Hidup Berfoya-foya Membawa Padah
- Komuniti Digital 05

- Oct 3
- 1 min read

“Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.” Lukas 15:13 AVB
Tuhan Yesus menyambung ibarat tentang anak lelaki yang hilang. Tidak lama selepas anak bongsu itu memperoleh bahagian harta pusakanya, dia pun menjualnya lalu meninggalkan rumah bapanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya dan segala macam keseronokan duniawi.
Setelah anak bongsu menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu sehingga dia berada dalam keadaan serba kekurangan. Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya. Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya. Akhirnya, dia sedar bahawa semua orang gaji bapanya dapat makan sehingga kenyang, tetapi dia pula hampir mati kelaparan.
Marilah kita mengisi hidup kita pada hari ini dengan menceburkan diri dalam pelayanan atau melakukan pekerjaan Allah. Jangan sekali-kali membuka ruang hidup kita kepada pelbagai godaan dan keseronokan dunia ini. Penuhilah hati kita dengan kebenaran Allah agar hidup kita tidak akan binasa tetapi penuh dengan pengharapan.
Berhati-hatilah bahawa dalam hidup kita kerap kali jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut. Demikianlah dengan keinginan nafsu dan mata, serta segala keangkuhan hidup di dunia. Pada mulanya jalan yang kita ikut nampak seakan-akan begitu indah dan seronok tetapi pengakhirannya akan membawa kebinasaan. Oleh itu, ikutlah jalan Allah dan hiduplah demi Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk mengutamakan pekerjaan-Mu dalam setiap langkah hidupku. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu agar dalam semua yang aku lakukan, nama-Mu dipermulia. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments