Jangan Berselisih Tentang Sesuatu Yang Tidak Kita Fahami
- Komuniti Digital 05

- 1 day ago
- 2 min read

Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar. Lukas 22:24 AVB
Selepas para murid Tuhan Yesus bertanya-tanya sesama diri tentang siapa antara mereka yang sampai hati mengkhianati-Nya, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar. Sebab mereka sangka bahawa Yesus tidak lama lagi akan menjadi raja dan masing-masing akan mendapat kedudukan tertentu.
Oleh itu, mereka bersaing antara satu sama lain untuk merebut kehormatan dan kekuasaan apabila memerintah orang nanti, kononnya sebagai ‘Pelindung Rakyat’. Tercetuslah perselisihan antara mereka yang menyebabkan mereka serupa dengan raja bangsa-bangsa dunia ini yang mencintai kegagahan dan kekuasaan duniawi.
Murid-murid Yesus telah lebih menumpukan tumpuan mereka kepada penampilan lahiriah dan martabat selain mengutamakan kepentingan diri serta kebesaran mengikut pandangan dunia. Hal ini telah menyebabkan mereka menyeleweng daripada tujuan utama Kerajaan Allah yang diisytiharkan Yesus dan yang sudah bertapak dalam kalangan mereka.
Sekiranya mereka mahu menjadi orang yang terbesar antara mereka, mereka haruslah menjadi orang yang terkecil dan menjadi pemimpin yang seperti hamba, dengan melakukan pelayanan yang paling rendah atau yang paling melelahkan demi kepentingan orang lain dan Kerajaan Allah.
Marilah kita berhenti daripada berselisih tentang hal mengejar kebesaran dan kekuasaan di dalam gereja. Sebab soal kehormatan dan kebesaran merupakan milik Allah. Janganlah lakukan apa-apa pun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah kita menganggap yang lain lebih tinggi daripada diri kita dan berprihatin untuk menjaga kepentingan orang lain.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjadi pemimpin yang bersifat seperti seorang anak kecil yang sentiasa bersandar pada kekuatan dan kasih kurnia-Mu dalam segala yang aku lakukan. Tolonglah aku untuk tidak melakukan apa-apa kerana kepentingan diri atau keangkuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments