top of page

Jalanilah Hidup yang Rendah Hati

ree

“Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.’”

— Lukas 18:14 (AVB)


Yesus menceritakan kepada para pengikut-Nya tentang dua orang yang memiliki sikap yang sangat berbeza ketika mereka masuk ke dalam rumah Tuhan.


Yang pertama ialah orang Farisi. Dia datang ke rumah Tuhan dan berdoa dalam hatinya,


“Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.”


Manakala yang kedua ialah pemungut cukai. Ketika dia datang ke rumah Tuhan, dia berdiri agak jauh daripada orang lain. Dia tidak berani menengadah ke langit, tetapi menebah dadanya dengan penuh penyesalan sambil berdoa,


“Ya Allah, kasihanilah aku, orang berdosa ini!”


Kedua-duanya datang ke rumah Tuhan untuk berdoa, namun sikap mereka di hadapan Tuhan amat berbeza. Orang Farisi datang dengan kesombongan rohani dan membandingkan dirinya dengan orang lain, manakala pemungut cukai datang dengan hati yang hancur dan rendah diri.


Kerana itulah Yesus berkata bahawa ketika kedua-duanya pulang ke rumah masing-masing, hanya pemungut cukai yang diterima oleh Allah, bukan orang Farisi.


Sebab setiap orang yang meninggikan dirinya akan direndahkan oleh Allah, dan setiap orang yang merendahkan dirinya akan ditinggikan oleh Tuhan. Oleh itu, janganlah kita meninggikan diri atau memandang rendah orang lain.


Sebaliknya, marilah kita menjalani hidup dengan rendah hati, kerana Tuhan berkenan kepada mereka yang merendahkan diri seperti pemungut cukai itu.


Doa

Tuhan, ampunilah aku jika selama ini aku memandang rendah orang lain. Ajarilah aku, Tuhan, untuk melihat bahawa setiap orang berharga dan penting di hadapan-Mu. Aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Berilah aku hati yang rendah dan lembut di hadapan-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page