak sulung. Dengan kata lain, anak bongsu yang telah menghabiskan bahagian harta pusakanya tidak sekali-kali menggugat atau mengancam status anak sulung. Bahagian harta pusakanya sebagai anak sulung dan pewaris si bapa tetap terjamin dan tidak sekali-kali akan berkurang sedikit pun.

 

Sebenarnya, anak sulung patut bergembira kerana adiknya itu telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemukan kembali.  Tindakan si bapa menerima adiknya kembali tidak bererti bahawa si bapa menolak anak sulung. Alangkah baiknya jika anak sulung turut membuka hati untuk mengampuni adiknya atas kesalahannya lalu memulihkan hubungan yang terputus dengannya, bersukacita bersama bapa mereka yang gembira dengan kepulangan adiknya dan melihat keluarga mereka bersatu hati semula.

 

Marilah kita bergembira dan bersukacita bersama-sama saudara kita yang kembali kepada Tuhan Yesus, tanpa khuatir tentang hak kita dalam Allah. Sebab hak keistimewaan kita terjamin dan langsung tidak akan berubah. Bergembira dan bersukacitalah apabila kita menyaksikan saudara kita memperoleh berkat penyelamatan.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, betapa aku bersyukur kerana belas kasihan, kasih kurnia dan anugerah penyelamatan-Mu yang tidak pernah berubah. Engkau tetap teguh dengan janji-Mu kepadaku. Aku berterima kasih kepada-Mu atas segala yang Engkau limpahkan kepadaku. Dalam nama-Mu yang agung aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page