top of page

Yang Terbesar Hendaklah Menjadi Seperti Yang Terkecil

 

“Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain.Lukas 22:26 AVB

 

Disebabkan perselisihan yang timbul dalam kalangan murid Tuhan Yesus tentang siapa yang dianggap terbesar, maka Dia berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat. Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain.”

 

Raja bangsa asing yang tidak mengenal Allah memang akan menindas rakyat kerana mereka mudah memerintah rakyat dengan kuku besi; bahkan para penguasanya mahu diberi gelaran sebagai pembawa kebajikan kepada rakyat ataupun pelindung rakyat. Akan tetapi, kerajaan Allah berbeza sama sekali daripada kerajaan dunia ini. Oleh itu, sebagai murid-murid Yesus, mereka tidak boleh berbuat demikian terhadap orang yang di bawah mereka.

 

 Untuk menjadi orang yang terbesar antara mereka, seseorang itu haruslah menjadi orang yang terkecil dan menjadi seorang pemimpin seperti hamba, dengan melakukan pelayanan yang memperlihatkan kerendahan hati dan berfokus pada keperluan serta kepentingan orang lain. Mereka telah mengikut Tuhan Yesus dan menyertai pelayanan-Nya selama tiga tahun. Dia yang sekalipun dalam bentuk Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan, tetapi Dia telah mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba, dan datang dengan rupa manusia. Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di salib!

 

Apakah kita mahu menjadi yang terbesar dalam hidup ini? Kita perlu menjadi orang yang terkecil, seorang pemimpin yang menjadi hamba yang melayani orang lain. Ingatlah bahawa Tuhan Yesus datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjadi hamba kepada orang lain. Sebab hidupku ini milik-Mu. Pakailah hidupku sebagai alat-Mu dalam pekerjaan-Mu. Selama aku hidup, biarlah Nama-Mu ditinggikan dan dimuliakan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page