Jangan Anggap Diri Kita Lebih Baik Daripada Orang Lain
- Komuniti Digital 05

- 3 hours ago
- 2 min read

“…Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: ‘Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau berzina seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini....”
Lukas 18:11
Sewaktu saya merenungkan doa orang Farisi ini, terlintas di fikiran saya tentang cermin muka. Apabila seseorang berdiri di hadapan cermin, pasti dia akan melihat dirinya sendiri yang terpantul di dalamnya. Dia akan mula menyedari rupa dirinya yang sebenar; sesuatu yang mungkin tidak disedarinya sebelum ini. Kemudian dia akan berusaha memperbaiki dirinya agar kelihatan lebih baik. Cermin tidak menunjukkan wajah orang lain, tetapi wajah kita sendiri.
Demikian juga dengan diri kita. Sewaktu kita datang berdoa kepada Tuhan, kita sepatutnya melihat diri sendiri di hadapan Tuhan — bagaimana keadaan hati dan hidup kita sebenarnya. Lalu, kita meminta Tuhan menolong dan mengubahkan kita. Bukan seperti orang Farisi yang datang ke rumah Tuhan dan berkata dalam hatinya:
"... ‘Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau berzina seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini....”
Dalam perumpamaan ini, Yesus ingin menegur orang Farisi yang sering menganggap diri mereka sahaja yang benar dan suci, sedangkan orang lain dianggap hina dan rendah. Sikap seperti inilah yang membuat mereka berdoa dengan sombong, berkata kepada Tuhan:
"...Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini....”
Mereka berbicara seolah-olah diri mereka lebih baik daripada sesiapa pun.
Oleh itu, marilah kita mengelakkan diri daripada memiliki anggapan bahawa diri sendiri lebih baik daripada orang lain. Sebaliknya, tanamkanlah dalam hati kita bahawa setiap orang adalah baik dan penting di mata Tuhan.
Doa
Tuhan, ampunilah aku atas segala dosaku kerana aku menganggap diriku lebih baik daripada orang lain. Ajarilah aku, Tuhan, untuk melihat bahawa setiap orang adalah penting dan berharga di hadapan-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments