Jagalah Hati Kita Daripada Segala yang Jahat
- Komuniti Digital 05
- 13 minutes ago
- 1 min read

Oleh itu, Tuhan berkata kepadanya, “Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu.” Lukas 11:39 AVB
Seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Dia kehairanan apabila melihat Yesus tidak membasuh tangan-Nya sebelum Dia makan. Sebab menurut adat orang Farisi, mereka wajib terlebih dahulu mencuci tangan mereka sebelum makan.
Amalan membasuh tangan sebelum makan merupakan kebiasaan orang Farisi. Apatah lagi, individu itu dianggap sebagai seorang yang suci. Maka tuan rumah terkejut bahawa Yesus yang disifatkan sebagai seorang nabi, selain juga seorang yang taat dan berpegang teguh pada hukum Taurat, telah duduk makan tanpa mencuci tangan-Nya terlebih dahulu. Hal itu dikira sebagai mengabaikan adat atau melanggar hukum.
Oleh sebab Yesus mengetahui isi hati tuan rumah, Yesus pun berkata kepadanya, “Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu.” Dengan kata lain, cara orang Farisi mengikut perintah Allah boleh digambarkan seperti orang yang hanya mencuci mangkuk dan pinggan pada bahagian luar, tetapi mereka lupa mencuci bahagian dalam yang kotor. Lebih-lebih lagi, hati mereka penuh dengan kotoran, seperti tamak haloba dan keinginan yang jahat.
Bagi Yesus, Dia tidak mahu setakat melakukan sesuatu itu untuk menyenangkan hati orang Farisi yang mengundang-Nya atau melakukan sesuatu kebiasaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan hukum. Tegasnya, Yesus menitikberatkan hati putih yang bebas daripada segala yang jahat.
Apa yang terutama ialah hati yang bersih dan bebas daripada segala ketamakan, kebencian, kekejian, hal-hal duniawi dan sebagainya. Janganlah luaran sahaja kelihatan sangat baik tetapi dalaman pula sangat jahat. Oleh itu, jagalah hati kita supaya tetap bersih dan benar di hadapan Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku atas segala kejahatan yang telah aku lakukan. Bersihkan aku daripada segala tutur kata, perbuatan, dan pemikiran yang tidak baik. Berilah aku hati yang sentiasa menyenangkan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments